Pejabat Hak Asasi Manusia PBB Asia Tenggara Lahir Kebimbangan

S. Adie Zul
2016.07.29
160729-my-ohchr-620 Pegawai Maklumat Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) Rolando Gomez menunjukan siasatan laporan badan dunia itu mengenai konflik di Gaza pada sidang media di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, 22 Jun 2015.
AFP

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi rantau Asia Tenggara (OHCHR) telah melahirkan kebimbangan badan dunia itu terhadap tindakan Malaysia yang akan menguatkuasakan Undang-undang Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin depan.

Satu kenyataan media telah dikeluarkan pada Jumaat oleh OHCHR yang berpangkalan di Bangkok, Thailand yang antara lain berkata, penguatkuasaan undang-undang berisiko itu akan menyekat kebebasan bersuara dan memberi tekanan kepada perjuangan hak asasi manusia di negara berkenaan.

Pemangku wakil OHCHR serantau, Laurent Meillan yang menyuarakan kebimbangan itu berkata, "Peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang berkenaan, sangat bertentangan dengan keperluan untuk menyiasat sebarang dakwaan salah laku dan kebertanggungjawaban oleh mana-mana institusi dan anggota mereka dalam perihal pencabulan hak asasi manusia."

"Kami amat bimbang mengenai peruntukan imuniti dalam undang-undang itu yang menggalakkan pencabulan hak asasi manusia…, terdapat kemungkinan besar ianya akan disalahgunakan dalam menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara tidak adil,” tambah beliau lagi.

Jesteru, Meillan meminta kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula undang-undang berkenaan dalam menjadikannya selari dengan standard hak asasi manusia antarabangsa. Beliau turut meminta kerajaan membenarkan proses konsultasi dengan semua pihak yang berkepentingan  dibuat secara terbuka dan telus bagi perkara-perkara yang terkandung di dalam undang-undang itu.

Parlimen lulus tanpa pinda

Parlimen Malaysia pada Disember lepas, telah meluluskan Rang Undang-Undang MKN itu tanpa sebarang pindaan dan pelaksanaannya sangat luar biasa kerana ia dilakukan tanpa mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis Raja-Raja Melayu, kata pengkritik tempatan Malaysia semasa mengulas mengenainya.

Majlis Raja-Raja Melayu – iaitu sebuah majlis yang dianggotai oleh Sultan, Raja dan Gabenor, biasanya memberikan perkenan diraja terhadap sesuatu Rang Undang-undang yang dibawa ke majlis itu 30 hari selepas ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada Februari lepas, Majlis Raja-Raja Melayu telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa beberapa peruntukan undang-undang itu perlu untuk diperhalusi.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa Majlis Raja-Raja Melayu meminta Undang-undang itu diperhalusi, tetapi undang-undang ini akan membolehkan kerajaan untuk memintas Yang di-Pertuan Agong sama sekali," kata Syahredzan memberitahu BeritaBenar baru-baru ini.

Majlis Keselamatan Negara terdiri daripada Perdana Menteri, yang mempengerusikan majlis itu, Timbalannya, yang berkhidmat sebagai naib pengerusinya, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara.

Di bawah Undang-undang baru itu, Perdana Menteri diberi kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan keselamatan selama enam bulan. MSN kemudian boleh memerintahkan penempatan mana-mana pasukan keselamatan atau kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan.

Pihak keselamatan mempunyai kuasa untuk menahan dan memeriksa individu, memasuki dan menggeledah mana-mana premis dan mengambil milik mana-mana tanah, bangunan atau alih harta selain boleh menangkap sesiapa sahaja yang didakwa melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, tanpa memerlukan waran.

Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada MKN untuk melantik seorang Pengarah Operasi, yang hanya bertanggungjawab kepada majlis serta mempunyai kuasa yang tidak terbatas, dakwa peguam itu lagi.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di dalam blog beliau pada Rabu, telah  menempelak mereka yang mengkritik Undang-undang Keselamatan Negara dan mendakwa mereka memutar belitkan beberapa fakta.

"Kami telah dikritik kerana meluluskan undang-undang ini, termasuk oleh beberapa orang yang pengecut, atas sebab-sebab politik," kata Perdana Menteri itu sambil menambah,  "Akta Majlis Keselamatan Negara khususnya telah sengaja disalah tafsir. Ia tidak sama sebagai suatu perisytiharan darurat negara - kuasa itu kekal untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – dengan Parlimen masih bertindak memantau mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan ".

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.