Rakyat Malaysia dalang penyeludupan hidupan liar di sekitar Asia didakwa di New York
2022.10.07
Kuala Lumpur & Washington

Seorang rakyat Malaysia yang merupakan dalang utama di sebalik organisasi jenayah transnasional pemerdagangan haram hidupan liar pada Jumaat telah dihadapkan di sebuah mahkamah di daerah selatan New York atas dakwaan berkonspirasi menyeludup tanduk badak sumbu dan pemburuan haram spesis hidupan liar yang terancam.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengesahkan mengenai pendakwaan terhadap Teo Boon Ching yang ditahan di Thailand pada Jun lepas dan diekstradisi ke Amerika Syarikat atas permintaan negara tersebut dalam satu kenyataan media.
Terdahulu itu, Jabatan Perbendaharaan AS turut mengeluarkan kenyataan media memaklumkan yang Ching telah dikenakan tindakan sekatan keatas semua kepentingan dan harta miliknya atas kesalahan pemerdagangan kejam hidupan liar yang terancam, termasuk produk pemburuan haram.
“Damian Williams, Peguam Amerika Syarikat bagi daerah Selatan New York, dan Edward J. Grace, Penolong Pengarah Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS, mengumumkan pada hari ini bahawa Teo Boon Chin, a/k/a “Zhang, ” a/k/a “Dato Sri,” a/k/a “Godfather,” telah didakwa kerana mengambil bahagian dalam konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih AS$725,000 yang melibatkan pemburuan haram banyak badak sumbu, spesis hidupan liar yang terancam.
“Ching juga didakwa melakukan pengubahan wang haram hasil jualan badak sumbu. Ching warganegara Malaysia, telah ditangkap di Thailand pada 29 Jun 2022, atas permintaan Amerika Syarikat (AS) menurut perjanjian ekstradisi dua hala, telah diekstradisi ke Amerika Syarikat awal Jumaat serta didakwa di hadapan Hakim Gabriel W. Gorenstein petang ini.
“Berusia 57, Ching didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun,” kata Jabatan Kehakiman AS.
Beliau juga kata Williams menjadi dalang dan juga ketua transnasional jenayah rentas sempadan pemerdagangan tanduk badak, penyembelihan badak sumbu spesis terancam dan menjualkannya di pasaran-pasaran haram di Asia.
Dalam beberapa pertemuan Ching telah mengadakan perjumpaan dengan ‘sumber sulit’ untuk berunding mengenai penjualan dan pembelian tanduk badak dan sebagai contoh, pada 17 dan 18 Julai 2019, sumber sulit itu bertemu dengan CHING di Malaysia.
Menurut kertas pertuduhan, semasa pertemuan itu, Ching menyatakan bahawa beliau berkhidmat sebagai "orang tengah"—seorang yang memperoleh tanduk badak sumbu yang diburu oleh konspirator bersama di Afrika dan menghantarnya kepada pelanggan di seluruh dunia dengan bayaran per kilogram dan ketika komunikasi mereka itu juga, Ching menghantar banyak gambar tanduk badak sumbu kepada ‘sumber sulit’ yang sedia untuk dijual dan dihantar.
Sebulan selepas pertemuan itu, ‘sumber sulit’ atas arahan penguatkuasa undang-undang telah membuat pembelian 12 tanduk badak sumbu daripada Ching dengan wang telah dimasukan dalam akaun sebuah bank di New York.
Atas arahan Ching, penguatkuasa undang-undang (sumber sulit) telah mendepositkan wang pembelian ke dalam beberapa akaun bank negeri China melalui kemudahan perbankan bawah tanah Thailand dalam menyamarkan asal usul, sumber dan tujuan urus niaga monetari.
Ching yang merupakan pakar dalam penyeludupan haram hidupan liar dari Afrika, sering menggunakan laluan ke Malaysia dan Laos dan seterusnya kepada pembeli di Vietnam dan China.
Sekatan harta
Jabatan Perbendaharaan AS berkata susulan tindakan sekatan ke atas Ching itu, semua harta dan kepentingan ke atas harta milikannya disekat dan dilaporkan kepada Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah jabatan tersebut
“Teo Boon Ching disekat menurut E.O. 13581, sebagaimana yang dipinda, kerana telah bertindak atau dikatakan bertindak untuk atau bagi pihak, secara langsung atau tidak langsung, berkaitan organisasi jenayah transnasional pemerdagangan hidupan liar.
“Syarikat Teo Boon Ching yang berpangkalan di Malaysia, Sunrise Greenland Sdn. Bhd. telah disekat menurut E.O. 13581, sebagaimana yang dipinda, kerana dimiliki atau dikawal oleh, secara langsung atau tidak langsung, oleh Teo Boon Ching,” sambung kenyataan itu lagi.
Brian E. Nelson, Timbalan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Risikan Kewangan AS berkata, “Kumpulan pemerdagangan hidupan liar bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan, dan juga menggalakkan perbuatan rasuah serta dana haram.
Amerika Syarikat menganggap pemerdagangan hidupan liar bukan sahaja kebimbangan kritikal kepada usaha pemeliharaan, tetapi juga suatu ancaman kepada keselamatan global, dengan aktiviti pemburuan haram hidupan liar kebiasaannya didalangi oleh sindiket jenayah terancang.
“Sepanjang penglibatannya selama dua dekad dalam perdagangan hidupan liar haram, Teo Boon Ching bertanggungjawab mengangkut beberapa tan metrik tanduk badak, gading gajah dan tenggiling. Sebahagian daripada penghantaran tanduk badak yang diseludup oleh Teo Boon Ching diperoleh daripada badak sumbu hitam yang sangat terancam,” menurut Jabatan Perbendaharaan A.S.
Pada Jun lalu, media tempatan Thailand melaporkan Ching ditahan di Bangkok atas dakwaan pengelibatan dalam jenayah pemerdagangan hidupan liar antarabangsa.
Akhbar Bangkok Post melaporkan pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Thai, Jirabhop Bhuridej sebagai berkata Ching yang ditahan atas dakwaan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.
Susulan penahanannya, Ching yang sebelum itu berada dalam senarai individu dikehendaki oleh Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS.
Media turut melaporkan Ching pernah ditahan di Thailand pada Mac 2015 atas jenayah menyeludup 135kg gading gajah Afrika melalui daerah Sadao di Songkhla, wilayah selatan Thailand, bagaimanpun, dibebaskan setelah membayar denda.
Environmental Investigation Agency (EIA), sebuah badan hak asasi dilaporkan berkata berdasarkan siasatannya, Ching didakwa menjalin hubungan rapat dengan individu yang terlibat dalam pemerolehan dan pengedaran komoditi hidupan liar haram di Malaysia, Vietnam, China dan Laos.
EIA mendakwa rangkaian jenayah terancang China dan Vietnam telah mengeksploitasi Malaysia dan negara Asia Tenggara lain sebagai hab transit untuk mengimport komoditi hidupan liar secara haram dari Afrika ke Asia.