COVID-19: Kuala Lumpur Hadkan Kemasukan Pendatang, Pelarian di Pasar Borong
2020.06.23
Kuala Lumpur, Malaysia
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Selasa mempertahankan keputusan melarang pelarian dan pendatang tanpa izin memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur atas alasan langkah itu diperlukan bagi mencegah berlakunya lebih banyak penularan pandemik koronavirus.
Pihak berkuasa Malaysia bulan lalu telah menahan kira-kira 1,000 pekerja asing termasuk etnik Rohingya yang tinggal berhampiran pasar itu susulan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 sehingga membawa kepada penutupan pasar tersebut pada akhir April, sebelum ia dibuka semula pada pertengahan Mei.
“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) adalah antara lokasi yang telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kluster COVID-19,” menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan pada Selasa.
"Memandangkan punca penyebaran virus itu dikesan berpunca daripada warga asing, maka pergerakan mereka di PBKL perlu dipantau dan diperketatkan lagi. Ini bagi memastikan PBKL boleh terus berfungsi dengan lancar tanpa sebarang gangguan kerana ia merupakan antara nadi aktiviti perniagaan di bandaraya Kuala Lumpur,” kata pegawai DBKL .
Kenyataan itu menyebut bahawa pengecualian akan diberikan kepada warga asing yang memiliki dokumen sah - termasuk pemegang kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu UNHCR - dan yang diambil bekerja oleh peruncit di pasar tersebut asalkan mereka ditemani majikan rakyat Malaysia.
DBKL, agensi yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan ibu negara Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan notisnya pada Jumaat yang tular dalam talian sehingga mencetuskan kritikan.
Dalam notis itu, DBKL mengumumkan bahawa pemegang kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR tidak dibenarkan memasuki pasar borong tersebut.
Notis itu menyebut bahawa warga asing tidak perlu membeli-belah di pasar borong kerana mereka boleh mendapatkan bekalan dari pasar biasa yang berdekatan. Ia menyebut langkah itu diperlukan bagi mencegah pelarian membeli barangan makanan secara pukal dan menjualnya semula kepada yang lain secara haram.
Para pegawai UNHCR di pejabatnya di Kuala Lumpur tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen.
Kawasan sekitar pasar borong itu telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat pada 20 April setelah pihak berkuasa mengesan lonjakan jumlah kes COVID-19. Jumlah kes di kluster itu telah mencecah angka 204 orang - dan para pegawai melaporkan bahawa seorang warga asing telah meninggal dunia akibat koronavirus.
‘Nak beli bawang pun perlu ditemani?’
Jerald Joseph, yang merupakan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), mempersoal tindakan melarang warga asing memasuki pasar borong itu.
"Tidak masuk akal untuk tidak membenarkan pelarian yang memegang kad UNHCR memasuki pasar borong itu. Tindakan tidak membenarkan orang ramai mendapatkan bahan keperluan asas seperti makanan demi kelangsungan hidup adalah satu diskriminasi,” katanya kepada BeritaBenar. "Begitu juga dengan larangan yang dikenakan ke atas warga asing. Ini menyukarkan pekerja asing... nak beli bawang pun mereka perlu ditemani? "
Joseph berkata larangan itu akan menyukarkan kehidupan pelarian dan menyebabkan mereka lebih mudah dieksploitasi.
"Mereka sudah pun berada dalam situasi yang begitu sukar dan dengan mengenakan larangan sedemikian pasti akan menambahkan kesulitan mereka, itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka harus bergantung pada belas kasihan orang selama-lamanya dan mungkin lebih mudah dieksploitasi,” katanya.
Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif membela nasib migran di Malaysia, menyelar arahan DBKL itu yang didakwa beliau adalah bersifat diskriminasi terhadap warga asing.
"Pihak berkuasa Malaysia jelas tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan tindakan diskriminasi. Mengawal aktiviti penjualan semula boleh dilakukan dalam cara lain yang tidak bersifat perkauman seperti ini," katanya.
Alex Ong, Penyelaras Migran Care yang merupakan kumpulan hak asasi manusia, pula berkata arahan DBKL itu adalah amat jelas dan pekerja asing perlu mematuhi semua undang-undang imigresen dan syarat-syarat permit kerja mereka. Di Malaysia, pelarian tidak dibenarkan bekerja.
"Untuk golongan pelarian, Malaysia perlu membuat satu polisi yang relevan bagi membolehkan mereka bekerja dan dilindungi seperti pekerja asing lain. Buat masa ini, tiada polisi sedemikian untuk pelarian dan kerajaan Malaysia perlu mencapai satu konsensus atau perjanjian dengan UNHCR berhubung perkara ini,” katanya kepada BeritaBenar.