Mahathir Terajui Parti Yang Baru Dibentuk
2016.08.09
Kuala Lumpur

Sebuah parti politik baru yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan pemimpin lain daripada kumpulan yang berpecah dari parti dominan Malaysia pada Selasa semakin hampir menjadi realiti.
Muhyiddin Yassin, yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun lalu, hadir di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Kementerian Dalam Negeri untuk mendaftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya pada Selasa.
Mahathir, Muhyiddin dan beberapa lagi bekas anggota parti United Malays National Organization (UMNO) berharap parti baru mereka itu dapat mewakili "semua rakyat Malaysia," dan membentuk sebuah institusi dan kerajaan yang bersih, selain mencabar kepimpinan perdana menteri sedia ada yang dibelenggui dakwaan rasuah.
Muhyiddin memfailkan permohonan parti baru itu, kerana Mahathir, 91, sedang dirawat kerana masalah jangkitan di dada dan kini berada di bawah pemerhatian pakar perubatan untuk beberapa hari, Institut Jantung Negara mengesahkan mengenai perkara itu.
Mahathir dan Muhyiddin, yang menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal kewangan syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan mempunyai peranan kepimpinan tertinggi di dalam parti baru Bersatu.
Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, akan bertindak sebagai pengerusi parti itu manakala Muhyiddin, yang dipecat Najib kerana bekas timbalannya itu membuat kritikan awam terhadapnya dan 1MDB, dilantik sebagai presiden.
Anak Mahathir, Mukhriz, bekas menteri besar Kedah, akan menjadi naib presiden. Pada Jun lalu, Muhyiddin dan Mukhriz telah dipecat dari UMNO kerana lantang menentang Najib berhubung isu 1MDB.
Dalam pada itu, Feb lepas, Mahathir mengisytiharkan untuk keluar dari UMNO, parti pemerintah yang pernah diketuainya. Beliau kemudian menuduh kepimpinan tertinggi parti itu kerana melindungi Najib daripada dakwaan rasuah, di mana Perdana Menteri itu telah menafikannya.
Sekarang, terpulang kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menimbang permohonan parti Bersatu untuk pendaftaran.
Pendaftar Pertubuhan akan bertindak secara profesional mengikut peraturan dan Kementerian Dalam Negeri tidak akan campur tangan dengan proses ini, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata.
Saya yakin ROS akan menjalankan tugasnya tanpa prejudis. Permohonan itu akan dikemukakan kepada jawatankuasa semakan untuk kelulusan oleh Menteri Dalam Negeri, "agensi berita Bernama memetik Zahid sebagai berkata.
‘Malaysia Adil’
Muhyiddin, yang telah digantikan oleh Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri berkata, parti baru itu akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia. Keahlian parti itu akan terdiri daripada warga Bumiputera, termasuk orang asal dari Sarawak dan Sabah. Rakyat bukan Bumiputera akan diiktiraf sebagai "ahli bersekutu."
Kami mahu menjadi inklusif. Kami akan memberi mereka pengiktirafan baru. Kami mahu mereka memainkan peranan dari segi penyampaian idea, "kata Muhyiddin kepada media selepas mendaftar permohonan pembentukan parti itu.
Ahli Bersekutu tidak akan dibenarkan untuk mengundi atau bersaing untuk jawatan dalam parti, tetapi layak untuk dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti.
Agenda utama parti itu adalah untuk melaksanakan perubahan institusi dan menuntut keadilan dalam melindungi hak setiap rakyat Malaysia, katanya.
"Matlamat utama adalah membentuk Malaysia yang adil," kata Muhyiddin.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang ahli jawatankuasa Bersatu berkata, adalah penting bagi kaum Melayu dan belia Bumiputera menolak budaya rasuah demi keselamatan Malaysia.
"Sudah tiba masanya bagi Bumiputera untuk bersuara, menggunakan platform baru ini. Tidak mengapa jika mereka mahu mengekalkan identiti mereka, tetapi (perlu) menjadi progresif dan menyertai parti ini, "kata Syed Saddiq, 24, menurut akhbar Malay Mail.
‘Parti serpihan tidak tahan lama’
Walau bagaimanapun, beberapa penganalisis politik menyuarakan keraguan bahawa parti baru itu boleh bertahan lama, jika ia berjaya dilancarkan.
"Saya ragu-ragu akan ada sokongan yang besar daripada rakyat, terutamanya apabila mereka yang akan menerajui parti baru adalah bekas pemimpin UMNO yang telah dilihat mempunyai agenda mereka sendiri, iaitu untuk menggulingkan kepimpinan semasa," kata penganalisa politik dari Sabah, Jeniri Amir kepada BeritaBenar.
"Parti-parti politik yang mempunyai agenda peribadi tidak bertahan lama. Ini terbukti berdasarkan perkembangan parti politik di Malaysia. Parti serpihan tidak dapat bertahan, kecuali Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diketuai oleh pemimpin pembangkang dipenjara Anwar Ibrahim, tambahnya.
Sebelum itu, Mahathir berkata, parti baru itu akan membentuk satu blok pembangkang baru yang akan wujud disamping blok pembangkang, serta parti-parti yang lain.
Pakatan Harapan (PH) blok terdiri daripada PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Nasional (PAN). Parti Islam Se-Malaysia (PAS), berpecah daripada blok pembangkang pada Jun 2015, dan sejak itu menguar-uarkan pihaknya sebagai blok pembangkang kedua menentang Barisan Nasional yang memerintah.
Jeniri juga meramalkan bahawa sukar bagi Bersatu untuk masuk ke Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), kerana parti dari Semenanjung Malaysia tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, katanya.
Penganalisa politik Mohamad Redzuan Othman bersetuju bahawa jangka hayat PKR mempunyai kaitan dengan populariti Anwar.
"Saya tidak melihat semangat perjuangan yang sama daripada Muhyiddin yang marah pada Najib, dan saya tidak fikir mereka akan dapat bertahan," Naib Canselor Universiti Selangor itu memberitahu BeritaBenar.
"Dalam usaha untuk menubuhkan parti baru, anda perlu mempunyai karisma, sokongan kewangan, rangkaian dan sokongan akar umbi, yang kumpulan baru ini tidak punyai sama sekali," katanya.