Najib gagal cubaan melantik peguam British untuk rayuan kes SRC International
2022.07.21
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak boleh melantik khidmat seorang peguam asing untuk mewakilinya dalam pendengaran rayuan terhadap sabitan bersalah kes berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, para peguam di Malaysia mempunyai kebolehan yang lebih daripada mencukupi untuk mengendalikan kes Najib di Mahkamah Persekutuan, di mana bekas PM itu sedang merayu tujuh sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara terhadapnya.
Susulan daripada keputusan tersebut, salah seorang peguam dalam pasukan yang mewakili Najib, Farhan Shafee memberitahu BenarNews bahawa mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hakim pada Khamis.
Najib hendak melantik seorang peguam British untuk mengetuai pasukan peguam belanya dalam rayuan peringkat terakhir membabitkan kes SRC International, yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB. Pendengaran rayuan itu telah ditetapkan untuk berjalan selama 10 hari bermula 15 Ogos depan.
Najib, yang merupakan seorang Ahli Parlimen daripada parti UMNO, kini bebas dengan ikat jamin.
Bekas Perdana Menteri itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan salahguna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram berkaitan wang berjumlah RM42 juta (AS$9.4 juta) daripada dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Najib.
Selain dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, ahli politik itu turut dikenakan hukuman denda sebanyak RM210 juta (AS$47 juta).
Najib telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, tetapi mahkamah itu pada Disember lepas mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya.
Pendengaran rayuan yang dijadualkan pada bulan depan merupakan peluang terakhir untuk Najib mendapatkan kebebasan.
Skandal kewangan 1MDB telah digunakan oleh pembangkang sebagai senjata utama dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2018, yang menyaksikan kekalahan UMNO buat pertama kalinya sejak ia memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun.
Pendakwa Raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) telah dicuri daripada 1MDB dalam kes yang disifatkan sebagai "skandal kleptokrasi paling teruk".