Pilihan Raya Umum Ke-14 ‘Bapa Segala Pilihan Raya’, Najib
2017.12.07
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memalu gendang pilihanraya dengan menggelarkan Pilihanraya Umum Ke-14 negara itu yang perlu dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos 2018 sebagai “Bapa Segala Pilihanraya”, kata Presiden UMNO itu dalam ucapan dasarnya pada Khamis.
Najib dengan penuh keyakinan berkata bahawa UMNO, parti yang telah memerintah Malaysia sejak merdeka akan menang besar dalam pilihanraya akan datang serta menggelarkan Perhimpunan Agung UMNO lima hari yang bermula Selasa sebagai “penghulu segala perhimpunan.”
“Perang kali ini bergelar Bapa Segala Pilihanraya, kita akan bertempur, berlawan, lawan habis-habisan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis.
Najib juga mahukan “obor perang” pilihanraya terus menyala supaya parti tersebut termasuk Barisan Nasional berupaya menang dengan majoriti lebih daripada dua pertiga pada pilihanraya akan datang.
Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah menguasai politik Malaysia sepanjang 60 tahun yang lalu. Perhimpunan tahunan itu biasanya menarik ribuan ahli dan penyokong parti itu dari seluruh Malaysia, merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14, yang mesti diadakan sebelum pertengahan 2018.
Dalam ucapan dasarnya, Najib memberitahu, perhimpunan UMNO kali ini dihadiri kira-kira 5,628 perwakilan dari 191 bahagian UMNO dengan 30,000 pemerhati dan ahli UMNO dari seluruh negara.
Pilihanraya genting
Najib turut mengingatkan ahli UMNO dan jentera parti untuk sentiasa berwaspada dan berada dalam keadaan bersedia kerana parti itu dan gabungan Barisan Nasional (BN) akan menempuh kemuncak episod pilihanraya yang penuh dengan cabaran.
Jelasnya, cabaran tersebut bukan sahaja terhadap UMNO dan Barisan Nasional tetapi juga terhadap kestabilan serta kedaulatan negara dan masa depan syiar Islam.
“Pilihanraya kali ini meletakkan kita di satu persimpangan pemutus lagi monumental, sebabnya di tangan kita adalah pilihan, yang akan menjadi penentu kepada nasib negara, ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini, cukup serius dan tidak ada tawar menawar lagi," katanya dalam ucapan yang menerima tepukan gemuruh hadirin.
UMNO dan Barisan Nasional pada PRU Ke-14 bakal berhadapan dengan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada empat parti pembangkang utama iaitu Part Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diterajui oleh Pengerusinya yang juja bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik utama kerajaan.
Mahathir mula mengkritik Najib berikutan pendedahan yang dibuat berkaitan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM2.6 bilion serta hutang yang ditanggung oleh 1MDB berjumlah kira-kira RM42 bilion ringgit.
1MDB yang sarat dengan hutang itu menjadi sasaran penyiasatan pengubahan wang haram di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, tetapi tidak ada tindakan undang-undang yang diambil di Malaysia. Najib menubuhkan dana berkenaan pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia.
Pada Julai 2015, nama Najib terikat dengan skandal berkenaan apabila terdapat laporan yang menyatakan AS$700juta wang berkaitan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank persendiriannya.
Perdana Menteri menafikan sebarang salah laku dalam kes berkenaan dan mengatakan bahawa jumlah tersebut adalah "sumbangan peribadi" dari keluarga diraja Arab Saudi.
Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Sessions ketika bercakap di dalam Forum Global mengenai Pemulihan Aset di Washington memanggil dana kekayaan kerajaan itu sebagai "kleptokrasi paling buruk."
Sessions mendedahkan bahawa Amerika Syarikat telah merampas atau menghalang kira-kira AS$3.5 bilion (RM14.2 bilion) yang dikaitkan dengan rasuah, di mana hampir separuh daripada tuntutan saman Jabatan Kehakiman AS (DOJ) adalah terhadap 1MDB dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.
DOJ telah memfailkan satu siri tuntutan undang-undang, dan yang paling baru, adalah pada Jun lepas, termasuk cubaan merampas aset bernilai AS$ 1.7 bilion (RM6.9 bilion) yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri itu.
Kritik Mahathir dan Anwar
Ketika ucapan dasarnya, Najib turut mengkiritik Mahathir kerana sanggup bersubahat dengan “musuh politik dan memusuhkan prinsip” beliau sendiri selama berpuluh tahun.
“Bercakap tentang Mahathir pula, dulu,... di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa,... Melayu mudah lupa, namun pada kita, individu ini melampau (this man has crossed the line),” katanya.
Najib kemudian menuduh Mahathir sebagai Melayu yang mudah lupa kerana kegagalannya untuk berpegang kepada semangat dan falsafah perjuangan parti UMNO.
“InsyaAllah tidak sesekali Melayu mudah lupa seperti mereka!!!” katanya lagi.
Najib juga menggelarkan Mahathir sebagai “Bapa-Segala-Tol” dalam ucapannya, merujuk kepada pembangunan pesat lebuhraya ketika pemerintahan bekas perdana menteri itu.
Anwar Ibrahim, pemimpin PKR yang sedang dipenjarakan juga tidak terlepas dari kritikan Najib ketika ucapannya.
“Yang seorang lagi pulak, Saya berziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit, atas sifat kenalan lama. Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama,” katanya sambil menambah keikhlasan beliau melawat Anwar telah mendapat cemuhan.
Beliau sempat memberikan serangkap pantun kepada Anwar, yang mendapat tepukan gemuruh daripada ahli UMNO. Anwar dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun depan.