Lembaga Pengarah 1MDB Diminta Letak Jawatan Selepas Laporan PAC
2016.04.07
Kuala Lumpur

Ahli-ahli lembaga dana sarat hutang negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digesa meletak jawatan pada Khamis selepas jawatankuasa siasatan parlimen mengeluarkan laporan yang mencadangkan siasatan jenayah dilakukan terhadap pengurusan kanannya.
Gesaan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), panel yang menyiasat mengenai salah laku terhadap syarikat pelaburan strategik negara berkenaan selepas mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, panel siasatan pertama yang mendapati terdapat salah laku dalam pengurusan 1MDB.
1MDB berdepan dengan dakwaan rasuah yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat syarikat berkenaan, sejak Julai lalu. Walau bagaimanapun, laporan 106 muka surat yang dikeluarkan oleh PAC tidak menyebut nama Najib, menurut laporan media.
“Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpendapat bahawa mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu bertanggungjawab bagi semua kelemahan dan kekangan. Oleh itu, pihak agensi penguatkuasa diminta untuk membuat siasatan ke atas beliau dan pihak pengurusan yang berkaitan,” menurut laporan siasatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis itu.
Dana negara itu dibelenggu dengan skandal kewangan yang membabitkan Najib sehingga membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatan. Akhbar The Wall Street Journal buat pertama kalinya menyiarkan berita mengenai skandal itu pada Julai 2015, di mana hampir AS$700 juta wang dikaitkan 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Najib menegaskan beliau tidak bersalah.
Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa pejabatnya menutup siasatan terhadap skandal rasuah berkaitan 1MDB yang dihadapi Najib, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya 2013 - seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Journal pada Julai.
Apandi berkata tiada kesalahan jenayah yang dilakukan kerana sebahagian besar wang itu telah dikembalikan, dan ia adalah ‘derma peribadi’ daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Najib telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi. Tetapi tidak lama selepas berita mengenai skandal itu didedahkan , Perdana Menteri berkenaan memecat Abdul Gani Patail, peguam negara ketika itu yang mengetuai sebuah pasukan petugas antara agensi yang menyiasat perkara itu dan skandal lain yang berkaitan dengan 1MDB.
Pihak berkuasa dari sekurang-kurangnya lima negara - Amerika Syarikat, UAE, Luxembourg, Singapura dan Switzerland telah memulakan atau meningkatkan siasatan sejak kebelakangan ini terhadap dakwaan salah laku kewangan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Selain lima negara tersebut, siasatan telah dilancarkan di Britain dan Hong Kong keatas urus niaga antarabangsa melibatkan dana berkaitan dengan Malaysia.
'Mansuh lembaga penasihat'
PAC juga mencadangkan Lembaga Penasihat yang dipengerusikan Najib dimansuhkan dan ditukar kepada Menteri Kewangan untuk pengurusan yang lebih baik selain memaklumkan bahawa Lembaga Pengarahnya telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya serta kepentingan syarikat dan pemegang saham.
Laporan itu juga menyatakan struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan 1MDB kurang memuaskan dengan bergantung kepada hutang sebagai modal dengan mendapat jaminan atau surat sokongan kerajaan.
“Hutang tersebut bermula pada tahap RM5 bilion pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion, berbanding aset sebanyak RM51 bilion, pada tahun kewangan berakhir 31Mac, 2014, di mana 1MDB membelanjakan sebanyak RM2.4 bilion untuk pembayaran faedah ke atas hutang. Pada Januari 2016, hutang 1MDB mencecah RM50 bilion,”kata laporan itu.
Dalam pada itu, Shahrol Azral dalam satu kenyataan media berkata "Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.
"Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan", katanya.
‘Keputusan sukar -1MDB’
Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan selepas kertas siasatan itu dikeluarkan pada Khamis berkata, lembaga pengarah syarikat dana itu telah melakukan yang terbaik dalam menguruskan syarikat berkenaan dengan tidak mahu membebankan kerajaan.
“Perletakkan jawatan ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, bagi memudahkan siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” kata kenyataan.
Menurut kenyataan itu, semua wang 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes "RM 42 bilion yang hilang" seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Ia juga telah mengesahkan bahawa 1MDB tidak memindahkan RM 2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang didakwa,” tambah kenyataan syarikat dana negara itu.
Dalam pada itu, Najib dalam satu kenyataan sebaik selepas laporan siasatan itu dikeluarkan berkata, laporan PAC menunjukkan bahawa RM42 bilion tidak hilang dari 1MDB, seperti yang didakwa oleh bekas perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad.
“Ia kini jelas bahawa dakwaan Mahathir terhadap 1MDB palsu. Beliau didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara dan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan. Kami (kerajaan) akan terus memberi tumpuan kepada pelan ekonomi negara dan mengukuhkan ekonomi - yang terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,’’ kata Najib dalam kenyataan itu.
Najib turut mengakui bahawa laporan PAC telah mengenal pasti kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB dan berkata, “Kerajaan akan mengkaji dan bertindak ke atas cadangan laporan itu. Kita perlu memastikan bahawa pelajaran yang dipelajari , dan tindakan akan diambil jika ada bukti salah laku ditemui,’’ katanya lagi.