Penyanyi rap Malaysia sasarkan 'little pinks' China dalam lagu sempena Tahun Baharu Lunar

Video Namewee memaparkan figura maharaja yang bertopeng Winnie the Pooh dan mengecam penyokong Xi yang tinggal di luar China.
Ray Chung untuk RFA Kantonis dan Jenny Tang untuk RFA Mandarin
2024.01.31
Penyanyi rap Malaysia sasarkan 'little pinks' China dalam lagu sempena Tahun Baharu Lunar Namewee beraksi dalam gambar yang diambil secara tangkapan skrin daripada siaran YouTube penyanyi rap itu pada 28 Januari 2024 selepas melancarkan lagu berunsur sindiran "Descendants of the Dragon" menjelang perayaan Tahun Baharu Lunar.
[Ihsan Namewee/YouTube]

Ketika ramai penduduk Asia Timur membuat persediaan untuk menyambut perayaan Tahun Naga, penyanyi rap Malaysia, Namewee, sekali lagi membangkitkan kekecohan apabila menyindir Parti Komunis China dan penyokong "little pinks" - kali ini menyasarkan mereka yang bersemangat patriotik tetapi tinggal di mana-mana sahaja kecuali di tanah air sendiri.

"Little pinks" merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan nasionalis Cina muda yang jingoistik dan aktif di internet.

Laman Facebook penyanyi rap itu menyatakan bahawa lagu itu secara satiranya "didedikasikan kepada setiap orang Cina di dalam dan luar negara serta seluruh dunia (termasuk Singapura, Malaysia, Hong Kong dan Taiwan) bagi mempertahankan maruah orang Cina!"

"Sebagai anak 'keturunan naga,' kita mesti sentiasa ingat: Sayangi parti, sayangi negara, sayangi pengerusi!"

Namewee sebelum ini pernah mengkritik penyokong "little pinks" Beijing, dan beliau juga telah dilarang daripada membuat persembahan di Hong Kong.

Video lagu terbaharunya bermula dengan penampilan figura maharaja China yang menunggang kuda padi dengan memakai topeng watak beruang fiksyen Winnie The Pooh fiksyen dan berlatarkan Tembok Besar China.

Imej dan rujukan kepada beruang fiksyen itu telah diharamkan oleh penapis internet China kerana kononnya mempunyai persamaan dengan Presiden Xi Jinping.

Lagu itu, yang telah mendapat lebih 3.5 juta tontonan di YouTube, menampilkan beberapa kata-kata senda dalam bahasa Cina untuk naga, "龙 lóng" sambil merujuk kepada lagu hit pada 1983 penyanyi Taiwan, Hou Dejian, yang kemudiannya dijadikan lagu utama gerakan prodemokrasi 1989 di Dataran Tiananmen.

Dengan lagu Hou menggambarkan "keturunan naga" sebagai "dikelilingi oleh pedang diktator," Namewee pula menyasarkan mereka yang meneruskan matlamat kerajaan China yang autoritarian, walaupun mereka tidak mahu hidup di bawah pemerintahannya.

Antara lirik rap Namewe "Terdapat sekumpulan orang di Timur Jauh, kononnya mencintai tanah air mereka tetapi tinggal di London, Kemboja, Myanmar Utara dan Thailand."

"[Orang berketurunan Cina berada] di mana-mana, dari NYC ke LA, rokok di tangan bersilih ganti, tiap hari menelefon sampai awal pagi, hubungi semua sepupu dan anak saudara, hubungi semua rakan sekampung supaya datang dan sertai mereka," antara lirik lagu itu.

Liriknya berterusan dengan "Membenci Jepun dan menghina AS adalah tanggungjawab kita... membanjiri YouTube, mengkritik dan menyebarkan berita palsu -- PALSU!"

"Baginda memakai jubah naga," Namewee melantunkan rap sambil menari bersama Maharaja Poo.

"Bersama-sama, kita belajar mengaum seperti naga."

240130-MY-Namewee2.jpeg

Penyanyi Malaysia Namewee tiba untuk Anugerah Melodi Emas ke-33 di Kaohsiung, Taiwan, 2 Julai 2022. [Billy Dai/AP]

Maharaja Pooh

Lagu itu bermula dengan logo rasmi Pentadbiran Radio, Filem dan Televisyen Negara Beijing, yang kemudiannya beralih menjadi "Little Bear News For You" iaitu kata-kata senda mengenai Winnie the Pooh dalam bahasa Cina.

Pada penghujung video kitu, yang dikeluarkan menjelang Tahun Baharu Lunar yang merayakan Tahun Naga pada 9 Februari, Maharaja Pooh berucap kepada para penghibur di set penggambaran.

"Lagu 2024 kita, "Descendants of the Dragon" secara rasminya selesai," demikian diisytiharkan oleh figura maharaja itu dalam gaya pegawai Parti Komunis China menamatkan mesyuarat. "Jika ada bantahan, sila angkat tangan."

Pemain piano British, Brendan Kavanagh, yang baru-baru ini berdepan dengan sekumpulan “little pinks” yang mengibarkan bendera China di Stesen St Pancras, London hingga tular di YouTube, mengulas di bawah video itu: "Saya suka lagu ini. Namewee, anda perlu datang ke UK dan jom kita buat video."

Namewee menjawab: "Beritahu saya jika anda datang ke Taiwan atau Malaysia juga! Tetapi jangan sentuh saya!😄," merujuk kepada satu dakwaan berulang kali “little pinks” bahawa Kavanagh telah menyentuh seorang wanita dalam kumpulan itu.

240130-MY-Namewee3.jpeg

YouTuber Brendan Kavanagh memainkan lagu di piano awam dengan anak patung Winnie the Pooh, yang diharamkan di China, di stesen kereta api St. Pancras di London pada 26 Januari 2024 selepas terbabit dengan pertengkaran awam dengan beberapa "little pinks”. [RFA]

China menerima nasionalisme global yang disokong kerajaannya sejak beberapa tahun lepas, kata Lai Jung Wei, seorang profesor di Universiti Sains dan Teknologi Lunghwa di Taiwan.

"Mereka telah mencipta satu bentuk nasionalisme yang agresif melalui program pendidikan patriotik bermula dari sekolah rendah hingga ke universiti," kata Lai kepada RFA dalam satu temu bual baru-baru ini. "Ini juga dicerminkan dalam masyarakat antarabangsa, di mana kita juga melihat wujudnya ‘little pinks’ ini."

"Tingkah laku ‘little pinks’ menampilkan sosialisme dengan ciri-ciri orang Cina, yang pada asasnya berbeza daripada nilai [demokratik] antarabangsa," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.