Sultan Selangor Sokong Agong: ‘Pengampunan Tidak Boleh Diberikan Sewenang-wenangnya’

Sultan Sharafuddin bertitah demikian susulan desakan UMNO agar bekas PM Najib Razak diberikan pengampunan.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Noah Lee
2022.09.12
Kuala Lumpur
Sultan Selangor Sokong Agong: ‘Pengampunan Tidak Boleh Diberikan Sewenang-wenangnya’ Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuan semasa mahkamah berhenti rehat di Putrajaya, Malaysia, 23 Ogos 2022.
[Lai Seng Sin/Reuters]

Sultan Selangor pada Isnin menzahirkan sokongan padu baginda terhadap titah Yang di-Pertuan Agong bahawa kuasa pengampunan diraja tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya atau diberikan melalui sebarang layanan istimewa susulan desakan parti pemerintah agar pihak istana mengampunkan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini meringkuk dalam penjara, satu langkah yang disifatkan sebagai jarang berlaku di Malaysia.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atau Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menyebut nama Najib atau orang lain dalam titah baginda berdua. Bekas Perdana Menteri itu memohon pengampunan diraja beberapa hari selepas beliau gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya bagi kesalahan rasuah yang menyebabkan beliau disumbat ke dalam penjara.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda mengikuti dengan rapat dan mengambil perhatian terhadap “perkembangan” isu-isu yang berkaitan dengan sistem keadilan negara sejak kebelakangan ini dan bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong sejak minggu lepas bahawa pengampunan diraja tidak boleh dilaksanakan sewenag-wenangnya “demi kepentingan pihak tertentu.”

“Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa. Badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titah Sultan Sharafuddin pada Isnin.

“Sukacita beta menzahirkan sokongan padu terhadap titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 5 Sept 2022 berkaitan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.”

“Rakyat perlu memahami proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang diperuntuk di bawah Perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan dengannya,” titah baginda.

Takhta Agong diduduki berdasarkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan sultan atau raja pemerintah di Malaysia.

Sultan Selangor itu turut menitahkan agar darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada Isnin susulan sabitan mereka. Pada 1 Sept lepas, Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana meminta dan menerima rasuah.

Pada hari sama, Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan yang dikaitkan dengan peranan beliau dalam skandal kewangan 1MDB, mengemukakan petisyen agar Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan diraja. Speaker Parlimen telah mendedahkan berita mengenai permohonan pengampunan oleh Najib beberapa hari selepas itu.

Meskipun Najib mengekalkan kerusi Parlimennya sementara menunggu keputusan petisyen pengampunan itu, beliau hanya boleh bertanding pada pilihan raya umum berikutnya jika Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan.

Semasa merasmikan sebuah kompleks Mahkamah Syariah yang baharu di Kuantan, Pahang pada 5 Sept lepas, Yang di-Pertuan Agong memetik ayat al-Quran yang menyatakan konsep keadilan dalam Islam.

Ayat itu menyatakan bahawa “Prinsip keadilan dalam Islam tidak memberikan sebarang pengecualian atau layanan istimewa kepada sesiapa yang melakukan kesalahan walaupun diri sendiri, sahabat yang akrab, ahli keluarga atau ibu bapa,” titah raja pemerintah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Justeru, kuasa menghukum dan pengampunan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa pertimbangan yang wajar kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kepada kita kelak di hari kemudian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan pada satu majlis di negeri kelahiran Najib. Yang di-Pertuan Agong juga berasal dari Pahang.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah dinodai. Apabila ini berlaku, maka pihak yang lemah akan menjadi mangsa pihak yang memiliki kuasa,” titah baginda.

220912-Najib-Revoked-Inside.jpg

Para penyokong bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkumpul di luar Istana Negara di Kuala Lumpur untuk menyerahkan petisyen yang menentang pemenjaraan beliau, 24 Ogos 2022. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Sehari selepas Najib menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lepas, para penyokong beliau telah berkumpul di luar Istana Negara untuk menyerahkan petisyen agar Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid Hamidi, Presiden parti yang dianggotai Najib iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), mengadakan mesyuarat khas empat hari selepas itu dan berkata organisasi tersebut akan berkempen bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib. Zahid sendiri berdepan pertuduhan rasuah.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib pada 2020 dalam kes yang membabitkan kecurian berbilion dollar daripada 1Malaysia Development Berhad, sebuah dana kekayaan negara dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara bagi kesalahan salah guna kuasa, pecah Amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, pada Isnin, Najib yang berusia 69 tahun dibawa ke mahkamah bagi perbicaraan satu lagi kes yang menyaksikan beliau berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang diseleweng daripada 1MDB.

Pendakwaan berkata Najib dijadualkan dibawa bertemu dengan doktor selepas itu kerana “ubat beliau bagi tekanan darah telah ditukar dan ia memberikan kesan buruk.”

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, berkata di media sosial bahawa ujian pada Isnin pagi menunjukkan bahawa tekanan darah bapanya “begitu tinggi dan berbahaya.”

“Atas dasar perikemanusiaan, keluarga kami merayu kepada pihak berkuasa penjara, hospital dan kerajaan [PM] Ismail Sabri [Yaakob] untuk melakukan perkara yang betul dan membenarkan ayah saya menerima rawatan dan pemantauan perubatan yang sewajarnya,” kata beliau.
‘Susuk aktivis’ diraja.

Menurut seorang penganalisis, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor mengeluarkan titah baginda berdua dalama konteks yang berbeza.

“Agong [bertitah] ketika merasmkikan sebuah kompleks Mahkamah Syariah manakala Sultan [bertitah] susulan pengumuman Istana Selangor untuk menarik balik darjah kebesaran Najib dan Rosmah. Bagaimanapun, baginda berdua bertitah bahawa prinsip keadilan perlu ditegakkan dan terdapat proses tertentu bagi pengampunan diraja,” kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

“Ini susulan desakan UMNO untuk mempetisyen Agong agar memberikan pengampunan kepada Najib. Agong kini memberi jaminan kepada orang awam bahawa baginda berada di atas politik. Baginda turut menyeru rakyat agar menghormati kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Sultan Perak juga baru-baru ini bertitah bahawa baginda menyokong kebebasan badan kehakiman, kata Tunku Mohar.

“Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sultan atau Agong bertitah mengenai isu pengampunan namun dengan berbuat demikian, baginda dilihat mengambil pendirian sebagai susuk aktivis dan meletakkan kedudukan mereka di atas polemik semasa. Baginda turut memperlihatkan diri sebagai institusi yang tidak memihak kepada sesiapa,” katanya.

Titah baginda berdua boleh diterjemah dalam dua cara, kata seorang lagi penganalisis.

“Kita boleh membuat andaian bahawa Agong mungkin tidak berhasrat untuk memberikan pengampunan kepada mereka yang telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman oleh sistem kehakiman. Namun ia juga boleh diterjemah sebagai bermaksud bahawa jika pengampunan diraja diberikan, ia akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” kata Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.

“Dan para penyokong Najib telah beria-ia memperjuangkan pengampunan untuk beliau kerana mereka merasakan beliau benar-benar layak untuk mendapatkannya.”

Nik Shukry Ramli dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.