Militan Malaysia Dalam Video Propaganda IS Terkorban di Iraq
2017.06.12
Kuala Lumpur

Salah seorang daripada rakyat Malaysia pertama yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam terbunuh pada Jumaat di Iraq, kata pegawai kanan Malaysia pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mohd Nizam Ariffin, 38 tahun, yang turut dikenali sebagai Abu Afghan, muncul dalam video propaganda IS pada 2016 yang memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai serangan pengganas, terbunuh di Mosul, Iraq, semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan kerajaan negara berkenaan.
"Nizam terbabit dengan kumpulan pengganas dan terlibat dalam pertempuran atas risiko sendiri. Kematiannya tidak dianggap sebagai 'syahid.' Dia tidak mati syahid, "beliau dipetik berkata dalam laporan akhbar The New Straits Times pada Isnin.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia, berkata kerajaan Malaysia tidak akan membawa pulang mayat Mohd Nizam kerana dia meninggal dunia sebagai seorang pengganas.
"Jika keluarganya mahu membawa kembali jenazah, maka mereka perlu berkomunikasi dengan kawan-kawannya (Mohd Nizam)," akhbar The Star memetik Zahid sebagai berkata.
Seorang pegawai kanan dari bahagian memerangi keganasan semasa dihubungi BeritaBenar juga mengesahkan kematian Mohd Nizam, tetapi berkata pihak berkuasa masih mengumpul maklumat lanjut.
Mohd Nizam meninggalkan Syria pada 6 Mac 2014, kata pegawai yang tidak mahu dikenali itu.
"Beliau adalah salah seorang rakyat Malaysia yang mula-mula tiba di Syria," katanya.
Menurut sumber itu, Mohd Nizam pada awalnya menyertai kumpulan militan Ajnad al-Sham di Syria tetapi kemudiannya menyertai IS apabila rakannya Lotfi Ariffin meninggal dunia pada September 2014.
Lotfi, yang merupakan bekas guru agama, juga bekas Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kedah. Beliau meninggal dunia akibat cedera yang dialami selepas bertempur dalam serangan dengan tentera kerajaan Syria.
Sumber itu berkata, kematian Mohd Nizam tidak memberi impak yang besar.
"Kematian Abu Afghan tidak begitu ketara kerana dia tidak memegang apa-apa peranan penting," kata sumber itu.
Menurut sumber, 31 militan Malaysia telah terbunuh dalam pertempuran di Syria dan Iraq manakala 56 yang lain dipercayai masih berjuang di kedua-dua negara.
Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 306 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 individu telah pun dibebaskan, menurut perangkaan kerajaan terkini yang dikumpul oleh BeritaBenar.
Amaran serangan
Pada Januari 2016, Mohd Nizam bersama seorang lagi pejuang IS rakyat Malaysia yang berada di Syria, Abdul Halid Dari, muncul dalam video di bawah logo IS yang memberi amaran mengenai serangan ke atas Malaysia kerana penangkapan anggota dan penyokong IS di negara itu.
Dalam video itu, kedua-duanya bercakap dalam Bahasa Malaysia dan menuntut pembebasan ahli IS yang telah ditahan atau "menghadapi tindakan balas dendam."
“Dalam video itu, mereka juga memperkenalkan diri mereka sebagai anggota Katibah Nusantara dan menggesa ‘Saudara Somalia' Al-Shabaab untuk menyertai kumpulan itu dengan berjuang di Syria," kata sumber kepada BeritaBenar.
Video yang disiarkan dalam talian oleh unit Melayu IS dikenali sebagai Katibah Nusantara (Malay Archipelago Combat Unit), yang timbul sehari sebelum persidangan antarabangsa mengenai keganasan yang berlangsung di Kuala Lumpur, awal tahun lepas.
Pihak berkuasa Malaysia dan jiran Indonesia telah lama memberi amaran tentang ancaman dari IS dan kumpulan sepertinya yang menggunakan media sosial untuk mengindoktrinasi dan merekrut belia tempatan penyokong dan juga pejuang.
Katibah Nusantara, terdiri daripada pejuang dari negara-negara di mana bahasa Melayu dan variasinya diucapkan, yang disyaki diketuai oleh Bahrun Naim, juga dikenal pasti sebagai dalang di sebalik pengeboman maut di Jakarta serta berpangkalan di Raqqa, bandar IS de fakto di Syria.
Pada 28 Jun, 2016, kumpulan militan telah disyaki melemparkan bom tangan di luar sebuah kelab malam di Puchong, Kuala Lumpur. Lapan orang cedera dalam serangan itu.
Pada Mac, dua lelaki dijatuhi hukuman 25 tahun penjara selepas didapati bersalah terlibat dalam serangan bom tangan berkenaan yang pihak berkuasa berkata mempunyai kaitan dengan IS.
Polis Malaysia telah menyalahkan Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, pejuang IS rakyat Malaysia paling dikehendaki atas serangan berkenaan. Wanndy adalah perekrut prolifik IS yang terbunuh pada 29 April dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Raqqa.
Daripada lebih 250 orang ditangkap di Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan IS antara 2013 dan 2016, sekurang-kurangnya satu pertiga telah direkrut atau mempunyai kaitan dengan Wanndy, mengikut statistik polis yang dipetik oleh agensi berita Reuters.
Sementara itu, seorang wanita warga Singapura berusia 22 tahun yang merancang untuk pergi ke Syria bersama anaknya dengan niat untuk berkahwin dengan seorang pejuang Negara Islam telah ditahan, Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata pada Isnin.
Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, yang bekerja sebagai pembantu penjagaan bayi di taska komuniti serta mula menjadi radikal selepas berumur 18 tahun selepas menonton video propaganda IS, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan akhbar.
"Izzah berniat untuk menyertai ISIS dan sedang giat merancang untuk membuat perjalanan ke Syria, dengan anak kecilnya," kata seorang pegawai kementerian, sambil menambah bahawa wanita itu aktif menyiar dan berkongsi bahan IS dan berkaitannya dalam talian.
Sejak 2015, seramai 14 warga Singapura telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan IS, kata pegawai itu. Di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura, pegawai dibenarkan untuk menahan suspek pengganas tanpa perbicaraan sehingga dua tahun.
Rantau Asia Tenggara berada dibawah keadaan berjaga-jaga sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas militan IS Filipina, yang disokong oleh pejuang asing termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, mengibarkan bendera hitam IS di sebuah bandar di selatan Filipina, Marawi dan bertempur dengan pasukan keselamatan.
Sekurang-kurangnya 227 orang, termasuk 138 militan, telah terbunuh dalam pertempuran sejak 23 Mei itu.