Kumpulan Peguam bantah siasatan terhadap Hakim sabitkan Najib Razak

Ronnie Bergman & Noah Lee
2022.06.17
Kuala Lumpur
Kumpulan Peguam bantah siasatan terhadap Hakim sabitkan Najib Razak Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tengah) meninggalkan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas seorang hakim Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah di atas tuduhan rasuah pada 28 Julai 2022.
[AP]

KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2022-06-17

Kira-kira 1,000 orang peguam mengadakan perhimpunan pada Jumaat untuk membantah siasatan agensi anti-rasuah Malaysia terhadap seorang hakim yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi kesalahan rasuah dalam kes yang berkaitan dengan skandal 1MDB, dan menyifatkan tindakan agensi tersebut sebagai satu bentuk intimidasi terhadap badan kehakiman negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mohamad Nazlan Mohamad Ghazali pada awal tahun ini kerana dikatakan gagal menjelaskan mengenai wang berjumlah lebih AS$200,000 dalam akaun banknya, bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakan menjalankan siasatan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Namun, para peguam yang menyertai perhimpunan bantahan itu yang dianjurkan Majlis Peguam, menyatakan bahawa tuduhan terhadap hakim yang masih bertugas boleh menghakis keyakinan terhadap mahkamah. Kumpulan peguam itu turut menyerahkan satu memorandum mengandungi tuntutan mereka kepada timbalan menteri undang-undang Malaysia.

"Cara tidak wajar digunakan SPRM semasa mengumumkan siasatan dan menamakan hakim yang disiasat mempunyai kesan yang akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman, dan ini jelas satu serangan terhadap kebebasan badan kehakiman," menurut kandungan dokumen berkenaan.

Ia kemudian diserahkan oleh presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn kepada timbalan menteri berkenaan Mas Ermieyati Samsudin pada perhimpunan bantahan itu di Kuala Lumpur.

Pada 2020, Hakim Nazlan mengadili perbicaraan Najib, yang dituduh menyeleweng dana dari SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana pelaburan negara yang ditubuhkan bekas perdana menteri itu pada tahun 2009 ketika beliau masih berkuasa.

Pada Julai 2020, Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi, telah mendapati Najib bersalah bagi tujuh pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta (AS$47.7 juta). Bekas perdana menteri itu belum menjalani hukuman penjara kerana masih dalam proses rayuan kes itu.

Pada 2018, polis membuat serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib dan merampas sejumlah 284 kotak berisi beg tangan mewah - kebanyakannya jenama Hermes dan Birkin - serta 72 beg baju berisi wang tunai, barang kemas serta barangan mewah lain.

Najib disabitkan bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan sejumlah RM42 juta (AS$9.9 juta) yang diterimanya secara salah dari SRC International.

Pada Disember lepas, Najib gagal dalam rayuannya yang difailkan di Mahkamah Rayuan, yang merupakan mahkamah kedua tertinggi negara. Beliau masih bebas sementara menunggu rayuan peringkat akhirnya didengar di Mahkamah Persekutuan pada Ogos depan.

220618-najib-inside.jpeg

Seorang peguam memegang poster mempertahankan kebebasan badan kehakiman ketika protes di tempat letak kereta Padang Merbok di Kuala Lumpur pada 17 Jun 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pada April tahun ini, SPRM mengesahkan bahawa ia menyiasat Hakim Nazlan mengenai sejumlah wang di dalam akaun banknya, yang dikatakan tidak dapat dipastikan sumbernya. Nazlan, yang dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada Februari lepas, telah menafikan semua dakwaan itu.

Pada masa yang sama, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap tindakan SPRM.

Dalam ucapan di majlis angkat sumpah Hakim Mahkamah Tinggi pada April, Tengku Maimun menyifatkan tuduhan yang dilemparkan ke atas hakim adalah sebagai melampaui batas.

"Meskipun kita tidak boleh mengawal kata-kata atau tindakan sesetengah pihak yang nekad untuk mencemari atau memusnahkan imej badan kehakiman, kita masih berhak memastikan bahawa tiada siapa pun yang mencampuri urusan kita," kata beliau.

"Dalam kata lain, tiada siapa boleh campur tangan dalam badan kehakiman selagi mana keputusan kes dibuat tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa motif jahat, tanpa sebarang tekanan dari dalam atau luar, dan tanpa mengambil kira personaliti," katanya.

SPRM pada bulan lepas menyatakan bahawa ia telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Peguam Negara.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Hannah Yeoh, yang juga peguam, memberitahu media tempatan bahawa ramai yang gusar mengenai kes Najib.

"Kita berada di sini untuk menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman mesti dihormati. Saya rasa seluruh negara berasa amat gusar mengenai hala tuju kes Najib Razak. Negara ini menantikan penutup bagi kes ini," kata beliau, seperti dilaporkan akhbar The Malay Mail. Yeoh merujuk kepada rayuan terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan pada Ogos depan.

"Harapnya kenyataan yang dibuat oleh para peguam hari ini mengenai pemeliharaan kebebasan kehakiman akan menghantar mesej yang jelas dan menjadi pemangkin untuk membangkitkan negara dan membuka mata rakyat."

Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat berkata kerajaan akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan perundangan negara.

Ismail menegaskan bahawa beliau menghormati doktrin pemisahan kuasa antara badan eksekutif, pembuat undang-undang dan kehakiman serta tidak mahu adanya sebarang konflik di antaranya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.