Menteri Malaysia Pertahankan Penguatkuasaan Ordinan Anti Berita Palsu

Menteri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa undang-undang itu bersifat sementara dan lupus setelah tempoh Darurat tamat pada 1 Ogos nanti.
Hadi Azmi
2021.03.12
Kuala Lumpur
Menteri Malaysia Pertahankan Penguatkuasaan Ordinan Anti Berita Palsu Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah (kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan (kanan) menunjukkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 selepas sidang media di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, 12 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat mempertahankan keputusan penguatkuasaan ordinan menjadikan 'berita tidak benar' berkaitan COVID-19 dan Darurat sebagai satu jenayah, dengan menyatakan bahawa langkah itu diambil adalah untuk memastikan kejayaan program imunisasi koronavirus kebangsaan, dengan Menteri Undang-undangnya memberi jaminan bahawa ordinan tersebut hanyalah sementara dan akan tamat apabila tempoh Darurat berakhir.

Bagaimanapun, Takiyuddin Hassan berkata sehingga undang-undang tersebut disahkan tidak lagi berkuatkuasa ia adalah menjadi satu kesalahan jenayah untuk mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat kerana telah kehilangan majoriti di Parlimen.

Takiyuddin tampil bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah pada sidang media khas di Putrajaya itu dengan kedua-dua menteri berkenaan memberi penerangan mengenai perlaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuatkuasa pada hari yang sama.

Saifuddin semasa sesi penerangan itu berkata penguatkuasaan ordinan itu hanya meliputi perkara berkaitan COVID-19 dan Proklamasi Darurat sambil meminta supaya orang ramai tidak melampauinya.

"Ordinan ini merupakan suatu solusi jangka masa pendek - dan saya ulangi - hanya berkenaan COVID-19 dan Proklamasi Darurat. Ia perlu demi ketenteraman kepentingan awam. Ia adalah bertujuan mempercepatkan penyiasatan dan pendakwaan, dan tidak mengganggu hak-hak kehakiman.

"Kita tidak mahu program vaksinasi gagal oleh kerana berita tidak benar... Kita tidak boleh gagal, tetapi ada orang yang mahu menggagalkan proses ini," kata Saifuddin.

Takiyuddin yang diajukan soalan mengenai dakwaan Proklamasi Darurat dibuat kerana kerajaan Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen, dan sekiranya berkata demikian adalah satu kesalahan. Takiyuddin mengiakannya.

"Ia adalah satu kesalahan. Pada saya ia adalah kesalahan," kata beliau.

Takiyuddin berkata Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah sendiri telah mengarahkan supaya ordinan berkenaan menyatakan bahawa tindakan segera adalah diperlukan.

"Ia dimasukkan sendiri oleh Tuanku bahawa Baginda berpuas hati yang tindakan segera adalah perlu bagi melindungi ekonomi dan keselamatan," kata Takiyuddin.

Beliau turut menegaskan bahawa oleh kerana undang-undang itu dibuat sebagai ordinan darurat, ia hanya terpakai selagi mana darurat berkuatkuasa sahaja.

"Ia hanya sah selagi mana Darurat berkuatkuasa. Jika darurat tamat pada 1 Ogos, maka ia juga tamat," kata Takiyuddin.

Bagaimanapun, Takiyuddin menambah bahawa sekiranya Parlimen tidak membatalkan ordinan berkenaan pada akhir Darurat, ia masih sah dalam tempoh enam bulan sehingga ia luput secara automatik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh perkara sama, Saifuddin berkata sekiranya kerajaan berniat untuk menyalahgunakan ordinan itu selepas Darurat, mereka tidak boleh berbuat demikian.

"Ordinan ini berakhir selepas enam bulan, dan jika kerajaan mahu menyalahgunakannya, kita tidak boleh berbuat demikian, walau sejahat mana sekalipun kerajaan," kata beliau.

Walaupun kedua-dua menteri berkenaan memberikan jaminan bahawa ordinan itu hanya meliputi dua perkara, mereka tetap disoal mengenai skop yang luas di bawah perkara 'COVID-19' dan 'Proklamasi Darurat'.

Mereka yang disabitkan kerana menyebarkan "berita palsu" mengenai pandemik atau proklamasi darurat boleh berdepan dengan tiga tahun penjara, atau denda maksimum RM100,000 (AS $ 24,289) atau kedua-duanya sekali.

Setakat Mac ini, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengeluarkan 287 kertas siasatan berkaitan berita palsu mengenai COVID-19, menurut para pegawai.

Dari kes tersebut, 113 masih dalam siasatan, 51 kes pertuduhan telah difailkan dan 30 didapati bersalah. Perbicaraan mahkamah melibatkan 20 kes sementara 12 orang diberi amaran. Sebagai tambahan, Suruhanjaya Komuinikasi telah mengeluarkan 428 notis pemberitahuan untuk menangkis berita palsu mengenai isu berkaitan COVID-19, menurut para pegawai.

Takutkan pengkritik

Sementara itu, badan hak asasi manusia dan pemikir berkata langkah yang diambil kerajaan itu adalah satu usaha keras bagi menakutkan pengkritik serta memberikan kuasa yang luas kepada kerajaan untuk mendefinasikan apa-apa bahan sebagai berita tidak benar.

Phil Robertson dari Human Rights Watch memberitahu BeritaBenar bahawa ordinan itu adalah satu "bencana kepada hak asasi manusia" yang menghidupkan kembali bahagian terburuk dalam undang-undang anti-berita palsu ketika era pemerintahan Najib Razak, yang kemudiannya telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Ini adalah jelas satu undang-undang menutup mulut yang direka bagi menghentikan sebarang diskusi mengenai proklamasi darurat dan tindakan-tindakan kerajaan yang berkaitan dengan COVID-19.

"Ia adalah jelas bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin takut untuk membenarkan rakyat Malaysia mengutarakan pandangan mereka dengan bebas kerana beliau tahu betapa mereka kuat mengkritik terhadap beliau dan kerajaan beliau yang rapuh," kata Robertson.

Robertson juga mengkritik klausa dalam ordinan itu yang menyentuh mengenai kuasanya terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara. Undang-undang itu menyebut bahawa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia atau warga asing di luar negara akan dikira sebagai telah dilakukan di dalam Malaysia.

"Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan usaha keras bagi menakutkan pengkritik di luar negara, termasuk rakyat Malaysia yang duduk di luar negara terutama mereka yang kritikal terhadap penyalahgunaan hak oleh kerajaan serta langkah-langkahnya yang anti-demokratik bagi terus berpaut pada kuasa walau dengan apa cara sekalipun," kata beliau.

Takiyuddin dan Saifuddin enggan mengulas apabila disoal bagaimana kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan ordinan itu di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Biro Guaman Parti Tindakan Demokratik (DAP), Ramkarpal Singh yang mengkritik kenyataan Takiyuddin itu turut mempersoalkan keabsahan kerajaan sebagai berita tidak benar, dan menyatakan bahawa ia adalah satu ugutan yang tidak berasas.

"Siapakah beliau untuk menakutkan kita dengan apa yang kita rasakan sebagai satu kegusaran yang wajar. Takiyuddin tiada hak untuk memberitahu rakyat apa yang benar atau tidak. Itu adalah untuk mahkamah tentukan," kata beliau.

Tambahnya, Perdana Menteri tidak perlu takut sekiranya beliau benar-benar mempunyai majoriti di Parlimen dan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi memanggil persidangan Dewan Rakyat, supaya undang-undang berkaitan pandemik boleh didebatkan bagi kebaikan negara.

Badan pemikir tempatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan menggelar ordinan itu sebagai satu perkara yang lebih buruk berbanding Akta Anti-Berita Palsu yang telah dibatalkan pada tahun 2018, kerana ordinan itu melindungi kerajaan dan polis daripada sebarang tindakan undang-undang terhadap perbuatan mereka di bawah ordinan tersebut.

"Kerajaan, polis atau mana-mana pegawai yang dibenarkan tidak boleh diheret ke mahkamah kerana menjalankan peruntukan dalam Ordinan ini.

"Terdapat ketiadaan mandat demokratik yang jelas dalam penguatkuasaan ordinan ini, yang menjadikan ia lebih teruk berbanding Akta Anti-Berita Palsu yang telah dihapuskan pada 2018," kata Ketua Pengarah Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.