Isu fasih berbahasa Melayu untuk perbaharui pasport cetus perdebatan hangat

Menurut pengkritik, Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai syarat untuk memperbaharui pasport.
Minderjeet Kaur
2023.12.07
Kuala Lumpur
Isu fasih berbahasa Melayu untuk perbaharui pasport cetus perdebatan hangat Rakyat tempatan daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan agama di Pasar Pudu, Kuala Lumpur, 24 Mei 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Satu perdebatan hangat tercetus berkaitan isu sama ada rakyat Malaysia perlu fasih berbahasa Melayu selepas Menteri Dalam Negeri mempertahan pegawai Imigresen yang didakwa mencaci seorang wanita yang memiliki tahap rendah penguasaan bahasa rasmi negara itu semasa ingin memperbaharui pasport.

Pengkritik pula berpandangan Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai syarat untuk memperbaharui pasport selepas Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka yang memohon kerakyatan diberi mandat untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Baru-baru ini, beliau telah mempertahan tindakan pegawai Imigresen yang mempersoal individu tidak fasih berbahasa Melayu semasa memperbaharui pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Johor.

Menteri itu berkata semua rakyat harus mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan tiada kompromi berhubung isu penguasaannya dalam kalangan rakyat kerana ia merupakan bahasa rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam Perlembagaan Negara, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan… Kewajipan seseorang warga untuk kuasai BM (bahasa Melayu) tidak boleh kita kompromi…sebab itu perlu faham bahasa supaya tidak timbul syak wasangka.

"Sebagai contoh, sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap individu kerana mirip muka tidak menyamai ibu bapanya, bagaimanapun siasatan mendapati berlaku pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri," katanya ketika mengulas insiden di Johor itu.

Seorang wanita tular di media sosial selepas berkongsi pengalaman memperbaharui pasport di UTC Johor dan beliau antara lain mendakwa diherdik seorang pegawai lelaki di pejabat Imigresen kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika ingin memperbaharui pasport anak perempuannya.

Menurut wanita itu, beliau dan anaknya tidak fasih Bahasa Melayu kerana menerima pendidikan di sekolah yang menggunakan medium Bahasa Inggeris di Singapura. Pendidikan di Malaysia pula menekankan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris dan di sesetengah sekolah di bandar, subjek Matematik serta Sains diajar dalam dwibahasa.

SAIFUDDIN_NASUTION_KDN_BENARNEWS_02.jpg

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada satu sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Malaysia, 5 Julai 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Salah guna kuasa

Pakar Perlembagaan Bastian Pius Vendargon berkata rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memohon atau memperbaharui pasport tanpa perlu menguasai Bahasa Melayu kerana syarat utama untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu adalah kerakyatan.

"Terdapat dua isu berbeza di sini, wanita berkenaan bukan datang untuk memohon kerakyatan yang prosesnya meletakkan syarat kefasihan Bahasa Melayu dan boleh gagal dalam permohonan sekiranya tidak mampu menunjukkan penguasaan bahasa itu.

"Wanita tersebut dan anaknya adalah pemegang pasport Malaysia dan hanya datang untuk memperbaharui pasport mereka," kata beliau kepada BenarNews.

Verdagon berkata tanggungjawab pegawai Imigresen yang bertugas ialah memastikan dokumen bagi pembaharuan pasport termasuk gambar adalah lengkap dan sekiranya terdapat sebarang isu seperti pemalsuan pasport, sistem Imigresen mempunyai maklumat yang berkaitan mengenai kedua-dua wanita.

Bekas Naib Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA) Ti Lian Ker pula berkata insiden itu menimbulkan kerisauan mengenai layanan terhadap mereka yang ingin memperbaharui pasport.

"Layanan buruk disebabkan isu kefasihan bahasa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana terdapat banyak cara lain untuk menangani rasa syak terhadap status kewarganegaraan wanita itu dan anaknya. Ia sesuatu yang malang apabila pegawai yang sepatutnya membantu rakyat bertindak menghukum," katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata sesetengah rakyat Malaysia yang berbangsa Cina dan India mungkin tidak berpendidikan tinggi atau tidak pernah mendapat pelajaran formal disebabkan faktor kemiskinan.

"Adakah kita mahu menghukum mereka lagi dan bukannya membantu mereka?," soal Ti.

Peguam itu berkata Malaysia merupakan negara berbilang kaum di mana pelbagai bahasa digunakan dan rakyat patut diberi kebebasan untuk bercakap dalam apa-apa bahasa yang mereka selesa tanpa didiskriminasi kecuali jika mereka memohon kerakyatan kerana undang-undang mewajibkan mereka boleh berbahasa Melayu.

"Fokus diberikan Kementerian Dalam Negeri mengenai kepentingan Bahasa Melayu itu betul kerana ia merupakan bahasa kebangsaan namun dalam usaha mempromosikan bahasa itu, kita juga mesti menegakkan undang-undang dan menghormati hak kerakyatan seseorang, bukannya menjatuhkan maruah atau membuli mereka.

Tiada hak

Bagi Presiden Parti Putera Ibrahim Ali, pegawai Imigresen terbabit tidak mempunyai hak untuk melayan wanita itu dan anaknya dengan buruk hanya disebabkan mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

"Tahap Bahasa Melayu diuji sebelum kerakyatan diberikan, bukan selepas. Pegawai itu sepatutnya menasihati wanita berkenaan dan anaknya dengan baik supaya mereka mempelajari Bahasa Melayu dan beliau tidak mempunyai hak untuk berbuat seperti apa yang dilakukannya," kata beliau kepada BenarNews.

P. Ramasamy, bekas pemimpin parti Tindakan Demokratik (DAP) pula berkata tindakan Saifuddin Nasution mempertahan pegawai Imigresen itu mungkin didorong oleh gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya jabatan kerajaan menolak surat yang ditulis dalam bahasa selain Bahasa Melayu.

Ramasamy merujuk kepada arahan yang dikeluarkan Anwar pada Oktober lepas iaitu semua surat yang dihantar kepada kerajaan yang bukan dalam bahasa kebangsaan mesti dipulangkan kepada pengirimnya.

"Beliau (Saifuddin Nasution)sepatutnya dinasihatkan oleh pasukan undang-undang kerajaan bahawa tiada ujian keperluan Bahasa Melayu atau bahasa untuk memperbaharui pasport semata-mata. Keperluan penguasaan Bahasa Melayu diperlukan pada peringkat permulaan permohonan kewarganegaraan dan bukannya selepas," katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.