Trump Puji Najib Atas Peranan Malaysia Berkaitan Anti-Keganasan
2017.09.12
Washington DC

Presiden Donald Trump pada Selasa memuji Malaysia atas peranannya dalam menentang keganasan, ketika beliau mengalu-alukan kunjungan Perdana Menteri Najib Razak ke White House, di tengah-tengah siasatan Amerika Syarikat terhadap skandal rasuah membabitkan berbilion dolar yang membelenggui pemimpin Malaysia itu.
Trump juga memuji kerajaan Najib kerana tidak lagi berurus niaga dengan Korea Utara, seperti yang disebutnya, bahawa ia adalah “amat penting" kerana Washington terlibat dalam usaha pelbagai hala bagi menghentikan program senjata nuklear Pyongyang.
"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar dengan tidak membenarkan ISIS - atau, seperti yang anda gelar, Daesh dan lain-lainya untuk wujud. Dan beliau juga benar-benar tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat perkara itu, "kata presiden Amerika Syarikat tersebut, yang merujuk kepada nama lain Negara Islam (IS), sambil Najib mendengarnya. "Ia amat penting bagi Amerika Syarikat."
Najib, yang diiringi Menteri Luar Negeri Anifah Aman dan penasihat terkemuka lain, menekankan tentang sokongan kerajaannya terhadap kempen memerangi keganasan global yang dilaksanakan Washington.
"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf – apa jua namanya," kata Najib sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala yang tertutup kepada media, menurut transkrip yang dikeluarkan oleh White House. "Mereka adalah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia, dan kami akan melaksanakan peranan kami bagi memastikan kawasan kami di dunia ini selamat."
Najib memberitahu Trump bahawa negaranya, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, akan menyertai perjuangan menentang IS menerusi perang saraf ideologi "kerana anda perlu menambat hati dan minda."
“Dalam hal ini, perkara paling penting ialah memberi sokongan kepada rejim dan kerajaan negara Islam yang berpendirian sederhana serta progresif di seluruh dunia kerana itulah wajah Islam yang benar-benar tulen,”katanya.
"Lebih rapat hubungan anda dengan rejim progresif dan berpendirian sederhana, maka akan lebih berkesanlah usaha untuk memenangi hati dan minda dunia Islam.”
Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kerajaan Malaysia memberi amaran kepada rakyatnya tentang ancaman terhadap keselamatan negara menerusi perekrutan belia tempatan oleh Negara Islam dan rancangan keganasan IS di negaranya. Malaysia, melalui Kementerian Luar Negeri, mengendalikan sebuah fasiliti yang dikenali sebagai Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Memerangi Keganasan dengan bantuan Jabatan Negara AS.
Korea Utara
Sebelum memulakan mesyuarat dua hala mereka, Trump menyatakan bahawa Malaysia "tidak lagi menjalankan urus niaga dengan Korea Utara, dan kami menganggapnya sebagai sangat penting."
Berdasarkan transkrip tersebut, Najib tidak menyatakan apa-apa tentang perkara itu.
Malaysia, bagaimanapun, adalah antara 10 negara ASEAN yang mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Korea Utara, walaupun hubungan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tegang pada awal tahun ini susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un, di Malaysia.
Menurut satu laporan yang diterbitkan oleh Associated Press pada 9 Sept dengan memetik pakar-pakar PBB, Malaysia adalah antara beberapa negara yang mengimport arang batu dari Korea Utara dalam tempoh enam bulan yang berakhir pada awal Ogos, yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap program nuklear Pyongyang.
Pada Isnin, Majlis Keselamatan PBB mengundi sebulat suara untuk meningkatkan sekatan terhadap Korea Utara selepas ujian nuklear keenam dan terbesar Pyongyang dilaksanakan bulan ini. Sekatan itu, yang merupakan resolusi ke-sembilan yang diguna pakai terhadap Korea Utara sejak 2006, mengharamkan eksport tekstil dan bekalan bahan bakar.
Sambil Najib mendengar, Trump memberitahu wartawan bahawa beliau baru sahaja membincangkan tentang undi PBB dengan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson.
"Kami melakukan undian semalam mengenai sekatan itu," katanya. "Kami fikir ia satu lagi langkah yang sangat kecil - bukan masalah besar pun... Saya tidak tahu sama ada ia akan memberi kesan. "
"Tetapi sekatan itu tiada apa-apa berbanding apa yang akhirnya akan berlaku," kata Trump tanpa mengulas lanjut.
Pembelian pesawat
Najib juga bercakap mengenai sumbangan negaranya "dari segi memperkukuh ekonomi AS", dengan menekankan pelaburan dan urus niaga bernilai lebih $10 bilion termasuk pemerolehan berpuluh-puluh pesawat Boeing 737 dan 787.
Sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada petang Rabu, Najib dijangka menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Malaysian Airlines dan Boeing, menurut laporan New York Times.
Najib berkata, Malaysia Airlines akan memperoleh lapan pesawat 787 Dreamliner dan lebih 12 pesawat 737-MAX 10 daripadaa Boeing.
"Dan terdapat kebarangkalian yang kuat - bukan kemungkinan - kebarangkalian bahawa kami akan menambah 25 lagi pesawat 737 MAX 10 dalam masa terdekat," katanya. "Jadi, dalam tempoh lima tahun, perjanjian itu akan bernilai lebih daripada $10 bilion."
Najib berkata, beliau juga akan meyakinkan syarikat penerbangan kadar rendah, AirAsia, untuk membeli enjin General Electric AS, selain beliau turut memberitahu Trump mengenai rancangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, sebuah dana pencen utama di Malaysia, untuk melabur kira-kira $ 7 bilion di Amerika Syarikat.
'Bukan mahu meminta wang'
Najib tiba di White House di tengah-tengah kritikan terhadap pentadbiran Trump kerana menjemputnya ke sana walaupun siasatan jenayah Jabatan Kehakiman AS (DOJ) terhadap tuduhan bahawa lebih daripada $4.5 bilion telah diselewengkan daripada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 1MDB ditubuhkan oleh perdana menteri Malaysia itu, yang telah menafikan sebarang salah laku.
"Dengan jemputan daripada White House, Encik Trump telah membantu Encik Najib keluar daripada cengkaman itu dan memberikannya apa yang digambarkan oleh rejim sebagai sokongan prapilihan raya,” lapor Washington Post dalam rencana pengarangnya pada Isnin. "Sekiranya White House menerima apa-apa sebagai balasan untuk mendapatkan sokongan politik yang besar itu, ia tidaklah jelas."
Bukan sahaja Encik Najib dikenali ramai kerana memenjarakan mereka yang melakukan penentangan secara aman, mendiamkan media yang kritikal dan menterbalikkan kemajuan Malaysia ke arah demokrasi," katanya. "Beliau juga tertakluk kepada siasatan kleptokrasi asing terbesar yang pernah dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman AS."
Jabatan Kehakiman mendakwa bahawa Najib dan rakan sekutunya mengalihkan $4.5 bilion daripada 1MDB untuk kegunaan mereka sendiri, termasuk hampir $ 700 juta yang berakhir dalam akaun yang dikawal oleh perdana menteri.
Apabila ditanya sama ada isu 1MDB dibangkitkan pada pertemuan antara Trump dan Najib, jurucakap White House, Sarah Huckabee Sanders memberitahu taklimat media pada petang Selasa bahawa beliau tidak tahu sama ada siasatan DOJ disebut dalam perbincangan mereka.
Semasa majlis makan malam untuk rakyat Malaysia-Amerika di Kedutaan Malaysia pada malam Isnin, Najib, yang mungkin mengadakan pilihan raya tahun depan, memaklumkan tentang tumpuan perbincangannya dengan Trump.
"Kami berada di sini bukan untuk meminta wang daripada AS," kata Najib. "Kami datang ke sini sebagai sebuah negara semakin meningkat yang berjaya dan berkembang serta bertekad untuk berjaya menjadi 20 negara terbaik di dunia pada 2050."
"Saya berada di sini untuk menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang penting bagi Amerika Syarikat," katanya. "Kami mahu mengemukakan banyak cadangan yang bernilai."