Malaysia: Semua Negara Islam Bersatu Hapus Keganasan
2017.05.22

Malaysia memberi peringatan kepada dunia bahawa negara itu bersama negara-negara Islam yang lain mengutuk keganasan serta ekstremisme dan bersatu untuk membasmi ancaman pelampau dan terrorisme.
Perdana Menteri Najib Razak berkata, dunia tidak seharusnya meragui pendirian negara Islam kerana semua negara berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa dalam memerangi kedurjanaan pengganas.
“Dunia perlu diingatkan bahawa negara Islam secara kolektif bersama masyarakat antarabangsa berusaha memerangi ancaman keganasan global,” kata Najib semasa berucap pada Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat, di Riyadh pada Isnin.
Perdana Menteri adalah antara pemimpin yang diberi penghormatan berucap selepas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak bersejarah yang dihadiri pemimpin lebih 50 negara Islam lain.
Najib berkata, sidang kemuncak bersejarah itu sememang kena pada waktunya dan turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, atas inisiatifnya menjadi hos kemuncak berkenaan.
Perdana Menteri menambah perhimpunan tersebut telah menghantar isyarat kepada dunia tentang usaha bersatu negara-negara Islam menentang keganasan sambil mengingatkan bahawa menentangnya bukan hanya melalui ketenteraan tetapi memenangi hati dan minda masyarakat.
“Kita mesti memberi penekanan bahawa Islam yang sebenar dikenali di seluruh dunia dan pada masa yang sama bekerjasama menyelaras untuk menghancurkan Daesh dan sekutu mereka di mana sahaja kehadiran mereka dirasai,” katanya yang menggunakan nama lain bagi IS.
Sidang kemuncak anjuran kerajaan Arab Saudi sempena lawatan Trump itu bertujuan mewujudkan kerjasama keselamatan mantap serta berkesan dalam menangani dan membendung ancaman pengganas dan ektremis di seluruh dunia selaras menggalakkan sikap toleransi dan kesederhanaan.
Perdana Menteri berkata, ketidakstabilan semasa yang tercetus di Asia Barat menimbulkan kebimbangan Malaysia kerana ia boleh menyumbang kepada keganasan.
Sambil menarik perhatian kepada Iran, Najib berkata wujudnya kepercayaan meluas di rantau berkenaan bahawa Iran telah menyumbang kepada ketidakstabilan rantau berkenaan.
Perdana Menteri berharap Iran dapat mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara jiran demi perpaduan ummah serantau.
Najib turut memaklumkan kepada perwakilan sidang itu bahawa Kuala Lumpur tidak pernah berhenti memerangi penyebaran radikalisasi menerusi pengenalan konsep 'wasatiyyah' (kesederhanaan) dengan kewujudan Pergerakan Kesederhanaan Global.
Untuk menguatkan hujahnya mengenai isu berkenaan, Perdana Menteri berkata program deradikalisasi Malaysia telah mencatatkan kejayaan 95 peratus dalam memulihkan bekas golongan ekstremis dan
Malaysia bersama Amerika Syarikat telahpun bekerjasama menubuhkan Divisyen Komunikasi Strategik Digital untuk menangani mesej negatif terrorisme.
Sambil memberi contoh inisiatif lain yang telah dibuat negara, Najib berkata Malaysia bekerjasama dengan Australia untuk menyekat aliran dana kepada kumpulan pengganas; manakala dengan United Kingdom dan Perancis pula melibatkan tujuh perkara berkait dengan terrorisme siber.
Katanya, penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur, adalah kerjasama bersejarah antara Malaysia dan Arab Saudi dalam usaha menangani keganasan dan usaha itu direalisasikan semasa lawatan Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau memaklumkan bahawa pusat tersebut dijadualkan beroperasi bulan depan sambil menambah Kuala Lumpur bersedia berkongsi kepakaran dalam menangani ekstremisme dan terrorisme.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana mendekati dunia Islam dalam perang menentang terrorisme global.
Perangi radikalisme
Trump, dalam ucapannya di sidang itu, antara lain menggesa dunia Islam agar menerajui usaha memerangi radikalisme.
Presiden Amerika Syarikat itu turut mengumumkan bahawa negara berkenaan dan Arab Saudi telah menandatangani satu perjanjian untuk mewujudkan Pusat Menyasar Pembiayaan Pengganas [Terrorist Financing Targeting Center] dan akan disertai oleh lima buah negara Teluk.
Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, matlamat pusat itu adalah untuk mengenal pasti, mengesan, dan berkongsi maklumat mengenai rangkaian kewangan pengganas; menyelaras tindakan yang menimbulkan gangguan bersama, dan; menawarkan sokongan kepada negara-negara di rantau itu yang memerlukan bantuan untuk menangani ancaman kewangan dari pengganas.
Pusat itu akan merupakan usaha tambahan untuk memusnahkan kumpulan pelampau Islam. Usaha tersebut termasuk dua lagi pusat yang telah ditubuhkan dan sebuah lagi yang sedang dibangunkan di Malaysia.