Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk dibicarakan semula, tunda pendengaran rayuan

Bekas Perdana Menteri Malaysia itu sebelum ini meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman bagi kesalahan rasuah terhadapnya.
Muzliza Mustafa
2022.08.16
Putrajaya
Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk dibicarakan semula, tunda pendengaran rayuan Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tiga dari kiri) meninggalkan bangunan Mahkamah Persekutuan selepas panel lima hakim mengumumkan keputusan berhubung permohonan beliau untuk dibicarakan semula di Putrajaya, Malaysia, 16 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Selasa menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dan dibicarakan semula bagi kes penyelewengan wang terhadapnya yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB. Cubaan untuk mendapatkan perbicaraan semula itu dibuat ketika Najib mengemukakan rayuan terakhir terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atas beliau pada Julai 2020.

Sehari sebelum itu, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Nazlan Mohamad Ghazali yang mendengar kes SRC International mempunyai konflik kepentingan kerana pernah ada kaitan dengan sebuah bank yang berurusan dengan 1Malaysia Development Berhad, syarikat induk SRC. Mereka mendakwa perkara itu hanya diketahui selepas Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan jenayah.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara pada Selasa bahawa mereka tidak dapat mencari sebarang kaitan dalam perkara itu yang boleh menyebabkan berlakunya "bahaya penghakiman berat sebelah" dalam kes Najib dan memutuskan bahawa "tidak ada salah laku keadilan" telah berlaku.

Mahkamah itu juga mendapati bahawa keseluruhan bukti baharu yang ingin dimasukkan oleh Najib sebagai "... tidak relevan terhadap pertuduhan yang dibuat ke atas pemohon dan gagal menunjukkan sebarang konflik kepentingan di pihak Hakim Nazlan," kata Tengku Maimum dalam alasan penghakiman setebal 20 halaman.

Menurut panel itu, yang mengambil masa dua jam untuk mencapai keputusan tersebut, peranan dan penglibatan Nazlan dalam bank berkenaan bukan satu rahsia dan ia boleh didapati oleh pihak pembelaan sewaktu perbicaraan kes Najib berjalan sekiranya mereka mengamalkan "ketekunan yang munasabah."

"Kesemua permohonan ini adalah dengan ini ditolak," kata Tengku Maimun dalam keputusan yang memaksa pasukan pembelaan Najib meneruskan pendengaran rayuan terakhir beliau.

Pendengaran rayuan itu ditetapkan pada Khamis depan.

Najib, 69, melahirkan rasa terkejut dan kecewa beliau terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonannya.

"Saya percaya bukti baharu itu akan dengan jelas menunjukkan bahawa Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang besar, dan beliau tahu mengenai transaksi kewangan 1MDB dan SRC," katanya kepada pemberita selepas itu.

"Saya mengharapkan agar dapat menunjukkan kebenaran mengenai perkara ini dalam rayuan terakhir saya."

NAJIB_RAZAK_PC_BENARNEWS_02.jpg

Hisyam Teh Poh Teik (kanan), yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, bercakap kepada media selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 16 Ogos, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Permohonan tangguh pendengaran rayuan ditolak

Mahkamah sama turut menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan Najib. Hisyam Teh meminta mahkamah memberi masa antara tiga hingga empat bulan kepada pihak pembelaan untuk membuat persediaan kerana pasukannya baru dilantik oleh bekas Perdana Menteri itu pada hujung bulan lepas.

"Terdapat lebih 179 set dokumen. Ini bukan kes biasa... ada isu perundangan yang kuat. Hujahan yang serius akan dibuat," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati permohonan dan alasan penangguhan adalah "tidak mantap mahupun munasabah" kerana Najib sedar akan tarikh yang telah ditetapkan untuk pendengaran rayuan beliau.

Tengku Maimun juga berkata meskipun Najib berhak menukar peguam, "beliau tidak berhak untuk membuat pilihan itu dengan mengorbankan hak mahkamah, pasukan pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan."

"Melewatkan keadilan dalam kes ini juga menafikan keadilan untuk orang lain yang dituduh di mahkamah," katanya.

Hisyam Teh memaklumkan pemberita bahawa beliau kehilangan kata-kata kerana mahkamah tidak menimbangkan langsung permohonan pihak pembelaan.

"Kami telah memberikan alasan yang kukuh. Saya ingatkan mahkamah akan bersimpati serta menggunakan budi bicaranya dan kami berasakan bahawa terdapat asas untuk mereka menggunakan budi bicara yang memihak kepada kami. Tetapi malangnya, bukan itu yang berlaku," katanya.

Pihak pendakwaan pula tidak memberikan sebarang kenyataan pada Selasa.

ROSMAH_BENARNEWS_01.jpg

Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor (tengah) tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 16 Ogos, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Rayuan terakhir

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 26 Ogos 2022 untuk mendengar rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya, yang menyaksikan pihak pembelaan memberikan 94 alasan mengapa beliau perlu dibebaskan. Sekiranya rayuan itu ditolak, maka Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama disumbat ke dalam penjara.

Najib didakwa di mahkamah pada Julai 2018. Selepas dua tahun perbicaraan, beliau telah disabitkan dengan tujuh kesalahan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta (AS$9.4 juta) milik SRC International yang dimasukkan ke akaun miliknya. Selain hukuman penjara 12 tahun, Najib didenda RM210 juta (AS$47 juta).

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas ahli politik itu serta menyifatkan kes SRC sebagai satu keaiban untuk negara.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun tetap menafikan semua pertuduhan terhadapnya. Beliau kini bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta (AS$448,500) dan belum menjalani hukuman penjara walaupun sehari.

Najib, yang bergiat aktif dalam politik sejak berusia lewat 20-an, mencatat kejayaan pertama apabila menyandang jawatan besar dalam kerajaan pada 1982 selepas dipilih menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun sebelum memegang beberapa jawatan dalam Kabinet sehingga akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Beliau memegang tampuk pemerintahan negara dari 2009 hingga 2018 sebelum kerajaan pimpinannya kalah mengejut pada Pilihan Raya Umum 2018 yang antara lainnya disebabkan oleh skandal 1MDB.

Najib turut berdepan satu lagi perbicaraan jenayah atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan wang sebanyak RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang ditubuhkan oleh beliau sendiri pada 2009 ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau juga mungkin berdepan beberapa perbicaraan lain atas 10 lagi pertuduhan.

Pendakwa Raya Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB di antara tahun 2009 dan 2014 dalam satu skandal yang melibatkan institusi kewangan serta pegawai tempatan dan antarabangsa, termasuk Najib.

Subel Rai Bhandari di Bangkok, Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.