PKP: NGO Tetap Hulur Bantuan Pada Gelandangan Walau Terbatas
2020.03.23
Kuala Lumpur, Malaysia

Tatkala kerajaan dan kakitangan di barisan hadapan sibuk menangani penularan wabak coronavirus, kumpulan hak asasi manusia dan ‘soup kitchen’ turut sama memastikan bahawa golongan gelandangan tidak terabai terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berkuatkuasa.
Bukan sahaja cara pengendalian berbeza, pelbagai langkah terpaksa diambil bagi membolehkan mereka terus menjalankan khidmat sosial kepada golongan gelandangan.
Bagi Yayasan Seed yang diasaskan oleh aktivis transgender Nisha Ayob, bantuan makanan tetap berjalan seperti biasa cuma yang berbeza, makanan dibungkus buat gelandangan dan mereka tidak lagi dibenarkan membersihkan atau merehatkan diri di rumah singgah kelolaan yayasan itu.
“SEED masih tetap menyediakan 50 bungkus makanan setiap hari untuk juadah tengah hari, ada di antara mereka yang datang ke pusat kami namun kami tidak dapat membenarkan mereka masuk dan makan. Makanan hanya diagihkan di pintu masuk.
"Saya sedih kerana pusat kami sebelum ini dibuka untuk golongan gelandangan mandi, berehat dan makan tetapi kami perlu patuh pada undang-undang. Mereka pula risau akan ditahan pihak berkuasa dan ditempatkan di satu tempat yang asing," katanya kepada BeritaBenar.
Nisha berkata walaupun tempoh PKP sudah bermula sejak 18 Mac lagi, situasi gelandangan menyedihkan kerana mereka masih tidur di tepi jalan dan terdedah kepada jangkitan COVID-19.
"Buat masa sekarang, kebanyakan gelandangan di Jalan Chow Kit dan Kuala Lumpur masih di luar sana, tiada tempat untuk dituju,” kata Nisha.
SEED yang diasaskan Nisha bertempat di Jalan Tiong Nam mengendalikan penyediaan makanan harian dan ruang rehat kepada hampir 40 trangender dan gelandangan yang ketiadaan tempat tinggal dan keluarga namun sejak perintah kawalan dilaksanakan, yayasan itu tidak dapat membenarkan golongan ini menggunakan fasiliti mereka.
Keperluan lindung diri
Ketika yang lain membantu golongan gelandangan supaya perut mereka terus terisi dalam suasana yang agak meruncing dalam negara, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Dapur Jalanan Kuala Lumpur pula mencuba menyediakan alatan ‘kebersihan’ diri bagi membantu golongan itu dari segi penjagaan kebersihan diri.
Pada Ahad lepas, Dapur Jalanan turun ke lapangan, perkara lazim yang berlaku setiap minggu. Tapi kali ini, selain dari mengagihkan makanan mereka turut menyediakan ‘sanitizer’, sabun dan air mineral buat gelandangan.
Kumpulan itu yang tetap patuh pada PKP, berpecah kepada beberapa kumpulan untuk serahan bagi mengurangkan risiko berkumpul, dan usaha murni itu dilakukan selepas diberi kelonggaran serta bantuan dan pemantauan pihak berkuasa untuk terus membantu warga miskin kota dan gelandangan.
"NGO lain yang dibenarkan beroperasi hanyalah yang memang berjadual setiap minggu, dan hanya beberapa tempat agihan sahaja dibenarkan seperti yang ditetapkan pihak berkuasa. Pengglibatan sukarelawan kini tidak dibenarkan dan semua anggota sukarelawan perlu mematuhi tatacara pihak berkuasa dengan tegas," katanya kumpulan itu.
Semua NGO ini mempunyai komitmen terhadap komuniti jalanan di Kuala Lumpur. Selain gelandangan, golongan amal ini turut membantu warga miskin bandar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Che Asmah Ibrahim berkata, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa malah dua pusat itu masih ada kira-kira 50 peratus kekosongan katil.
"PTG ada 100 katil kosong dan 40 katil di Anjung Singgah, golongan gelandangan adalah dialu-alukan untuk datang mendaftar diri sekiranya memerlukan tempat tinggal.
"Namun, sepanjang perintah kawalan pergerakan, pusat-pusat ini menghentikan segala aktiviti harian dan hanya membenarkan penghuni berehat dan mengambil makanan," katanya kepada BeritaBenar.
Menurut Che Asmah, untuk penghuni, pengurusan pusat akan periksa suhu badan mereka dengan lebih kerap, topeng muka dan ‘sanitizer’ juga dibekalkan.
“Seandainya ada yang tidak sihat, kami akan rujuk kepada hospital. Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) turut ada di sini untuk buat pemeriksaan dan menyediakan makanan sekiranya tiada NGO yang hantar,” tambahnya.
Bagaimanapun, hanya bungkusan makanan yang dibenarkan akan diagihan oleh pihak Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan.
Antara badan amal yang akan menyediakan makanan untuk golongan miskin kota di sekitar Kuala Lumpur adalah Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen (KSK), Projek KASEH4U, Kafe Komuniti Pit Stop, KLSCS Street Feeding, SEED, Street Feeders of KL (SFOKL) dan Dapur Jalanan.
Saringan kesihatan
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah pada Sabtu menyatakan kerajaan melalui Jawatankuasa Khas COVID-19 akan menjalankan saringan kesihatan ke atas golongan gelandangan.
"Mereka juga sebahagian daripada komuniti rakyat kita. Perkara ni telah dibincangkan dalam majlis keselamatan. Jadi ada lebih kurang 500 gelandangan di Kuala Lumpur dan kami juga sudah kenal pasti satu tempat untuk bawa golongan gelandangan untuk tujuan saringan," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya.
Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk buat saringan kepada golongan gelandangan namun sehingga ke Isnin, kerajaan Malaysia belum mengumumkan lokasi yang sudah dikenalpasti itu.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pula menyifatkan jika wujudnya 'gelombang ketiga', maka kelompok gelandangan, dan juga di sempadan negara, akan terkesan secara maksimum.
Isu ini juga digariskan oleh Ketua Pengarah KKM.
"Segala langkah-langkah pencegahan harus diambil demi keselamatan diri dan keluarga anda. Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi 'gelombang ketiga'. Virus ini akan menjadi lebih besar, seperti tsunami," kata Noor Hisham Abdullah pada sidang media pada 20 Mac.
Pada Isnin, Malaysia mencatatkan pertambahan empat kes kematian baharu berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah setakat ini adalah 14 kes dengan 1,518 telah dijangkiti COVID-19 di seluruh negara.