Sultan Nazrin: Keganasan Ancaman Besar Kepada Keamanan Dunia
2017.11.20
Kuala Lumpur

Keganasan terrorisme yang menyebarkan ketakutan dan rasa kurang percaya terhadap masyarakat sejagat merupakan satu ancaman besar dan hebat kepada keamanan dunia pada masa kini, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah di satu persidangan Islam antarabangsa pada Isnin.
“Keganasan merupakan satu ancaman besar kepada keharmonian antarabangsa, menyebarkan ketakutan dan ketidakpercayaan selain menimbulkan kesengsaraan kepada individu dan komuniti,” titah baginda yang juga Timbalan Yang Di-Pertuan Agong .
Sultan Nazrin juga bertitah, berdasarkan laporan Indeks Keamanan Global 2017 daripada Insitut Ekonomi dan Keamanan (IEP), yang berpusat di Sydney, Australia, trend keseluruhan menunjukkan penurunan di mana keamanan dunia telah berkurangan berbanding 10 tahun lepas.
“Menurut indeks 2017 tersebut, terdapat peningkatan sebanyak 247 peratus kematian akibat keganasan dalam beberapa dekad lepas dan tidak terdapat tanda-tanda bahawa perkara ini semakin berkurangan,” titah Sultan Nazrin dalam ucaptama kepada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017 Kali Ke-4 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Ipoh, Perak.
Persidangan dua hari bermula Isnin bertemakan ‘Keamanan Global’ dan dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah, dengan dihadiri peserta dari lebih 15 negara.
Baginda bagaimanapun menegaskan bahawa kajian indeks itu tidak mengambil kira keganasan yang belaku di United Kingdom dari Mei hingga September tahun ini termasuk serangan bom di Manchester yang mengorbankan 22 orang, serta serangan keatas sekumpulan umat Islam di Masjid London padan bulan Ramadan tahun ini.
Malahan indeks itu juga, titah Baginda, tidak mengambil kira ketegangan yang memuncak di antara Amerika Syarikat dan Korea Utara dengan senjata nuklear merupakan ancaman kepada masyarakat global dan masa depan dunia.
Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS) sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.
Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.
Dalam tempoh empat tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.
Titah Sultan Nazrin, faktor utama lain yang menyumbang kepada penurunan indeks adalah krisis buruk pelarian yang wujud sejak dekad yang lepas, kesan daripada konflik dalaman, keganasan politik dan penindasan agama.
Sultan Nazrin yang mengambil Myanmar sebagai contoh bertitah, krisis Rohingya terus bertambah buruk sepertimana digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ‘contoh jelas pembersihan etnik.’
Sultan Nazrin bertitah bahawa, untuk dunia mencapai keamanan, generasi muda perlu menjadi pemangkin dan tugas mengekalkan keamanan kini terletak dibahu golongan itu dengan melibatkan diri dalam proses mencapai keamanan.
Sultan Nazrin mengambil contoh keadaan di negara Nepal di mana anak muda terlibat dalam proses perundingan damai yang telah menyaksikan pengurangan sehingga 80 peratus penglibatan orang muda dalam demonstrasi ganas di negara itu.
Baginda bertitah, sebuah komuniti global juga perlu ditubuhkan dalam usaha mencapai sasaran keamanan sejagat yang menghubungkan kerajaan dan masyarakat setempat.
Titah baginda, keamanan sejagat juga harus dibentuk dengan menjalinkan 'jambatan' atau hubungan dua hala yang menyatukan kedua-dua pihak, baik kerajaan atau rakyat, satu imej yang digemari baginda.
“Jambatan ini, perlu dibina dari dalam di antara pemimpin, dan mereka yang di bawah kepimpinan mereka, dan dari luaran, dari diri mereka masing-masing.
“Jambatan itu perlulah teguh, dan saling mengukuhkan di antara satu sama lain. Bersama-sama, ianya boleh menyumbang kepada pengurangan konflik dan memastikan dunia yang lebih aman di masa depan.
“Kepercayaan dan keterangkuman, Beta percaya, adalah amat penting dalam perlaksanaan keamanan global, baik di peringkat lokal, kebangsaan dan juga peringkat antarabangsa,” titah baginda
Sultan Nazrin juga gembira bahawa Hadiah Keamanan Dunia dimenangi oleh pertubuhan memerangi senjata nuklear iaitu International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN), gabungan global melibatkan 100 buah negara yang berusaha untuk menghapuskan senjata merbahaya itu di serata dunia.
Baginda bertitah,untuk dunia mencapai keamanan, usaha untuk menghapuskan senjata nuklear perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan masyarakat atau negara tetapi melibatkan negara dan merentas benua.