Nazir Ambil Cuti Sementara Siasatan Dana Politik Berjalan

Hata Wahari
2016.04.18
Kuala Lumpur
160416-my-nazir-najib620 Pengerusi CIMB Bank Nazir Razak pada sidang media di sebuah hotel di pusat bandar Kuala Lumpur, 3 Mei 2007.
AFP

Pengerusi CIMB Nazir Razak mengambil cuti berkuatkuasa Isnin, untuk membolehkan siasatan bebas dilakukan terhadap pemindahan dan pengagihan dana politik sebanyak RM28 juta (AS7 juta) kepada ahli-ahli politik menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mesyuarat agung CIMB dengan menegaskan tindakan beliau itu bagi membolehkan pengurusan bank beroperasi pada tahap integriti yang tinggi.

“Cuti ini akan bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak audit dalam bank dan pihak syarikat perakaunan luar, iaitu Ernst & Young yang dilantik oleh Lembaga Pengarah manakala durasi cuti bergantung kepada tempoh yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah,” kata beliau yang sudah 26 tahun bersama CIMB pada sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, “Saya tidak akan meletakkan reputasi saya dan juga CIMB dalam risiko, sekiranya saya mengetahui ianya mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kontroversi, tentu saya tidak akan melakukannya.

Semakan audit dalaman bank berkenaan bermula sejak 5 April lepas.

Pada hujung Mac lepas, The Wall Street Journal (WSJ) dalam laporannya telah mendakwa bahawa adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Pengerusi CIMB Bank menerima AS$7 juta untuk diagihkan oleh pegawai-pegawai bank berkenaan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berikutan arahan daripada pemimpin parti itu.

"Abang saya (Najib) meminta sedikit bantuan dan saya telah bersetuju selepas saya menilai yang ia tidak akan terlibat dengan sesuatu yang melanggar undang-undang atau menyalahgunakan kedudukan saya atau sebarang penggunaan kurang wajar sumber CIMB," tambahnya sambil berkata bahawa beliau tidak membuat pemindahan dana lain, selain daripada US$7 juta itu.

Pada mesyuarat agung bank itu, pemegang saham CIMB juga telah melantik semula Nazir sebagai Pengerusi kumpulan bank berkenaan.

Selepas laporan WSJ itu, Nazir mengeluarkan satu kenyataan bertulis yang mengesahkan bahawa beliau menerima wang tersebut untuk diagihkan tetapi tidak pasti punca sumber dana berkenaan.

‘Tindakan kekal integriti’

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar dalam reaksi segera kepada BeritaBenar menegaskan tindakan Nazir merupakan tindakan paling baik dalam mengekalkan integriti di kalangan ahli perniagaan di Malaysia.

“Ini adalah satu tindakan bermaruah bagi seseorang yang berkuasa untuk mengambil cuti sementara semasa menunggu siasatan yang sedang berjalan,

“Tindakan ini sepatutnya menjadi amalan bukan sahaja di kalangan ahli perniagaan tetapi juga ahli politik, untuk mengambil cuti bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Manakala, pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani  berkata kepada BeritaBenar tindakan Nazir itu harus dialu-alukan dan sepatutnya menjadi amalan bagi pentadbir urus syarikat yang baik.

Najib berhadapan dengan pelbagai kontoversi berhubung 1MDB yang sarat dengan hutang sehingga mencecah RM50 bilion sehingga akhir tahun lepas.

Beliau juga berhadapan dengan pelbagai kritikan berikutan dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun peribadi beliau.

Najib telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk keuntungan peribadi. Tetapi tidak lama selepas berita mengenai skandal itu didedahkan pada Julai lalu, beliau memecat Abdul Gani Patail, peguam negara ketika itu yang mengetuai sebuah pasukan petugas antara agensi yang menyiasat perkara itu dan skandal lain yang berkaitan dengan 1MDB.

1MDB juga berulang kali menafikan bahawa ia memasukkan sebarang wang ke dalam akaun Najib.

Terbaru, pada Jumaat lepas,  Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir telah mengesahkan bahawa ada seorang individu dari negaranya yang telah mendepositkan "derma" ke dalam akaun bank Najib, menjadikan beliau pegawai pertama dari negara itu yang menyokong dakwaan pemimpin Malaysia itu mengenai asal-usul dana berkenaan.

Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa pejabatnya telah menutup siasatan terhadap skandal rasuah berkaitan 1MDB  yang dihadapi Najib, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak AS$ 681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya 2013.

Apandi berkata, tiada kesalahan jenayah dilakukan kerana wang tersebut merupakan ‘derma peribadi’ daripada keluarga diraja Arab Saudi; dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan.

‘Zeti beri amaran’


Dalam pada itu, Bloomberg dalam laporannya memetik Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz sebagai berkata, bank pusat itu telah mengeluarkan amaran kepada kerajaan mengenai 1MDB sejak tahun 2014 lagi.

Zeti yang bakal mengakhiri kontraknya menerajui bank pusat itu hujung bulan ini berkata, bank itu telah mengeluarkan dua memorandum kepada Kementerian Kewangan, pemegang saham tunggal 1MDB mengenai lonjakan hutang firma berkenaan.

"Sudah pasti ia berada dalam radar pemantauan kami, dan kami memantau dari segi tahap hutang mereka, jika ia memberi implikasi sistematik kepada sektor perbankan," kata Zeti kepada Bloomberg di Washington pada Ahad.

Dalam pada itu, laporan terbaru WSJ menyebut, satu perbalahan sedang berlaku antara 1MDB dan firma Abu Dhabi International Petroleum Investment Corp (IPIC) mengenai pembayaran US$50 juta bayaran bon sebelum Isnin.

“Masing-masing (1MDB dan IPIC) menuduh sesama sendiri kerana gagal menjalankan tanggungjawab kerana enggan untuk membayar. Ini berpotensi mencetuskan tindak balas yang boleh membawa kepada kelalaian membayar berbilion- bilion dolar bon,” kata laporan itu.

Namun, 1MDB pada Isnin dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa firma itu telah membayar sepenuhnya semua hutang.

“1MDB dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia telah membayar balik kemudahan US$150 juta pembiayaan dari EXIM Bank sebelum tarik pembayaran balik. Dengan pembayaran ini, 1MDB kini sudah membayar balik sepenuhnya semua hutang bank dan hutang jangka pendek,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut 1MDB juga akan mengekalkan lebihan wang tunai berjumlah kira-kira RM 2.3 bilion untuk keperluan infrastruktur dan keperluan pengurusan hutang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.