Malaysia Lantik Pakar Bioterrorism Wanita Sebagai Ketua Unit Anti-Keganasan Baharu
2020.02.14
Kuala Lumpur, Malaysia

Pakar bioterrorism adalah wanita pertama Malaysia yang dilantik mengetuai Unit Anti-Keganasan PDRM untuk menerajui agensi penguatkuasan anti-keganasan bagi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan bertanggungjawab memerangi ancaman militan Negara Islam, Al-Qaeda serta kumpulan pengganas lain.
Perlantikan itu disahkan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Jumaat yang turut menyifatkan Normah Ishak sebagai seorang yang “sangat berkelayakan, berpengalaman, seorang yang profesional, punya integriti yang tinggi dan juga komander yang cemerlang.”
Abdul Hamid memberitahu BeritaBenar bahawa Normah yang merupakan seorang pakar bioterrorism telah mewakili Cawangan Khas dalam banyak persidangan antarabangsa.
“Saya tidak meragui kemampuan beliau. Beliau telah mewakili SB dalam banyak mesyuarat berprofil tinggi, konvensyen, symposium dan merupakan seorang pegawai yang berani dan saya yakin beliau akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin. Lagipun dalam divisyen itu ada ramai anggota dan pegawai yang sangat berpengalaman dan punya azam yang tinggi,” tambah Abdul Hamid lagi.
Menurut sumber dalaman, proses penyerahan tugas antara penyandang jawatan berkenaan Ayob Khan Mydin Pitchay dan Normah telah dibuat pada kira-kira jam 11 pagi Jumaat, dengan perlantikan tersebut berkuasa serta merta.
Abdul Hamid berkata, antara tugasan pertama Normah ialah mengendalikan kepulangan 56 warga Malaysia yang terkandas di Syria.
“Itu adalah tugasan beliau yang pertama,” kata Abdul Hamid tanpa mengulas lanjut.
Bulan lepas Ayob memberitahu media di Pahang bahawa seramai 56 warga Malaysia itu adalah 19 lelaki, 12 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan yang tinggal di kem Syria dan masih bebas.
Sejak 2014, seramai 120 rakyat Malaysia telah berhijrah ke Syria untuk menyertai militan Negara Islam.
Normah yang menyertai pasukan polis pada 1991 dilantik sebagai timbalan ketua unit anti-keganasan pada 2016, tahun yang sama serangan pertama IS yang didalangi oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan mencederakan lapan orang pengunjung pub di luar Kuala Lumpur.
Serangan berkenaan dilakukan oleh beberapa individu yang menerima arahan daripada Wanny untuk melemparkan bom tangan ke arah premis berkenaan. Mereka yang menerima arahan tersebut kemudiannya berjaya ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Semasa menjalankan tugas sebagai timbalan, beliau turut membantu Ayob dalam melumpuhkan serangan berskala besar yang mensasarkan beberapa negara luar oleh Al-Qaeda dengan tertangkapnya beberapa warga asing termasuk lima warganegara Mesir yang merupakan ahli Muslim Brotherhood pada Februari lepas.
Menurut sumber di Bukit Aman, Normah adalah calon yang paling sesuai untuk mengambil alih jawatan kosong yang ditinggalkan Ayob.
“Beliau wanita.. tetapi gender tidak mempunyai kaitan dengan bagaimana seseorang itu menjalankan tugas. Beliau mampu menjalankan tugas sebagai ketua unit anti-keganasan. Beliau sangat tegas dan juga sangat merendah diri,” kata sumber.
Menurut sumber itu lagi, pegawai di unit tersebut tidak mempunyai masalah mempunyai seorang ketua wanita.
Sebelum dilantik sebagai timbalan kepada Ayob, Normah berkhidmat dalam unit yang sama sebagai pengendali operasi dan koordinasi.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.