Malaysia Haram Tayangan Filem Padmaavat

Hareez Lee
2018.02.02
Kuala Lumpur
180202-MY-Padmaavat1000.jpg Pihak berkuasa India berdiri di luar pawagam Suraj Chand Tara yang dijadual menayangkan filem Bollywood 'Padmaavat' di Amritsar, Punjab, 25 Januari 2018.
AFP

Tayangan filem Bollywood 'Padmaavat' diharamkan di Malaysia kerana jalan ceritanya yang memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kementerian yang bertanggungjawab terhadap isu keselamatan dalaman bagi negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam dan Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah membuat keputusan itu berdasarkan watak Sultan Alauddin Khilji dalam filem tersebut yang digambarkan sebagai seorang Sultan yang angkuh, kejam, licik dengan tipu helah serta tidak menepati janji dan tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Malaysia adalah negara pertama yang mengharamkan penayangan Padmaavat menurut The Times of India, selepas dua negeri di negara pengeluar filem arahan Sanjay Leela Bhansali itu mengambil langkah menghalang tayangannya ekoran protes dari beberapa kumpulan yang menuduh Bhansali sebagai mengubah fakta sejarah mengenai Sultan itu.

Penghalangan tayangan Padmaavat di dua negeri di India itu bagaimanapun telah diketepikan oleh mahkamah tertinggi negara berkenaan, yang membuat keputusan membenarkannya di seluruh negara.

"Lembaga Penapis Filem (LPF) Malaysia telah membuat keputusan tidak meluluskan tayangan filem ‘Padmaavat’ atas alasan jalan cerita filem tersebut memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam melalui watak seorang Sultan di sebuah Kerajaan Islam di India dalam era Kesultanan Khilji iaitu Sultan Alauddin Khilji," kata Kementerian Dalam Negeri Malaysia dalam kenyataan rasminya pada media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pengedar filem terbabit di Malaysia telah mengemukakan rayuan pada pihak berkuasa bagi mempertimbangkan semula pengharaman itu, namun persidangan Jawatankuasa Rayuan Filem pada 30 Januari telah memutuskan untuk mengekalkan pengharaman yang dibuat Lembaga Penapisan Filem.

Undang-undang Malaysia menetapkan bahawa pemilik hak sesebuah filem yang tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga penapisan boleh membuat rayuan kepada jawatankuasa tersebut, yang mempunyai kuasa untuk melihat semula dan mengubah keputusan LPF, dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemberitahuan keputusan LPF.

Sementara itu, Mohd Zamberi Abdul Aziz, pengerusi LPF, memberitahu akhbar tempatan Berita Harian pada Jumaat bahawa keputusan pengharaman Padmaavat dibuat atas dasar filem itu "menyinggung sensitiviti agama Islam", dan menafikan bahawa langkah itu diambil ekoran rusuhan yang tercetus di India.

"Kita melihat dari semua sudut filem ini termasuk jalan cerita, watak dan adegan. Isu utama yang menjadi fokus pengharaman adalah keseluruhan jalan ceritanya yang merendahkan martabat agama Islam.

"Filem itu memaparkan watak Sultan Alauddin yang digambarkan sebagai pemimpin beragama Islam yang mempunyai moral tidak sihat. Gambaran karakter itu menimbulkan tanggapan negatif kepada penonton dan pasti mencetuskan bantahan ramai jika tayangannya diluluskan," katanya seperti dilaporkan akhbar tersebut dalam laman webnya.

Sebelum ini Antenna Entertainment, pengedar filem itu di Malaysia menerusi laman Facebook rasmi mereka telah memaklumkan bahawa tayangan Padmaavat terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu semula oleh pihak Lembaga Penapisan Filem.

Padmaavat bukan filem antarabangsa pertama yang diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana isi kandungan atau jalan cerita yang dianggap tidak bersesuaian dengan masyarakat tempatan. Tahun lalu, filem 'Beauty and The Beast' keluaran Disney turut diharamkan tayangannya di Malaysia kerana adegan berunsur homoseksual di dalam filem itu.

Padmaavat yang memaparkan barisan pelakon Bollywood antaranya Deepika Padukone, Ranveer Singh dan Shahid Kapoor berkisar mengenai Padmavati, permaisuri Mewar, yang cantik dan kemudiannya menjadi obsesi kepada Sultan Khilji.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.