LHDN Tuntut Bekas PM Najib Razak Bayar Cukai RM1.5 bilion
2019.04.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Lembaga Hasil Dalam Negeri [LHDN] melalui sepucuk surat kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dihantar minggu lalu, mahu pemimpin tersebut menjelaskan bayaran cukai sebanyak 1.5 bilion ringgit [AS$367.5 juta], iaitu pendapatan selama tujuh tahun sejak 2011 yang berjumlah 4 bilion ringgit [AS$980.3 juta], demikian kata sumber agensi cukai negara itu kepada BeritaBenar pada Isnin.
Menurut sumber LHDN, surat tuntutan itu elah dihantar kepada Najib seminggu yang lepas mengandungi butiran jumlah cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan oleh bekas perdana menteri bagi jumlah pendapatan kira-kira 4 bilion ringgit [AS$980.32 juta].
“Surat itu sudah dihantar pada minggu lepas dengan jumlah bayaran yang beliau [Najib] perlu jelaskan. Ianya adalah cukai dari tahun 2011 hingga 2017, dengan jumlah kira-kira 1.5 bilion ringgit,” menurut sumber itu lagi kepada BeritaBenar semasa diminta untuk mengulas mengenai laporan akhbar kewangan The Edge Market pada Isnin.
Bagaimanapun sumber itu enggan mengulas lebih lanjut mengenainya.
The Edge Daily dalam laporannya mendakwa sumber LHDN memberitahu akhbar berkenaan bahawa lembaga itu telahpun membuat penilaian dan mendapati Najib tidak mengisytiharkan pendapatan boleh cukai, berjumlah hampir 4 bilion ringgit [AS$980.32 juta], termasuk 2.6 bilion ringgit [AS$637.23 juta] yang berada dalam akaun peribadi pemimpin itu yang dikatakan diberikan oleh keluarga diraja Arab Saudi.
Najib dalam kenyataan mempertahankan diri di laman media sosial Facebooknya menengaskan yang beliau tidak mengelak daripada tanggungjawab dalam membayar cukai setiap tahun.
“Penalti cukai baru tiba-tiba dikenakan ke atas saya dan ini bukan bermaksud saya tidak membayar cukai tiap-tiap tahun atau ada tunggakan cukai, kata bekas perdana menteri itu pada Isnin.
Beliau juga menegaskan yang sumbangan politik dan pendapatan dari sumber luar tidak tertakluk kepada pembayaran cukai.
“Mana-mana sumbangan untuk dana politik, termasuklah dari Kementerian Kewangan Saudi adalah dikecualikan dari cukai. Ini tertakluk dalam undang-undang,” kata Najib lagi.
Bekas perdana menteri itu juga turut memetik Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menyatakan bahawa pendapatan dari luar negara tidak boleh dicukaikan.
“Saya cumalah penjaga dalam menerima dana 2.6 bilion ringgit itu dan tuduhan ke atas saya tidak kuat dan wang sudahpun dikembalikan kepada pemiliknya,” tambah Najib.
Beliau juga mempertikai mengenai laporan akhbar kewangan itu dengan berkata “perlu ditanya juga mengapa penalti cukai baru peribadi boleh tiba-tiba dibongkarkan oleh kerajaan kepada media tempatan. Siapa yang bongkar?.
LHDN ada hak
Menurut pakar ekonomi Barjoyai Bardai, pihak LHDN mempunyai hak untuk mengenakan cukai terhadap Najib kerana sebarang dana politik yang masuk ke dalam akaun individu layak dikenakan cukai.
“Najib perlu menyatakan dengan jelas adakah wang itu masuk ke akaun peribadi beliau atau akaun parti? Dalam kes ini, dilaporkan bahawa dana tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib maka LHDN adalah betul. Sebarang dana politik layak dikenakan cukai,” kata Barjoyai.
“Kalau ia dimasukkan ke dalam akaun parti, maka partilah yang perlu membayar cukai. Walaupun budak suruhan (bellboy) diberikan upah, dia perlu mengisytiharkannya dan jika mencecah jumlah tertentu, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk membayar cukai bagi upah yang diterimanya.
“Dalam kes ini, Najib tidak punya alasan. Kes beliau lebih besar dari contoh budak suruhan yang saya berikan.
“Hanya jika Najib boleh memberikan senarai nama orang yang menerima wang tersebut maka beliau boleh berkata yang beliau tidak perlu membayar cukai. Individu yang menerima wang dari Najiblah yang perlu membayar cukai itu,” tambah Barjoyai lagi.
Najib dijadualkan berhadapan dengan perbicaraan baru pada Rabu ini, berkaitan dengan kes SRC International selepas ia tertangguh berbulan lamanya berikutan keputusan Mahkamah Rayuan untuk menangguh perbicaraan Najib sebanyak dua kali susulan rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh pasukan peguambelanya berhubung kes mahkamah berkenaan.
Bermula 4 Julai tahun lepas, Najib telah beberapa kali didakwa di mahkamah dengan kesemuanya tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan 42 juta ringgit [AS$10.3 juta] yang didakwa didepositkan ke akaun bank peribadinya oleh SRC International, anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad [1MDB].
Bekas perdana menteri itu, yang mengasaskan 1MDB pada 2009, telah berulang kali menafikan sebarang salah laku berhubung isu 1MDB dan menegaskan yang beliau tidak pernah mencuri wang rakyat Malaysia.
Dalam satu temu bual dengan agensi berita Reuters pada Jun tahun lepas, Najib berkata beliau tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah daripada 1MDB.
Perlucutan hak sivil
Minggu lepas, akhbar yang sama juga melaporkan yang pentadbiran Putrajaya telah memfailkan tindakan Perlucutan Hak Sivil ke atas ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Larry Low Hock Peng yang juga bapa kepada pembiaya kewangan dalam buruan, Low Taek Jho, atau juga dikenali sebagai Jho Low.
Pembekuan aset itu melibatkan tujuh akaun bank bernilai 48 juta ringgit dan tindakan kerajaan Putrajaya itu dibuat kerana ia dipercayai sebahagian daripada dana 1MDB.
“Tiga daripada tujuh akaun bank terbabit adalah akaun deposit tetap dan kami percaya wang berkenaan dipindahkan dari beberapa syarikat asing, yang didakwa dilakukan oleh Jho Low,” sumber dipetik sebagai berkata kepada akhbar berkenaan.
Awal Mac lalu, Polis Bukit Aman telah menyita rumah banglo milik keluarga Jho Low di Tanjung Bunga Park di Pulau Pinang.
Beberapa laporan akhbar tempatan menyatakan bahawa kediaman banglo mewah milik ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe tidak berpenghuni ketika disita.
Pelucutan Hak Sivil itu dilakukan di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) di mana akta berkenaan membenarkan kerajaan merampas aset hartanah tanpa melalui pendakwaan.