Ibu Negara Palestin: Negara Islam Setuju Iktiraf Baitulmuqaddis Timur
2017.12.13
Washington DC

Malaysia dan Indonesia adalah antara negara-negara Islam yang mengisytiharkan pada Rabu bahawa mereka mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin, dengan secara kolektifnya mengutuk Amerika Syarikat kerana mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Pada akhir mesyuarat tergemparnya di Istanbul, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara mengeluarkan kenyataan rasmi dengan menggesa semua negara anggotanya supaya "mengenakan sekatan politik dan ekonomi" ke atas negara, pejabat, parlimen, syarikat dan individu yang mengiktiraf pendudukan Israel di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat. Dokumen itu tidak menyatakan secara terperinci bagaimana sekatan itu akan dilaksanakan.
Pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lalu bahawa beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv adalah satu "penolakan yang jelas" terhadap peranan pentadbirannya sebagai broker keamanan di rantau ini, kata OIC.
OIC juga memberi amaran bahawa ia akan menganggap Amerika Syarikat sebagai bertanggungjawab terhadap semua akibat yang berlaku berikutan kegagalan negara itu membatalkan keputusannya, seperti yang dituntut oleh anggota-anggota OIC dalam kenyataan itu.
"OIC menyeru sekali lagi kepada negara-negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin supaya segera melakukannya bagi mengukuhkan asas penyelesaian untuk kedua-dua negara itu, dengan membawa ke hadapan keadilan dan perundangan antarabangsa," kata Setiausaha Agung OIC Yousef Al- Othaimeen, dalam kenyataan yang dikeluarkan badan antara kerajaan yang mewakili dunia Islam itu.
Najib, Jokowi bersuara
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak adalah antara pemimpin yang berucap pada mesyuarat itu.
"Keputusan yang dibuat oleh Amerika Syarikat adalah suatu provokasi dan memberi kesan yang serius terhadap keamanan di wilayah itu. Ia telah menyemarakkan sentimen rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia,” kata Najib.
"Kami bimbang situasi ini hanya menunggu untuk meletus kerana ketegangan terus meningkat di wilayah itu," kata Najib kepada rakan-rakan pemimpin dan wakil-wakil negara-negara OIC.
Baitulmuqaddis dianggap sebagai bandar suci bagi tiga agama utama: Kristian, Yahudi dan Islam. Israel mendakwa kesemua kawasan Baitulmuqaddis adalah ibu negaranya, sedangkan rakyat Palestin melihat Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara masa depan mereka. Umat Islam di seluruh dunia menganggap Masjid Al-Aqsa, yang terletak di tapak suci Yahudi iaitu Temple Mount, sebagai kota suci Islam ketiga.
"Akibat daripadanya, kami menyaksikan keganasan dan pergolakan. Kami telah melihat protes dan demonstrasi yang dilakukan berikutan keputusan itu, termasuklah di negara saya sendiri," kata Perdana Menteri Malaysia itu.
Beliau berkata, kerajaannya mengutuk dan "menolak sama sekali keputusan satu pihak yang dibuat oleh Amerika Syarikat."
"Tindakan sedemikian menjejaskan semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang komprehensif, adil dan berpanjangan terhadap konflik Palestin-Israel."
Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo juga senada dengan Najib.
"Sekali lagi, pengiktirafan yang dibuat Presiden Trump tidak boleh diterima dan mesti dikutuk dengan sekeras-kerasnya," kata Jokowi, dalam kenyataan media yang dikeluarkan jurucakapnya.
"Indonesia akan sentiasa mengiringi Palestin dalam perjuangannya. Dalam setiap nafas diplomasi Indonesia, kami sentiasa menyokong rakyat Palestin, "kata Jokowi. "OIC mestilah menolak pengiktirafan satu pihak itu. Penyelesaian masalah dua negara itu adalah satu-satunya penyelesaian dengan Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu kota Palestin. "
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyokong keputusan Trump, berkata pada Rabu bahawa beliau tidak peduli dengan kenyataan OIC itu, lapor Agence France-Press (AFP).
"Nasib rakyat Palestin akan menjadi lebih baik jika mereka menerima realiti dan bertindak demi kepentingan keamanan dan bukan ekstremisme," kata Netanyahu.
"Mereka harus menerima hakikat lain mengenai Baitulmuqaddis: Bukan sahaja ia adalah ibu negara Israel, malah kami juga mengekalkan kehormatan di Baitulmuqaddis dengan memberi kebebasan beribadat untuk semua agama, dan kamilah orang di Timur Tengah yang melakukan perkara ini bukannya seperti orang lain," kata beliau.
Zahara Tiba di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.