Mahkamah tolak permohonan Najib Razak tunda pendengaran rayuan kes 1MDB

Polis mengesahkan kertas siastan telah dibuka terhadap bekas Peguam Negara Malaysia berhubung penyalahgunaan kuasa dalam skandal 1MDB.
Noah Lee
2022.07.29
Kuala Lumpur
Mahkamah tolak permohonan Najib Razak tunda pendengaran rayuan kes 1MDB Seorang penunggang basikal melintasi Istana Kehakiman di Putrajaya pada 7 Disember 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Jumaat membuat keputusan menolak permohonan pasukan guaman bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menunda tarikh pendengaran rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dalam kes berkaitan dengan skandal 1MDB.

Dengan keputusan itu, pendengaran rayuan terakhir oleh Najib itu akan tetap dijalankan mengikut tarikh yang ditetapkan bermula 15 Ogos depan. Ia adalah peluang terakhir untuk ahli Parlimen Pekan itu mendapatkan kebebasan, dan sekiranya gagal, beliau perlu menjalani hukuman seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Permohonan untuk menunda pendengaran tersebut dibuat oleh pasukan peguambela yang baru dilantik Najib awal minggu ini bagi menggantikan firma Tetuan Shafee & Co, yang telah mengendalikan kes sejak dari hari pertama bekas Perdana Menteri itu didakwa atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan wang sejumlah RM42 juta milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International.

"Sesi hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi satu permohonan difailkan peguambela Najib yang lama untuk memasukkan bukti baru, dan seterusnya satu permohonan untuk meminda usul berkenaan.

"Kemudian telah dibangkitkan mengenai isu penukaran pasukan guaman yang mewakili Najib untuk rayuan beliau.

"Mahkamah kemudiannya memaklumkan bahawa tarikh pendengaran rayuan yang telah ditetapkan dari 15 Ogos sehingga 26 Ogos 2022 adalah dikekalkan dan arahan untuk mematuhi tarikh berkenaan mesti dipatuhi," kata Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul kepada media pada Jumaat.

Menurut peguam kerajaan itu, mahkamah juga telah memaklumkan kepada pasukan guaman Najib sehari sebelum itu melalui sepucuk surat bahawa "tiada penangguhan akan dibenarkan". Bagaimanapun, tiada sebab dinyatakan untuk keputusan berkenaan.

Pada 26 Julai lalu, Najib menyatakan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menukar khidmat firma dimiliki peguam utamanya Muhammad Shafee Abdullah dengan firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST).

Ia menyaksikan tempat Shafee selaku ketua pasukan peguambela Najib dalam kes SRC digantikan oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Menurut Najib, keputusan tersebut dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan seorang peguam British untuk dibenarkan mewakili Najib dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Pada hari yang sama, firma ZIST dalam satu surat kepada Mahkamah Persekutuan yang dilihat BenarNews menyatakan mereka telah mendapat arahan daripada Najib untuk berhujah bagi mendapatkan penangguhan pendengaran rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan antara 15 Ogos hingga 26 Ogos depan, serta penangguhan usul difailkan Najib untuk mendapatkan pembatalan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan salahguna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Najib.

Selain dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, ahli politik itu turut dikenakan hukuman denda sebanyak RM210 juta (AS$47 juta).

Najib telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, tetapi pada Disember lepas mahkamah tetap mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Pendengaran rayuan yang dijadualkan pada bulan depan merupakan peluang terakhir untuk Najib mendapatkan kebebasan.

Polis siasat bekas Peguam Negara

Sementara itu, polis Malaysia pada Jumaat berkata mereka telah membuka kertas siasatan susulan laporan polis oleh seorang Ahli Parlimen terhadap bekas Peguam Negara Apandi Ali, yang mendakwa Apandi telah menyalahgunakan kuasanya untuk melindungi Najib dalam skandal 1MDB.

Setiausaha polis Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin di dalam satu kenyataan media berkata siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang pada 27 Julai 2022 mengenai isu tidak puas hati terhadap siasatan 1MDB disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan," kata Noorsiah.

Seksyen 217 Kanun Keseksaan meliputi kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan atau harta daripada dirampas. Sesiapa yang didapati bersalah di bawah undang-undang ini boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dalam satu kenyataan media berkata bahawa beliau membuat laporan polis terhadap Apandi pada Rabu, dan telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat pada pagi Jumaat.

Menurut Santiago, beliau telah memberitahu penyiasat polis bahawa Apandi telah menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi Peguam Negara, "berbohong serta memperdaya negara untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada sebarang kesalahan".

Pada 2016, Apandi mengumumkan bahawa “tiada kesalahan jenayah” telah dilakukan Najib dalam kes 1MDB dan wang sejumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) yang dimasukkan dalam akaun peribadinya adalah "sumbangan peribadi" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Sehingga laporan ini dikeluarkan, Apandi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.