Inkuiri Kehilangan Pasangan Paderi Tamat, Suhakam Akan Umumkan Dapatan Dalam Masa Terdekat

Peguam Phillip Koh mendakwa kehilangan Joshua Hilmy dan isteri Ruth Sitepu menyerupai kes kehilangan dua lagi individu – Raymond Koh dan Amri Che Mat.
Ray Sherman & Noah Lee
2022.01.20
Kuala Lumpur
Inkuiri Kehilangan Pasangan Paderi Tamat, Suhakam Akan Umumkan Dapatan Dalam Masa Terdekat Kakak dan adik kepada Ruth Sitepu, Ram Ram Elisabeth (kiri) dan Iman Sitepu (kanan) memegang poster Joshua Hilmy dan Ruth semasa hadir pada sesi siasatan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, 2 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengumumkan keputusan inkuiri berhubung kehilangan paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu dalam masa terdekat, demikian menurut panel inkuiri badan tersebut selepas mendengar semua hujahan penggulungan pada Khamis.

Panel Suhakam yang diketuai Pesuruhjayanya Hishamudin Yunus dan dianggotai oleh Jerald Joseph dan Madelina Berma berkata bahawa semua bukti dan keterangan yang telah diberikan dalam inkuiri berkenaan akan diteliti.

"Kami akan membuat keputusan secepat yang mungkin. Sekretariat akan menetapkan tarikh bagi mendengar keputusan," kata Hishamudin setelah penggulungan selama empat jam, yang bermula pada 10 pagi itu selesai.

Inkuiri Suhakam terhadap kehilangan Hilmy dan Sitepu telah bermula sejak Febuari 2020 dan berlangsung lebih 2 bulan itu menampilkan seramai 26 orang saksi, di mana 13 daripadanya adalah orang awam, tujuh mewakili Polis DiRaja Malaysia, empat dari syarikat telekomunikasi dengan masing-masing seorang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Semasa penggulungan akhir pada Khamis itu, peguam yang mewakili keluarga Sitepu, Phillip Koh berkata kehilangan pasangan suami isteri itu menyerupai apa yang berlaku kepada dua lagi individu lain di antara November 2016 dan Febuari 17 yang melibatkan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Phillip dalam sesi penggulungan di Ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur berkata pasangan suami isteri berkenaan telah hilang selepas seorang pegawai kanan Cawangan Khas polis menyampaikan ucapan berapinya terhadap "pendakwah Kristian dan penganut Syiah" dalam satu majlis di kompleks Kementerian Dalam Negeri pada November 2016.

"Kehilangan Joshua dan Ruth juga perlu diletakkan dalam lingkungan beberapa siri kejadian yang melibatkan Cawangan Khas PDRM (Polis DiRaja Malaysia), di mana Amri Che Mat dan Raymond Koh juga telah hilang.

"Kes-kes kehilangan ini mungkin telah berlaku disebabkan perbuatan di luar undang-undang bagi mengawal aktiviti keagamaan, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digantikan dengan Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012," kata Phillip.

Hilmy adalah warga Malaysia manakala isterinya berasal dari Indonesia. Pasangan itu kali terakhir dilihat di rumah mereka di Selangor, pada 30 November 2016, tetapi kehilangan mereka cuma dilaporkan pada 6 Mac, 2017, menurut pihak berkuasa.

Susulan kehilangan mereka, timbul dakwaan di Internet bahawa pasangan itu terlibat dalam usaha menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam di Malaysia.

Dalam hujah Phillip, peguam itu menyatakan bahawa Pesuruhjaya Polis Awaluddin Jadid yang merupakan ketua Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas telah berucap di satu seminar mengenai keganasan di Kuala Lumpur pada 6 Nov 2016 bahawa negara dalam kesibukan memburu kumpulan pengganas seperti Islamic State sehingga terlupa siapakah "musuh sebenar" iaitu puak liberal seperti badan pemantau pilihan raya Bersih (Bersih), penyebar agama Kristian, serta mereka yang menganut fahaman Syiah.

Tambah beliau, pegawai kanan polis itu turut mendakwa bahawa kumpulan-kumpulan yang disebutnya turut dibantu rakan subahat dalam badan kehakiman, penjawat awam, dan juga Jabatan Kemajuan Islam.

Awaluddin dikatakan telah turut mengkritik penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang disifatkan sebagai satu perkara yang memudahkan pihak polis untuk mengambil tindakan berbanding undang-undang baru yang memerlukan saspek dibawa ke mahkamah.

Kehilangan terancang

Selain itu, Awaluddin dikatakan telah menuduh pihak gereja menaja aktiviti memurtadkan orang Islam dengan menyasarkan golongan yang mudah dipengaruhi seperti ibu tunggal, pesakit HIV, serta gelandangan.

Pegawai polis itu kemudiannya telah mencadangkan cara lain di luar undang-undang untuk menangani isu yang dibangkitkannya dengan menyatakan bahawa "ia memerlukan seorang pencuri juga untuk menangkap pencuri", kata Phillip.

Peguam itu menyatakan bahawa beberapa kejadian telah berlaku tidak lama selepas ucapan dibuat Awaluddin itu, termasuk penahanan pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah sehari sebelum perhimpunan protes Bersih 5, serta kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat yang dikatakan telah diculik berhampiran rumahnya di Perlis pada 24 November 2016.

Paderi Raymond Koh pula telah diculik pada siang hari 13 Feb 2017 oleh sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa buah kenderaan lain. Rakaman CCTV menunjukkan kumpulan berkenaan menahan kereta Koh sebelum menculiknya. Kereta paderi itu masih tidak dijumpai sehingga hari ini.

Seperti Hilmy dan Sitepu, Raymond juga menjadi sasaran dakwaan bahawa beliau terlibat dalam aktiviti memurtadkan umat Islam.

Inkuiri berasingan yang dijalankan oleh Suhakam dalam kes kehilangan Koh dan Amri sebelum ini telah merumuskan bahawa mereka adalah mangsa kehilangan terancang.

Dalam penggulungan beliau, Phillip mendakwa bahawa Hilmy dan Sitepu adalah mangsa kehilangan secara terancang berdasarkan fakta-fakta yang ada.

Peguam itu mendakwa bahawa kegagalan pihak kerajaan untuk bertindak secara pantas bagi menyiasat kehilangan suami isteri berkenaan juga menunjukkan bahawa mereka bertanggungjawab. Ini termasuk keengganan polis untuk melihat kes tersebut dari segi kerja keagamaan mereka.

Ketiadaan hasil siasatan boleh dijangka

Pandangan itu turut disokong oleh Andrew Khoo yang mewakili Majlis Peguam dalam sesi penggulungan kes dengan beliau memberitahu panel Suhakam bahawa siasatan polis terhadap kehilangan Hilmy dan Sitepu "tiada unsur kesegeraan dan kurang rasa ingin tahu", dan oleh kerana itu ia menyebabkan siasatan gagal membuahkan hasil.

Pasukan pemantau dari Suruhanjaya Mengenai Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) dari Indonesia juga memberikan pandangan serupa, dengan menyatakan bahawa kehilangan Hilmy dan Sitepu mempunyai elemen kehilangan secara paksa.

Dalam penggulungan badan itu melalui aplikasi Zoom wakilnya berkata kes pasangan itu serta kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat mempunyai beberapa faktor utama yang serupa, iaitu kesemua mereka terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial dan mengamalkan kepercayaan mereka secara terbuka, serta tempoh masa kehilangan mereka yang berlaku tidak lama selepas ucapan dibuat oleh pegawai kanan Cawangan Khas itu.

"Disebabkan kes mereka menepati kesemua tiga elemen kehilangan secara paksa, ia adalah sesuatu yang adil untuk merumuskan bahawa Ruth Sitepu dan Joshua Helmy telah menjadi mangsa tangkapan atau penculikan oleh institusi sama yang didakwa bertanggungjawab ke atas penculikan paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat. Dalam hal ini, institusi yang dimaksudkan adalah ejen kerajaan iaitu Cawangan Khas Bukit Aman," kata KontraS.

'Polis tidak terlibat'

Sementara itu, wakil PDRM bagi inkuiri itu, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff menafikan bahawa pihak berkuasa berkenaan mempunyai sebarang pembabitan dalam kehilangan Hilmy dan Sitepu.

Beliau memberitahu panel Suhakam bahawa siasatan polis yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang masih berjalan dan segala usaha sudah dilakukan bagi mencari pasangan tersebut.

Menurut Dzaffir, keterangan yang diberikan oleh ramai pegawai polis dalam inkuiri berkenaan menunjukkan bahawa tidak ada elemen jenayah dalam kes kehilangan pasangan itu.

"Perbuatan kehilangan secara paksa tidak timbul dalam kes ini dan tiada bukti mengenainya telah ditunjukkan sepanjang inkuiri," kata pegawai kanan itu.

Dzaffir mendakwa bahawa Hilmy dan Sitepu berkemungkinan cuba melarikan diri dari Malaysia melalui jalan tidak sah, yang merupakan cara berbahaya dan berisiko, kerana Hilmy disiasat pihak berkuasa agama atas laporan telah menghina agama Islam.

"Jalan tidak sah untuk keluar dari Malaysia adalah berisiko tinggi dan boleh membawa pada kehilangan nyawa," kata beliau.

Pihak polis dikatakan telah lewat dalam mengambil tindakan ke atas kes kehilangan Hilmy dan Sitepu berikutan beberapa bentuk tindakan yang diambil oleh agensi penguatkuasa yang cuma dilakukan setelah hampir dua tahun pasangan itu hilang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.