Diplomat Korea Utara Diusir Dari Malaysia Berdepan Hukuman Berikutan Kes Ekstradisi AS

Khas untuk BeritaBenar
2021.03.24
Diplomat Korea Utara Diusir Dari Malaysia Berdepan Hukuman Berikutan Kes Ekstradisi AS Sebuah bas yang membawa diplomat dan kakitangan Kedutaan Korea Utara meninggalkan premis kedutaan itu di Kuala Lumpur setelah negara tersebut memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia susulan tindakan mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat, 21 Mac 2021.
[AFP]

Diplomat Korea Utara, yang baru-baru ini diusir dari kedutaan negara itu di Malaysia akibat putusnya hubungan diplomatik dua hala, mungkin berdepan hukuman berikutan tindakan mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat, kata sumber-sumber di China.

Pyongyang pada Jumaat memutuskan hubungannya dengan Malaysia dan menutup kedutaannya di Kuala Lumpur setelah ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Washington, di mana dia menghadapi enam pertuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia kemudian mengarahkan diplomat Korea Utara meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam dan menuduh Pyongyang cuba campur tangan dalam sistem kehakiman negaranya, di mana Mun gagal dalam usahanya menghalang ekstradisi itu sejak dua tahun lalu.

"Sebaik sahaja saya mendengar laporan bahawa pihak berkuasa Malaysia menangkap dan menyerahkan seorang ahli perniagaan Korea Utara ... kepada AS, perkara pertama yang membimbangkan saya adalah keselamatan para pegawai kedutaan yang bertugas di kedutaan itu," kata seorang pegawai perdagangan Korea Utara di Beijing, China kepada Radio Free Asia (RFA), entiti BeritaBenar, pada Isnin.

"Tidak kira di mana ia berlaku, jika kejadian seperti ini berlaku, pegawai kedutaan yang ditempatkan di sesebuah kawasan itu perlu bertanggungjawab," kata sumber itu, yang meminta namanya tidak dinyatakan atas sebab keselamatan.

Sumber itu berkata kes tersebut adalah luar biasa kerana ia berlaku buat pertama kalinya dan Mun kini berada dalam tahanan AS, yang disebut sumber itu sebagai "negara musuh."

Sumber itu percaya Mun mungkin merupakan penjana dana yang penting bagi Parti Pekerja Korea yang memerintah Korea Utara. Dia tidak memberikan penjelasan bagi dakwaannya itu.

"Kejadian ini mempunyai ciri-ciri politik kerana ia memandang rendah terhadap kuasa ‘Darjat Tertinggi’ dari segi luaran. Sejurus sahaja ia berlaku, kepemimpinan di Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia,” kata sumber itu, yang menggunakan istilah penghormatan untuk merujuk kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.

"Kakitangan kedutaan itu diberitahu supaya meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam. Mereka segera melakukan perjalanan pulang seolah-olah mereka sedang dikejar,” kata sumber itu.

Pegawai perdagangan Korea Utara di China itu memberitahu bahawa mereka bimbang dengan nasib yang bakal menimpa pegawai paling kanan kedutaan itu seperti Kuasa Usaha Kim Yu Song.

"Adanya kebimbangan bahawa mereka mungkin dipecat atau dihantar ke kem penjara politik kerana memandang rendah kewibawaan Darjat Tertinggi dan negara itu," kata sumber tersebut.

Seorang lagi pekerja perdagangan Korea Utara di timur laut China memberitahu RFA pada Selasa bahawa berita mengenai tindakan mengekstradisi Mun adalah "amat mengejutkan" pegawai-pegawai lain yang berpangkalan di luar negara, dan mendakwa bahawa sesetengah daripada mereka mungkin ditugaskan untuk mendapatkan matawang asing bagi parti pemerintah itu.

"AS memang terkenal dengan tindakan pantasnya dalam mengesan dan memantau aliran dana haram di seluruh dunia. Di China, pekerja-pekerja Korea Utara memperoleh matawang asing dan melakukan urusniaga dengan sejumlah besar wang,” kata sumber kedua, yang juga enggan namanya dinyatakan.

"Dalam kebanyakan kes, mereka melanggar sekatan ekonomi yang dikenakan oleh PBB dan AS, oleh itu, ramai yang bimbang jika mereka juga ditangkap AS suatu hari kelak," kata sumber kedua itu.

Sumber kedua itu memberitahu bahawa pekerja-pekerja yang ditempatkan di luar negara berpendapat mereka berada dalam situasi yang tidak adil — diperintahkan oleh pihak berkuasa Korea Utara supaya melakukan perbuatan haram untuk mendapatkan matawang asing.

"Tetapi, jika ada di antara mereka dihantar pulang kerana melanggar sekatan antarabangsa, pihak berkuasa di Korea Utara akan menganggap mereka sebagai bertanggungjawab dan menghukum mereka."

Korea Utara dan Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik pada 1973, dan dengan perjanjian pengecualian visa, Malaysia menjadi destinasi utama Pyongyang menghantar pekerja-pekerja perdagangan bagi mendapatkan matawang asing sejak bertahun-tahun lalu. Tetapi, hubungan itu menjadi tegang sejak kes pembunuhan abang tiri Kim Jong Un di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur pada 2017.

Dikenakan hukuman adalah perkara biasa bagi sebarang perbuatan yang dianggap oleh kerajaan Korea Utara sebagai memalukan di persada antarabangsa.

Selepas pembelotan Thae Yong Ho, timbalan duta Korea Utara ke United Kingdom pada 2016, akhbar JoongAng Ilbo di Korea Selatan melaporkan bahawa Pyongyang menganggap naib menteri luar negara itu, Kung Sok Ung, sebagai bertanggungjawab dan menghukumnya dengan memecatnya daripada jawatannya itu. Beliau dan keluarganya turut ditempatkan dalam buangan di sebuah kawasan pertanian luar bandar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.