Najib Kritik Bekas Perdana Menteri Terlibat Dalam “Perbuatan Keji”
2016.12.01
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengkritik bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, yang dikatakannya terlibat dalam “perbuatan keji” kerana telah berpaling tadah dan menderhaka terhadap parti UMNO, bangsa dan tanahair.
Najib berkata, Mahathir yang pernah di sanjung sebagai seorang tokoh, kini tergamak melibatkan diri dalam perbuatan keji serta bersubahat bersama pakatan pembangkang seperti parti PKR, DAP, Amanah, dan Bersih.
“Lebih teruk lagi bersekongkol dengan musuh luar negara seperti penyangak mata wang Soros yang pernah dibenci dan disuruh membencikannya semasa menjadi pemimpin tertinggi negara,
“Dan ini adalah kemuncak pengkhianatan bekas perdana menteri itu terhadap Umno, bangsa dan tanahair," katanya semasa menyampaikan Ucapan Presiden pada Persidangan Agung UMNO, parti yang mengetuai kerajaan campuran Barisan Nasional yang memerintah negara, di Kuala Lumpur pada Khamis. UMNO memerintah Malaysia sejak 1957.
Ucapan itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen nasional.
Najib mula menjadi tumpuan serangan Mahathir, sejak dua tahun lalu apabila Perdana Menteri itu dikatakan berlibat dalam skandal kewangan yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib sekeras-kerasnya menolak tuduhan rasuah itu, yang dikaitkan dengan dana negara dibebani hutang 1MDB dan deposit bernilai hampir AS$700 juta ke dalam akaun peribadinya.
Pada Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan dua belas saman undang-undang bagi mendapatkan kembali aset bernilai lebih $1 bilion yang dikatakannya hilang daripada 1MDB dan diubah secara haram melalui institusi kewangan Amerika.
Febuari lepas, Mahathir, 91, bertindak keluar daripada UMNO berikutan dakwaan yang membelenggui Najib itu dan pada Julai pula beliau telah menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kini sedang bekerjasama dengan pakatan pembangkang.
Najib, 63 menyifatkan tindakan Mahathir itu sebagai "pengkhianatan muktamad" sambil merujuk kepada episod pada tahun 1987 dan 1998 ketika kepimpinan Mahathir berada di bawah ancaman dan Malaysia berdepan dengan krisis politik.
Pada ucapan itu juga, perdana menteri berkenaan memberi gambaran bahawa pentadbiran negara itu bakal mengadakan pilihanraya lebih awal iaitu sebelum Jun 2018, iaitu tarikh yang ditetapkan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-14 berdasarkan kitaran pilihan raya lima tahun negara itu.
Namun, Najib tidak menyebut tarikh pilihanraya akan datang.