Menteri Perundangan: Tiada Sidang Parlimen Sehingga Darurat Berakhir

Jemaah Menteri telahpun menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tiada sidang parlimen dibuat sehingga tamat darurat.
Noah Lee
2021.03.03
Kuala Lumpur
Menteri Perundangan: Tiada Sidang Parlimen Sehingga Darurat Berakhir Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (depan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semasa persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, 13 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Persidangan Parlimen Malaysia tidak akan diadakan sehingga tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, kata Menteri Undang-undang negara itu pada Rabu, seminggu selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan bahawa proklamasi darurat hanyalah untuk memerangi pandemik COVID-19 dan bukan satu halangan untuk parlimen bersidang.

Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal parlimen berkata Jemaah Menteri telahpun mencapai persetujuan yang tidak diadakan sidang Parlimen sehingga tamatnya darurat, sebelum Perdana Menteri menyampaikan nasihat kepada Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan pula menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda, dan kesemua alasan diberikan menteri itu sebagai "lemah dan dangkal".

Beliau memberitahu pemberita bahawa keputusan tersebut dibuat kabinet berdasarkan beberapa justifikasi, termasuk bagi melindungi ramai Anggota Parlimen yang sudah berusia dan termasuk dalam golongan berisiko tinggi dijangkiti koronavirus.

"Mana-mana sesi parlimen yang hendak dipanggil mestilah mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Jadi sekarang ini Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang parlimen. Jadi itulah keadaan sekarang ini.

"Istana Negara menyatakan kalau hendak mengadakan sidang parlimen, perlukan satu keputusan dari Jemaah Menteri. Kabinet memberi nasihat dan kenapa kita perlu menangguhkan parlimen..., ini bukan menggantung parlimen, tetapi menangguhkan.

“Ini kerana banyak alasan, termasuk alasan perundangan, dan ada alasan sains dan data," kata beliau dalam satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Adham Baba.

Pada 24 Feb lepas, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media di mana Sultan Abdullah menzahirkan bahawa parlimen boleh bersidang semasa darurat, dan baginda akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai tarikh yang sesuai untuk berbuat demikian.

Takiyuddin bagaimanapun mendakwa apa yang dizahirkan dalam kenyataan media Istana Negara itu menjelaskan mengenai Seksyen 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang menyebut bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen adalah "tidak mempunyai kesan" semasa tempoh darurat.

Untuk rekod, Seksyen 14(1) Ordinan itu juga menyebut bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan bersesuaian oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menjawab soalan pemberita, Takiyuddin mendakwa bahawa tiada keperluan untuk sidang parlimen diadakan semasa darurat kerana Yang di-Pertuan Agong boleh membuat apa-apa Ordinan seperti yang termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Alasan perundangan adalah jelas. Perlembagaan menyatakan dalam masa darurat Yang di-Pertuan Agong boleh membuat ordinan bawah Perkara 150, maka keperluan untuk parlimen bersidang untuk membuat undang-undang itu tidak ada.

“Kedua, kita lihat tumpuan dan fokus kerajaan sekarang ini adalah untuk memerangi COVID-19, termasuk ahli-ahli parlimen sendiri. Mereka adalah petugas barisan hadapan yang bertugas untuk memastikan rakyat di kawasan mereka terutamanya dapat sama-sama memerangi COVID-19." kata Ahli Parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu.

Beliau turut memberikan justifikasi ketiga yang mempunyai kaitan dengan bilangan Ahli Parlimen yang dianggap berisiko tinggi terhadap jangkitan pandemik tersebut dengan berkata daripada sejumlah 220 penyandang kerusi parlimen, 77 daripadanya berusia antara 61 hingga 69 tahun, diikuti 70 hingga 79 tahun adalah seramai 19 orang, manakala empat lagi berusia lebih 80 tahun.

"Jadi sebahagian daripada Ahli-ahli Parlimen kita ini golongan berisiko. Kita tidak mahu Ahli Parlimen terdedah pada perkara ini (pandemik), kerana sidang Parlimen dibuat dalam kawasan tertutup," tambah Takiyuddin lagi.

Beliau turut menafikan bahawa kerajaan mempunyai maksud lain bagi menangguhkan sidang Parlimen, dan menyatakan bahawa Perdana Menteri telah berjanji yang sidang Dewan Rakyat itu akan dipanggil sebaik selepas darurat tamat.

"Semasa tidak bersidang ini, para Ahli Parlimen boleh memberikan tumpuan pada memerangi COVID-19. Ini justifikasi kita, bukan ada maksud-maksud lain," katanya lagi.

Tidak hormati titah Agong

Susulan daripada pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari, Muhyiddin mengumumkan bahawa persidangan Parlimen adalah digantung dengan tindakan tersebut menerima kritikan meluas pembangkang, yang mendakwa bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan ia adalah satu cubaan untuk mengekalkan kuasa.

Pakatan Harapan pada Rabu berkata kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.

"Kekeliruan SOP COVID-19, kemarahan rakyat tentang isu “Antara Dua Darjat” dalam penguatkuasaan, bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi, dan banyak masalah lain adalah sebab utama mengapa Parlimen mesti bersidang segera.

“Sebagai institusi ulung demokrasi negara kita, Parlimen turut berfungsi sebagai tempat proses semak imbang pengurusan kerajaan dilakukan. Tanpa Parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang tersebut telah ‘dimatikan’," kata kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan.

Mereka juga mendakwa bahawa Takiyuddin telah gagal memberitahu fakta kepada pihak media bahawa tiada seorangpun Ahli Parlimen yang dijangkiti COVID-19 sepanjang 55 hari Dewan Rakyat bersidang pada tahun lepas.

Ini membuktikan bahawa langkah-langkah SOP yang diambil adalah berkesan, dan Parlimen boleh bersidang tanpa lengah.

"Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan YB Menteri. Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan tamat dan diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat, pada ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi, dan pada ketika pihak Eksekutif serta
Kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang sesegera mungkin.

"Oleh itu, Jemaah Menteri perlu menjunjung kasih di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda tersebut, serta menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen segera," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir pada Rabu berkata alasan ketiadaan persidangan Parlimen yang kononnya disebabkan oleh wabak COVID-19 adalah suatu alasan yang remeh.

“Alasan ketiadaan persidangan Parlimen yang kononnya disebabkan oleh wabak COVID-19 adalah suatu alasan yang remeh, memandangkan sekolah dan premis perniagaan telah dibuka yang melibatkan jutaan orang, manakala Dewan Rakyat hanya membabitkan 220 orang sahaja.

“Kami melihat bahawa ketiadaan persidangan Parlimen sehingga ke hari ini adalah dengan jelas mencerminkan kebimbangan pihak kerajaan berkenaan kelangsungan kuasa politiknya,” menurut kenyataan itu.

“Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said turut mengutus surat kepada Peguam Negara bahawa cabang legislatif telah dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung Parlimen dan menyebabkan cabang eksekutif seolah-olah mentadbir secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.” kata kenyataan dari parti yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.