Jangan Politikkan Sistem Kesihatan Dengan Gunakan Darurat, Tegas Kumpulan Perubatan Malaysia

Muzliza Mustafa, Hadi Azmi & Noah Lee
2021.01.15
Kuala Lumpur
Jangan Politikkan Sistem Kesihatan Dengan Gunakan Darurat, Tegas Kumpulan Perubatan Malaysia Petugas barisan hadapan COVID-19 di Hospital Selayang di Malaysia bergambar sempena Hari Jururawat Antarabangsa, 12 Mei 2020.
[AFP]

Kerajaan Muhyiddin Yassin tidak boleh mempolitikkan sistem kesihatan negara, kata kumpulan perubatan selepas Malaysia pada minggu ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara, dengan pembangkang mengecamnya sebagai langkah kerajaan untuk terus menyandang kuasa berbanding dengan usaha membendung penularan pandemik koronavirus yang semakin buruk.

Kerajaan perlu menggunakan kuasa menyeluruh yang diperolehnya berikutan darurat dengan penuh tanggungjawab dan menyediakan kolaborasi respons COVID-19 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, kata Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Sementara itu, beberapa doktor dan penganalisis yang ditemu bual BeritaBenar menyatakan bahawa perisytiharan darurat diperlukan untuk kestabilan politik semasa pandemik itu, terutamanya ketika gabungan Muhyiddin baru sahaja kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan mungkin terpaksa berdepan pilihan raya umum.

Berikutan darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Selasa melalui peruntukan perlembangaan sehingga 1 Ogos, Parlimen digantung dan tidak mungkin pilihan raya boleh diadakan sebelum suku kedua tahun ini.

Berikutan darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Selasa melalui peruntukan perlembangaan sehingga 1 Ogos, Parlimen digantung dan tidak mungkin pilihan raya boleh diadakan sebelum suku kedua tahun ini.

Dalam pengumuman itu, pihak Istana Negara menyatakan Yang di-Pertuan Agong berpandangan bahwa perisytiharan darurat perlu dibuat kerana pandemik itu kini "adalah pada tahap yang amat kritikal."

Tetapi, sebahagian besar pembangkang politik menyatakan bahawa kerajaan Muhyiddin perlu dipersalahkan kerana tidak dapat mengawal lonjakan kes COVID-19. Ahli politik pembangkang berkata darurat tidak diperlukan untuk menangani koronavirus terutamanya kerana perdana menteri pada Isnin telah mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh dan sebahagian untuk membendung lebih 2,000 kes jangkitan baru setiap hari yang dicatatkan Malaysia sejak kebelakangan ini.

"Kuasa besar diiringi dengan tanggungjawab yang berat," kata MHC setelah darurat seluruh negara diisytiharkan. "Janganlah dipolitikkan para profesional kesihatan barisan hadapan yang tanpa lelah melayani rakyat sepanjang pandemik ini… [Kami] tidak boleh menerima perbuatan mempolitikkan sistem kesihatan negara,” kata gabungan kesihatan itu yang terdiri daripada 45 kumpulan perubatan dan 18 doktor.

MMA pada mulanya mengeluarkan kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mengisytiharkan darurat seluruh negara bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negara itu. Tetapi, persatuan perubatan itu kemudian mengubah nadanya setelah mengetahui tentang beberapa kuasa luar biasa yang diperoleh kerajaan berikutan perisytiharan itu.

"EO [ordinan darurat] harus digunakan dengan lebih bertanggungjawab dan bukan untuk membuli atau memaksa sektor kesihatan swasta bagi menggunakan sumbernya. Untuk rekod, sektor kesihatan swasta menawarkan perkhidmatan mereka secara konsisten dalam memerangi COVID-19 sejak bermulanya pandemik ini,” kata MMA dalam kenyataan pada Jumaat.

Persatuan itu merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob. Sehari sebelum itu, beliau dilaporkan berkata bahawa semasa darurat, kerajaan boleh mendenda hospital swasta sebanyak RM5 juta (AS$1.2 juta) dan memenjarakan mereka yang mengendalikan kemudahan tersebut sekiranya enggan menerima pesakit COVID-19.

MMA berkata ia melihat kenyataan menteri itu dengan "kebimbangan mendalam."

"Setelah tidak dapat membendung pandemik ini kerajaan sepatutnya perlu mendengar maklum balas daripada lapangan dan menganggap pihak kesihatan swasta sebagai rakan utamanya,” kata MMA.

Pada Jumaat, Malaysia melaporkan 3,337 kes baru menjadikan jumlah kes sebanyak 147,855. Dengan 15 kematian baru, jumlah kematian yang berkaitan virus itu meningkat kepada 578 orang.

Sistem ‘diperluaskan’

Doktor dan penganalisis yang ditemu bual BeritaBenar menyifatkan pandemik koronavirus di negara itu sebagai amat buruk.

"Keadaan menjadi semakin teruk khususnya sejak dua bulan terakhir ini dengan kes-kes meningkat secara mendadak. Apa yang membimbangkan ialah sistem penjagaan kesihatan yang perlu diperluaskan terutamanya yang berkaitan dengan katil-katil di ICU,” kata Dr. Christopher Lee, bekas timbalan ketua pengarah kesihatan kepada BeritaBenar.

Pada Isnin, Muhyiddin berkata penggunaan katil di ICU telah mencapai kapasiti 80 hingga 100 peratus di kebanyakan hospital. Selain itu, lebih 1,450 pegawai perubatan di hospital-hospital di seluruh negara tidak dapat bekerja kerana mereka dijangkiti virus itu atau menjalani tempoh kuarantin.

Beban terhadap sistem penjagaan kesihatan adalah sebab mengapa perisytiharan darurat diperlukan, kata Dr Fazrul Mokhtar, seorang doktor di wad kecemasan.

“Melihatkan kepada keadaan semasa, pengisytiharan darurat adalah sesuatu yang wajar. Kita memerlukan keadaan negara yang stabil. Kebimbangan kami adalah tentang kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya kepada BeritaBenar.

Mengadakan pilihan raya umum pada masa ini adalah bukanlah idea yang bernas, kata seorang lagi doktor yang merawat pesakit koronavirus di sebuah hospital kerajaan tetapi enggan namanya disebut kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan wartawan.

"Apa pun langkah untuk memerangi pandemik ini, kita alu-alukan... Tetapi, untuk mengadakan pilihan raya umum, sebagai rakyat Malaysia, saya rasa kita tidak perlu mengadakannya memandangkan jumlah kes yang tinggi sekarang masih banyak yang berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah pada tahun lalu,” kata doktor itu.

Pilihan raya negeri pada September lalu di Sabah, Borneo Malaysia, telah menyebabkan lonjakan besar kes koronavirus selepas negara itu dapat mengurangkan kes jangkitan baru.

Hanya beberapa hari sebelum pilihan raya negeri pada 26 September, Malaysia melaporkan lebih 10,000 kes koronavirus. Kini, Malaysia mencatatkan hampir 150,000 kes.

Permintaan awal PM

Pada Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pertama Muhyiddin supaya diisytiharkan darurat di seluruh negara sejurus selepas berlakunya lonjakan kes koronavirus yang berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah. Kerajaan "telah dapat menangani pandemik itu dengan baik dan berkesan," titah Yang di-Pertuan Agong pada 25 Oktober.

Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan awal itu semasa kerajaan Muhyiddin bergantung harap kepada majoriti tipis Ahli Parlimen menjelang pembentangan belanjawan 2021, yang kemudian diluluskan bulan lalu.

Semasa menolak permohonan pertama Muhyiddin itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah turut bertitah meminta ahli-ahli politik supaya “segera menghentikan politik yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara.”

Apa yang berubah?

"Dua perkara," kata penganalisis politik dan pesara akademik universiti Azmi Hassan.

"Kes positif [baru harian] pada masa itu masih belum mencapai empat angka dan sistem penyampaian hospital kita masih lagi cekap. Sebab yang kedua ialah situasi politik, yakni ancaman pilihan raya (mengejut) masih di peringkat awal,” kata Azmi kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada ketidakpuasan hati dalam gabungan kerajaan Muhyiddin, dengan parti terbesar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mengancam untuk menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan.

‘Respons koronavirus perlu diubah’

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Muhyiddin telah tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan menjadikan pandemik yang semakin buruk itu sebagai alasan untuk terus berkuasa.

"Kami berpendapat perdana menteri dan kerajaan telah tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana [perisytiharan darurat] bukanlah berkaitan dengan COVID-19," kata Anwar, yang mengetuai pembangkang di Parlimen, dalam suratnya kepada semua ahli parlimen bagi menggesa mereka untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan perisytiharan darurat.

"Perdana Menteri nampaknya lebih fokus kepada usaha untuk kekal berkuasa," kata Anwar, yang menerajui gabungan Pakatan Harapan.

Selain itu, katanya, tiada siapa pun dalam kalangan pembangkang yang menggesa supaya diadakan pilihan raya mengejut. Pakatan Harapan menyatakan bahawa pilihan raya umum hanya boleh diadakan pada 2023, kata Anwar.

Beliau juga berkata bahawa darurat tidak diperlukan untuk memastikan hospital-hospital swasta membantu memerangi koronavirus kerana hospital-hospital itu sudah pun "benar-benar bersedia untuk membantu kerajaan."

Lim Guan Eng, pemimpin pembangkang Parti Tindakan Demokratik, mempersoalkan mengapa darurat diperlukan setelah adanya sekatan pergerakan akibat koronavirus dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan, yang diumumkan Muhyiddin sehari sebelum pengisytiharan darurat.

Respons koronavirus kerajaan Muhyiddin perlulah diubah, kata Lim dalam satu kenyataan pada Selasa, kerana "dasarnya yang sering ditukar, berat sebelah dan tidak cekap" setakat ini “telah menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan nyawa dan kesejahteraan dalam pertempuran memerangi COVID -19. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.