PM Najib Berdepan Ujian Pilihan Raya Pada 2018

Razlan Rashid
2017.12.26
Kuala Lumpur
121226-NAJIB-620.jpg Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak (kanan), menjulang tangan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semasa satu perhimpunan di Masjid Putra di Putrajaya, Malaysia, 22 Dis, 2017.
[AP]

Perdana Menteri Najib Razak, yang dicemari skandal rasuah, perlu menghadapi pilihan raya umum pada 2018, dengan ramai percaya bahawa beliau dapat memenanginya meskipun dicabar sengit pakatan pembangkang yang diterajui oleh dua bekas pemimpin kerajaan.

Dengan membentangkan unjuran menarik bagi pertumbuhan ekonomi, Najib memastikan bahawa bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sedang dipenjarakan, dapat diketepikan pada 2017 menerusi cabaran undang-undang terhadap mereka, selain beliau sendiri menjanjikan banyak ‘gula-gula’ pra-pilihan raya untuk para pengundi.

Pembangkang hampir menewaskan gabungan parti Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk meletakkan calon yang boleh mencabar perdana menteri itu dalam pilihan raya umum kali ini.

"Saya fikir, perdana menteri telah melakukan tugas yang baik dalam menyebarkan tentang ekonomi negara dalam keadaan baik," kata pakar geo-politik Azmi Hassan kepada BeritaBenar.

"Ada contoh yang boleh dianggap sebagai silap langkah, seperti menangani kos sara hidup yang tinggi, tetapi saya fikir kerajaan menyedari kesilapan itu dan telah menanganinya," kata beliau.

Mengikut perlembagaan Malaysia, pilihan raya umum mesti diadakan setiap lima tahun, dan pilihan raya yang berikutnya perlu diadakan sebelum Ogos 2018.

Najib akan menentukan tarikh bagi pilihan raya umum ke-14, dan laporan media tempatan menyatakan beliau boleh mengadakan pilihan raya itu seawal pertengahan Februari.

Awal bulan ini, semasa persidangan tahunan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), pemimpin berusia 64 tahun itu menyentuh perasaan ahli-ahlinya yang beragama Islam semasa meraih sokongan bagi menghadapi pilihan raya dengan menyampaikan ucapan yang membangkitkan semangat.

“Perang kali ini bergelar Bapa Segala Pilihan Raya, kita akan bertempur, berlawan... lawan habis-habisan!,”kata Najib kepada 2,500 ahli setia yang menghadiri perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur. “Allahu Akbar! Allahu Akbar!,"

Ucapan itu, kata para penyokong, dapat membantu Najib menghadapi potensi pertarungan pilihan raya dengan perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Mahathir, yang kini bergabung dengan musuh lamanya, Anwar, untuk mengetuai pakatan baru pembangkang, Pakatan Harapan.

Mahathir, 92, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1991 hingga 2003, melabelkan Najib, yang suatu masa dahulu adalah protégé beliau, sebagai korup, namun, Mahathir telah menyatakan bahawa beliau tidak mahu menjadi perdana menteri lagi.

Sementara itu, Anwar yang berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara bagi sabitan liwat. Tetapi, menurut peguamnya, Anwar dijadual dibebaskan pada Jun - satu lagi sebab mengapa Najib akan mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal, dan enggan memberi masa yang cukup buat bekas timbalan perdana menteri itu untuk menyatukan pembangkang menjelang pilihan raya.

Dibayangi 1MDB

Namun pada 2017, Najib sekali lagi gagal mengetepikan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan skandal berbilion dolar dana pelaburan negara yang diasaskannya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mungkin akan membayanginya dalam kempen pilihan raya pada 2018.

Najib secara konsisten menafikan beliau mengambil wang daripada 1MDB. Beliau terbabit dalam skandal itu setelah hampir AS$700 juta wang yang dikaitkan dengan 1MDB didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013, tetapi belliau berkata wang itu disumbangkan oleh keluarga diraja Arab Saudi dan tidak digunakan untuk kepentingan peribadinya.

Tahun ini, penyiasat persekutuan di Amerika Syarikat memperluaskan tuntutan undang-undang terhadap ahli-ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Najib, dengan mendakwa mereka terlibat dalam mencuri dan mengubah AS$4.5 bilion daripada dana itu. Dokumen mahkamah Amerika Syarikat berulang kali merujuk Najib sebagai "Pegawai Malaysia 1."

Skandal 1MDB itu menyelubungi Najib sejak Julai 2015 hingga membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatannya, tetapi isu itu tidak timbul semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Washington pada September, menurut White House.

Duri lebih besar

Mahathir dan Anwar merupakan pengkritik paling lantang Najib, dengan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berikutan skandal 1MDB.

Menurut para penganalisis, Mahathir menjadi duri yang lebih besar bagi Najib.

Mahathir mengetuai UMNO untuk memenangi lima pilihan raya dan, menurut pemerhati politik, rakyat Malaysia masih memuja beliau walaupun Najib berusaha menjatuhkannya.

"Mahathir mempunyai ramai pengikut dan penyokong yang amat menghargainya," kata Muhammad Khairy, seorang penjawat awam. "Mereka tahu apa yang telah dilakukannya untuk negara selama 22 tahun, dan kita semua dapat melihatnya dengan jelas."

Dengan Mahathir mengetuai pakatan parti pembangkang, ia mungkin sudah mencukupi buat rakyat Malaysia untuk mengundi bagi pemimpin yang baru, kata peguamnya, Haniff Khatri, kepada BeritaBenar.

"Sudah tentu, kehadiran Mahathir dalam mengetuai pembangkang adalah faktor paling penting dalam mendapatkan rakyat Malaysia supaya mengundi untuk merubah kerajaan," katanya.

Tetapi, satu langkah undang-undang yang dilaksanakan kerajaan Najib baru-baru ini boleh merumitkan pembangkang untuk menghadapi 2018.

Pada November lalu, sebuah panel yang dilantik oleh kerajaan iaitu Suruhanjaya Siasatan Diraja telah mengesyorkan supaya Mahathir dan Anwar disiasat bersama-sama dengan bekas pegawai kerajaan yang lain berkaitan  kerugian berbilion ringgit yang dialami Bank Negara pada 1990-an, ketika Mahathir menjadi perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Solidariti dengan rakyat Palestin, Rohingya

Dalam mendapatkan sokongan pilihan raya daripada partinya yang dianggotai Melayu Muslim, Najib baru-baru ini lantang bersuara mengenai isu-isu antarabangsa yang berkaitan dengan sentimen agama. Dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini, beliau telah mengetuai perhimpunan demi perhimpunan bagi menunjukkan solidariti kepada umat Islam Rohingya yang dianiaya Myanmar, serta rakyat Palestin selepas Amerika Syarikat memutuskan  untuk mengiktiraf Baitulmuqadfis sebagai ibu negara Israel.

Menangani sentimen sedemikian adalah penting dalam menarik pengundi di negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, kata penganalisis.

"Najib telah menunjukkan bahawa beliau sanggup menentang kuasa besar jika ia membabitkan isu Baitulmuqaddis dan Rohingya," kata Azmi kepada BeritaBenar. "Gaya kepimpinan sebegini amat dihargai rakyat."

Jumaat lepas, Najib memberitahu satu perhimpunan bahawa walaupun Presiden Trump menyambut mesra kunjungan beliau ke White House, namun beliau tidak akan berkompromi dalam hal kesucian Islam.

"Amerika Syarikat mungkin kuasa besar, tetapi jangan memandang rendah terhadap Malaysia. Kita punya maruah dan martabat, kita tidak meminta wang daripada Amerika Syarikat," kata Najib.

'Menjaga' para pengundi

Selain daripada mendapatkan sokongan pengundi berhubung isu-isu berkaitan agama, strategi "menjaga" pengundi luar bandar  termasuk di negeri-negeri Sabah dan Sarawak, boleh mendorong Najib untuk memenangi pilihan raya umum, kata ahli perniagaan Malaysia Ab Wahab Ali.

Penganalisis bersetuju bahawa di tengah-tengah kritikan lantang daripada musuh Najib, laporan Bank Dunia yang menganggarkan bahawa ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak 5.8 peratus pada tahun ini dan 5.2 peratus pada tahun depan boleh memberi sentimen yang memihak kepada parti pemerintah.

Muhammad Khairy menjangkakan Najib akan mengadakan pilihan raya pada  Mac atau April - selepas Tahun Baru Cina dan sebelum bermulanya bulan suci Islam, Ramadan, pada pertengahan Mei.

Beliau percaya ini akan berlaku selepas kerajaan membuat pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), satu program yang diwujudkan oleh Najib untuk memberi wang tunai sebanyak RM1,200 (US $ 294) di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha pentadbirannya meringankan beban rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

"Ramalan saya adalah pilihan raya umum ke-14 diadakan pada Mac dan pada masa itu, pembayaran BRIM sudah dibuat," kata Muhammad Khairy kepada BeritaBenar.

"Ini boleh memenangi hati pengundi pinggir bandar."

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.