Malaysia Lancar Satu Lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Bernilai RM20 Bilion

Pakej ke-enam, dinamakan Pemerkasa memberi tumpuan terhadap 20 strategik pulihkan ekonomi semasa COVID-19.
Hadi Azmi
2021.03.17
Kuala Lumpur
Malaysia Lancar Satu Lagi Pakej Rangsangan Ekonomi Bernilai RM20 Bilion Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semasa tiba di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Sepang, Selangor, 24 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Rabu melancarkan satu lagi pakej rangsangan bernilai AS$4.9 bilion (RM20 bilion), dan yang keenam seumpamanya untuk menjana semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Pakej rangsangan yang dikenali sebagai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) telah diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memberi tumpuan kepada 20 inisiatif strategik serta memfokuskan terhadap lima perkara utama dalam mengawal pandemik COVID-19 dan juga memulihkan ekonomi negara itu.

“Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau Pemerkasa bernilai RM20 bilion, dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM11 bilion,” kata Muhyiddin dalam satu siaran langsung yang disiarkan oleh semua stesen televisyen dan platform media sosial, lewat petang Rabu.

Beliau berkata 20 inisiatif baharu dan yang tersedia ada itu akan melibatkan pelbagai bidang selain mengawal pandemik COVID-19, ia juga akan memperluaskan penerima manfaat, terutamanya kepada golongan B40, wanita, belia dan orang kelainan upaya (OKU).

"Kerajaan mengenal pasti lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi," tambah Perdana Menteri.

Muhyiddin turut berkata yang Putrajaya akan menaikkan peruntukan bagi program immunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasai berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal pada suku pertama 2022.

Malaysia pada 24 Februari lepas telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan vaksinasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduknya termasuk warga asing.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.

“Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” kata beliau.

Pemerkasa menurut Muhyiddin juga menawarkan lebih banyak bantuan tunai, subsidiri, dana yang sepadan dan latihan kepada individu dan perniagaan yang terkesan akibat PKP dan COVID-19 supaya tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

Pengumuman Perdana Menteri itu hadir beberapa jam sebelum sambutan setahun Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan oleh Putrajaya untuk mengawal penularan pandemik koronavirus yang melanda dunia sejak awal tahun lalu.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan lima pakej bantuan yang berjumlah RM340 bilion, iaitu Prihatin sebanyak RM250 bilion, Prihatin PKS (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita Prihatin (RM10 bilion), Permai (RM15 bilion) dan yang terkini Pemerkasa sebanyak RM20 bilion.

Pakej pertama diperkenalkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad berjumlah RM20 bilion pada 28 Feb iaitu dua hari sebelum Muhyiddin berkuasa selepas berlakunya satu krisis politik yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir.

Malaysia menanggung kerugian sejumlah RM2.4 bilion setiap hari ekoran pelaksanaan PKP kali pertama di antara Mac hingga Mei lalu serta kerugian RM600 juta sehari dalam rangka pelaksanaan PKP kali kedua tahun ini, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz Januari lalu.

Pakar Ekonomi Universiti Malaysia Nazari Ismail berkata pengumuman pakej rangsangan terbaharu itu akan menambahkan lagi beban hutang kerajaan dengan rakyat akan terus mengharapkan bantuan daripada kerajaan, sekaligus menyukarkan kerajaan untuk tidak melaksanakannya.

“Ini akan membantu rakyat, tetapi hanya dalam jangka masa pendek… Dalam masa panjang, pemerintah harus mencari wang dari mana-mana untuk membayar hutang dan itu semua semestinya akan datang dalam bentuk peningkatan hasil cukai, mungkin dari bentuk GST (cukai barang dan perkhidmatan) baharu.

“Satu perkara yang perlu kita bimbangkan adalah inflasi. Apabila pembekalan barang menjadi perlahan, peningkatan penawaran wang tambahan akan berlaku dan ini akan disertai dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Cepat atau lambat ianya pasti akan berlaku,” katanya.

Kompaun RM10,000

Pada hari yang sama kerajaan Malaysia juga mengambil keputusan untuk menyemak semula jumlah kompaun RM10,000 yang dikenakan keatas kesalahan melanggar arahan prosedur operasi (SOP) PKP berkaitan COVID-19 setelah ianya mendapat kecaman daripada masyarakat.

Keputusan semakan itu dibuat beberapa hari selepas ianya dilaksanakan apabila mendapat kecaman yang kerajaan tidak memperdulikan kesesuaian jumlah kompaun dengan kesalahan melanggar SOP dalam keadaan sukar yang terpaksa ditempuhi rakyat pada masa ini.

Di media sosial terdapat dakwaan termasuk remaja 17 tahun yang telah dikenakan kompaun RM10,000 hanya kerana gagal mendaftar masuk ke dalam premis perniagaan menggunakan aplikasi MySejahtera serta mereka yang tidak memakai pelitup muka ketika sedang makan di restoran.

Dalam peraturan baharu yang diumumkan pada Rabu, kompaun RM10,000 tersebut merupakan had maksimum bagi kesalahan individu yang boleh dikurangkan sehingga 50 peratus melalui pembayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan, kata Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan.

"Tempoh diskaun itu akan dikira bermula hari ini, walaupun kompaun itu sudah dikeluarkan sebelum ini," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Tambah beliau lagi, Kementerian Kesihatan dan polis sudah memaklumkan kepada pegawai dan anggotanya supaya kompaun dikeluarkan sebagai langkah terakhir selepas teguran diberikan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.