Polis siasat perarakan replika senjata Pemuda PAS, 36 dipanggil beri keterangan
2023.02.21
Kuala Lumpur

Menteri Dalam Negeri Malaysia berkata perarakan oleh ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memakai kostum perang zaman pertengahan serta membawa replika lembing, pedang dan perisai merupakan ancaman kepada keharmonian negara.
Susulan daripada itu, pihak berkuasa pada Selasa telah menyoal siasat 36 individu mengenainya dengan parti tersebut mempertahankan acara itu dan berkata ia adalah pertandingan kostum berlatarkan warisan Islam sebagai tema.
“Perarakan itu telah menjadi tular di media sosial dan telah mencetuskan kegusaran kepada masyarakat, apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN),” kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, sebarang paparan atau tindakan yang menonjolkan seperti semangat berperang diselitkan pula dengan simbol-simbol ketenteraan seperti senjata adalah tidak wajar dan hanya akan mengundang keresahan di kalangan orang ramai.
“Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang memberi hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia tidak wajar melampaui batas serta mengancam keharmonian negara. Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang mengancam unsur-unsur ketenteraman, keharmonian dan keselamatan,” tambahnya lagi.
Jumaat lalu, beberapa gambar dan video sekumpulan lelaki berpakaian seperti ‘zaman pertengahan’ berarak dengan replika pedang, lembing dan perisai yang mempunyai logo PAS sebagai latarbelakang, tular di media sosial.
Turut kelihatan juga sebuah kenderaan pikap membawa pedang replika besar di bahagian kargonya.
Perarakan kontroversi itu merupakan sebahagian daripada Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023), iaitu satu acara yang dianjurkan selama dua hari melibatkan penyertaan ahli dari negeri-negeri dan berkumpul di kubu kuat parti itu, di Terengganu yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa pada Selasa berkata penganjur dan peserta perarakan telah dipanggil untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan.
“Seramai 36 individu telah disoal siasat dan mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan, mereka melibatkan penganjur dan para peserta,” kata Rohaimi kepada BenarNews.
Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Rohaimi berkata polis tidak dimaklumkan mengenai perarakan yang melibatkan replika senjata, dan hanya dimaklumkan mengenai acara yang berlangsung di sebuah resort di Setiu.
Pada Isnin, PAS menegaskan perhimpunan di Terengganu itu adalah manifestasi kecintaan kepada para sahabat dan Islam - dengan pakaian yang melambangkan watak pejuang Islam di zaman Rasulullah (Muhammad).
“Adakah menzahirkan kecintaan kepada Islam satu perbuatan yang salah di bawah pemerintahan kerajaan sekarang?
“Isu ini sengaja dikaitkan dengan PAS dengan niat mencemarkan imej parti dan mewujudkan satu lagi dogma Islamofobia dalam masyarakat,” demikian menurut Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Kritikan di media sosial
Bagaimanapun, pengguna media sosial tidak memberikan sebarang peluang kepada PAS.
Pengguna Twitter yang dikenali sebagai Sarah berkata tindakan oleh PAS telah mencemarkan industri kostum negara demi mencapai agenda politik.
“Membandingkan agenda sebuah parti politik yang mengancam masyarakat dengan hobi kostum adalah bodoh.
“Kamu semua (PAS) telah mencemarkan nama baik cosplay dan kostum, baik yang melibatkan sejarah atau sebaliknya. Saya mengatakan ini sebagai seorang yang meminati fesyen sejarah, malahan turut menjahit kostum sekali sekala.
Seorang lagi pengguna Twitter Afral Abdullah berkata kerajaan mesti bertindak segera terhadap penggunaan Islam di dalam nama parti politik.
“Sekarang mereka berkata ia adalah acara cosplay, apakah jaminan bahawa ia tidak akan benar-benar berlaku pada masa hadapan? Apakah objektif perarakan itu?" soalnya dalam satu ciapan di Twitter.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyokong acara tersebut dengan berkata kemarahan yang diluahkan oleh orang ramai terhadap perarakan anjuran PAS itu sebagai reaksi keterlaluan.
Wan Fayhsal, yang bertanding di bawah logo PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, berkata acara cosplay itu bertujuan memaparkan naratif sejarah Islam pada masa lalu.
“Saya tidak bercakap bagi pihak PAS... Saya fikir ini adalah reaksi keterlaluan oleh orang ramai, terutamanya, maaf saya katakan, di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam,” jawabnya kepada pemberita ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
“Kejadian salah faham ini seharusnya dibendung dengan segera, dan media seharusnya memberi ruang kepada ahli-ahli PAS untuk menerangkan kepada orang ramai dengan jelas.
“Saya fikir PAS sudah menjelaskan dan memberikan justifikasi perarakan itu,” ujarnya lagi.
Menteri Hal Ehwal Agama Mohamed Na'im Mokhtar pada Ahad menyifatkan perarakan itu tidak wajar, sambil menambah ia boleh memberikan persepsi yang salah terhadap ajaran Islam dan Malaysia.
“Adalah lebih baik sekiranya penganjur mengetengahkan nilai-nilai Islam yang mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.
“Semua pihak bertanggungjawab menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam sewajarnya dielakkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.
Penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyifatkan penganjuran perarakan tersebut dalam keadaan ketegangan etnik adalah tidak wajar sama sekali.
“Biarpun PAS cuba memperkecilkan perarakan kostum itu, penganjurannya di tengah ketegangan kaum adalah tidak wajar sama sekali dan menyamakannya dengan persembahan opera Cina adalah alasan yang dangkal,” katanya kepada BenarNews, merujuk kepada kenyataan pemimpin PAS baru-baru ini berhubung perarakan itu.
“Simbol yang dizahirkan semasa perarakan itu mengancam keharmonian antara agama. Tidak banyak memberikan kebaikan kepada PAS untuk mengendurkan imej ekstremisnya.”
Menurut Tunku Mohar, isu itu menimbulkan rasa kurang senang termasuk di kalangan komuniti Melayu Islam terhadap penggunaan simbol-simbol tersebut.
Seorang lagi penganalisis berpandangan walaupun ia sekadar latihan pembinaan pasukan, PAS tidak menyedari yang ianya bersifat provokatif.
“Hakikat bahawa mereka tidak menyedari ia sebagai provokatif adalah satu masalah. Ini menunjukkan mereka tidak terpisah dari sentimen masyarakat, di luar daripada zon selesa mereka.
“Adakah (perarakan) ini akan menarik sokongan pengundi di luar Terengganu? Saya meraguinya. Ia lebih kepada menunjukkan kepada rakyat tempatan di Terengganu bahawa PAS telah berjaya di sini," kata Altaf Deviya, pengarah Pusat Penyelidikan Iman, kepada BenarNews, sambilmerujuk kepada pilihan raya negeri yang akan berlangsung di enam buah negeri dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.