Polis Malaysia Siasat Kenyataan Ahli Parlimen PAS Kritik Agama Kristian

Nisha David
2020.09.09
Kuala Lumpur, Malaysia
200909-MY-PAS1000.jpg Penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkumpul semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 di Pekan, Pahang, 28 April, 2018.
[AFP]

Ketua Polis Malaysia pada Rabu telah mengesahkan yang pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap seorang Anggota Parlimen daripada parti Islam, PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini sehingga menyinggung perasaan penganut agama Kristian di negara itu.

Abdul Hamid Bador mengesahkan yang Polis DiRaja Malaysia telah menerima tujuh laporan terhadap Nik Muhammad Zawawi berikutan kenyatannya pada 26 Ogos lalu yang mendakwa perintah dalam kitab Injil mengenai arak sudah “dipesongkan ataupun diubah”.

“Kita buka kertas siasatan sebab ada laporan polis dibuat di Sarawak...Keterangan saksi telah dirakam dan sekarang tunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung medium yang digunakan dalam menularkan isu berkenaan," katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu yang pihaknya belum lagi mengambil sebarang keterangan dari Nik Muhammad Zawawi.

“Setakat ini kita belum lagi mengambil keterangan daripada Anggota Parlimen PAS dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat. Setakat ini, hanya keterangan pengadu yang sudah dirakam,” katanya.

Beliau berkata, meskipun polis sudah membuka kertas siasatan namun kes berkenaan belum diklasifikasikan mengikut mana-mana seksyen di bawah peruntukan undang-undang.

Nik Muhammad Zawawi, adalah Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan juga Anggota Parlimen Pasir Puteh di Kelantan mula menjadi tumpuan apabila beliau menggambarkan Kitab Injil sebagai “terpesong dan berubah” semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat pada minggu terakhir Parlimen yang berakhir, 27 Ogos lalu.

Beliau yang kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir Malaysia, mengeluarkan kenyataan itu semasa perbahasan mengenai pemandu mabuk dan larangan minum arak dalam mempertahankan tindakan pentadbiran Putrajaya pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meminda akta berkaitan.

Pakar agama

Nik Muhammad Zawawi berkata sebagai pakar perbandingan agama yang turut mengkaji agama lain, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak dan mengharamkan pengambilan arak biarpun sedikit.

Beliau kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Nik Muhammad Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Ahli Parlimen DAP itu kemudiannya memberi contoh penggunaan wine (arak) dalam upacara “Lord Supper” bagi agama Kristian.

Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan menolak hujah Ngeh dengan berkata kandungan kitab Injil bagi agama Kristian terpesong kerana alkohol memang tidak dibenarkan.

“Saya minta Yang Berhormat Beruas supaya dia mengkaji betul- betul fakta agama yang ada termasuk kalau dalam agama Kristian yakni fakta sebelum daripada Kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah.

“Sebenarnya, asal agama yang diturunkan termasuk agama Masihi yang dibawa oleh Nabi Allah, Isa telah mengharamkan apa jua bentuk arak termasuk minum yang sedikit. Yang disebut dalam kitab ini - ini bidang saya. Saya sebut ini bidang saya,” balas Nik Muhammad Zawawi.

Anggota Parlimen itu turut menjelaskan bahawa kenyataannya adalah berdasarkan kepada bacaan buku yang dikarang oleh orang Islam.

“Saya baca sumber yang asal… Ini adalah bidang pengajian saya, dan saya sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama.

“Ini kerana kalau ada agama yang membenarkan benda ini (arak), bermakna mereka sendiri memburukkan agama mereka. Sebab, arak ini adalah benda yang sangat tidak baik dalam kehidupan manusia. Ia boleh memabukkan. Macam-macam perkara boleh berlaku apabila berlakunya mabuk,” tambah beliau lagi.

Susulan daripada perbahasan di Parlimen, pada 31 Ogos lalu tiga ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak membuat laporan polis terhadap Nik Muhammad Zawawi berhubung kenyataannya berhubung Kitab Injil itu.

Laporan itu dibuat oleh Brolin Nicholson yang merupakan pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dan anggota Pemuda DAP negeri Anthony Chin di Balai Polis Sekama di Kuching.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS mengenai kitab Injil sebagai “kurang bijak dan tidak peka” serta menggambarkan kecetekkan pemahaman ketika berbahas dengan penganut agama lain, serta tidak menonjolkan kerendahan hati.

“Saat kita paculkan dialog antara umat Islam dan Kristian, ia sewajarnya dipaksikan pada semangat persaudaraan seperti yang ditegaskan Allah SWT… Jika niat beliau adalah untuk mengajak orang ramai untuk memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan ‘kebijaksanaan dan nasihat yang baik’ dengan saling menghormati antara satu dengan yang lain,” kata Anwar dalam satu kenyataan pada 1 September.

Kemelut itu turut mendapat kritikan daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berkata PAS sudah menjadi parti pelampau disebabkan beberapa kenyataan yang tidak menghormati orang bukan Islam.

“DAP mengutuk sekerasnya Zawawi kerana menyinggung agama Kristian. Insiden seumpama itu tidak berlaku ketika PAS di bawah kepimpinan allahyarham Nik Aziz Nik Mat,” kata Lim.

Kenyataan pemimpin PAS itu juga mencetuskan kemarahan Persatuan Gereja Sarawak (ACS) yang mendesak wakil rakyat itu menarik balik kenyataannya yang bersifat ofensif dan tidak boleh diterima kerana melakukan penghinaan langsung terhadap Kitab Injil.

“Kenyataan bahawa ‘Kitab Injil dipesongkan ataupun diubah’ telah melanggar sempadan sensitiviti agama dan dianggap serius, tidak boleh diterima dan dibuat secara terbuka serta direkodkan dalam transkrip rasmi persidangan Dewan Rakyat,” kata Pengerusi ACS Ketua Biskop Simon Poh dalam kenyataan pada 29 Ogos lalu.

Enggan mohon maaf

Nik Muhammad Zawawi walaubagaimanapun enggan memohon maaf kerana katanya seperti dilaporan portal tempatan The Malaysian Insight kenyataannya berpandukan kepada kitab panduan orang Islam, Al-Quran.

“Saya tidak akan minta maaf, apa saya kata, tidak salah. Saya bercakap atas dasar ilmu yang (saya) belajar, fakta saya terima. Dan dalam al-Quran pun ada sebut, dan takkan Al-Quran tak betul. Sebab itu saya yakin,” tambah beliau.

Mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan di mana tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan apa juga yang dikatakan semasa mengambil bahagian semasa sidang Parlimen.

Bagaimanapun, Pakar Perlembagaan Negara, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, meskipun ahli parlimen mempunyai keistimewaan seperti tertakluk dalam Perlembagaan, namun ia tidak dilindungi sekiranya pengucapan itu berbaur menghasut.

“Kalau pengucapan dalam parlimen itu mempunyai kecenderungan menghasut dan termasuk dalam definisi kecenderungan menghasut, maka pengucapan itu tidak dilindungi oleh keistimewaan parlimen atau kebebasan bersuara dalam Parlimen. I I mengikut Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya polis mengkategorikan isu itu berkaitan dengan Akta Hasutan, maka beliau boleh didakwa di mahkamah,” katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia mengamalkan kebebasan beragama walaupun Agama Islam diangkat sebagai agama rasmi negara. Lebih 60 peratus rakyat Malaysia adalah beragama Islam diikuti dengan agama Buddha, Kristian dan lain-lain.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.