Jurutera Palestin Ditembak Mati di Kuala Lumpur, Kata Polis Malaysia

N. Nantha & Hareez Lee
2018.04.21
Kuala Lumpur, Malaysia
180421-malaysia-shooting-620.JPG Seorang lelaki menggantung poster tertera gambar jurutera elektrik Palestin, Fadi Mohamed Al Batsh, yang ditembak mati di Malaysia, di kediaman keluarga Al Batsh di utara Gaza, 21 April 2018.
[Reuters]

Dua lelaki bersenjata tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal telah menembak mati seorang jurutera Palestin pada Sabtu ketika beliau sedang berjalan menuju ke sebuah surau untuk menunaikan solat Subuh di Kuala Lumpur, kata polis Malaysia dan kumpulan politik Hamas.

Fadi Mohamed Al Batsh, 35, dibunuh awal Subuh selepas lelaki bersenjata pistol itu melepaskan bertalu-talu tembakan dengan empat daripadanya terkena tubuhnya termasuk sekali di kepala, kata polis.

Hamas tidak mendedahkan peranan Fadi di dalam kumpulan militan Islam itu tetapi ia mengeluarkan kenyataan di laman webnya yang menggambarkan mangsa sebagai ahli dan saintis yang sebelum ini adalah dari kem pelarian utara Semenanjung Gaza.

Pembunuhan Fadi berlaku sehari selepas menteri perisikan Israel,  Israel Katz, mengancam kepimpinan Hamas di Semenanjung  Gaza dengan "penghapusan sasaran", selepas kumpulan militan Islam itu dilaporkan mengeluarkan satu video mengenai pegawai-pegawai tertinggi Israel melakukan tembakan curi.

Beberapa jam selepas pembunuhan itu, agensi berita Malaysia, Bernama, memetik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata bahawa suspek dipercayai rakyat Eropah yang mempunyai hubungan dengan agensi perisikan asing.

Mazlan Lazim, ketua polis Kuala Lumpur, memberitahu pemberita bahawa rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek berkenaan menunggu Fadi hampir 20 minit. Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes itu daripada setiap sudut termasuk yang berkaitan dengan keganasan.

"Berdasarkan tanda tembakan, ia menunjukkan bahawa [lelaki bersenjata itu] telah melepaskan lebih daripada 10 tembakan terhadap mangsa, yang menunjukkan bahawa mereka benar-benar mahu membunuhnya," kata Mazlan.

"Mengapa mereka mahu membunuhnya, kami tidak tahu," kata beliau. "Kami sedang menyiasat dengan lebih lanjut."

Ahmad Zahid mendakwa bahawa Fadi aktif dalam organisasi bukan kerajaan yang pro-Palestin dan merupakan seorang pakar dalam kejuruteraan elektrik dan pembinaan roket. Beliau juga berkata bahawa mangsa mempunyai hubungan dengan perisikan asing, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Fadi mungkin dilihat sebagai "liabiliti bagi sebuah negara yang merupakan musuh Palestin," kata Zahid kepada pemberita, menurut laporan Bernama. Timbalan Perdana Menteri tidak mengulas lanjut.

Duta Besar Pelestine ke Malaysia, Anwar H. Al Agha,  memberitahu akhbar The New Straits Times bahawa Fadi adalah lulusan Universiti Malaya dan sepatutnya meninggalkan negara itu mempengerusikan satu persidangan mengenai tenaga di Turki pada Sabtu.

"Beliau seorang insan yang baik, peramah dan tenang. Beliau mudah bercampur gaul dengan semua orang, "kata diplomat itu sambil memberitahu bahawa mangsa sudah menetap di Malaysia sejak 10 tahun lalu," dan bekerja sebagai pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah universiti swasta."

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pembunuhan Fadi dan menggesa kerajaan melakukan siasatan menyeluruh.

"Kami juga ingin mengingatkan supaya berhati-hati dengan Israel kerana negara itu melaksanakan keganasan yang dilindungi oleh kuasa besar," kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Hamas, dalam kenyataan ringkas yang dipaparkan di laman webnya, meratapi kematian Fadi, dan menggambarkannya sebagai "syahid" selain memuji "komitmennya untuk perjuangan Palestin."

Menurut laporan berita pada Jumaat, empat orang terbunuh termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun pada minggu keempat protes anjuran Hamas di sepanjang sempadan antara Israel dan Semenanjung Gaza yang dikawal oleh Hamas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.