Pakar PBB: Negara Anggota Perlu Bincang Dengan NUG Cari Penyelesaian Krisis Myanmar

Muzliza Mustafa & Nisha David
2022.06.24
Kuala Lumpur
Pakar PBB: Negara Anggota Perlu Bincang Dengan NUG Cari Penyelesaian Krisis Myanmar Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews, bercakap pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 23 Jun 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu menyusuli langkah Malaysia dan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG) Myanmar dalam usaha membantu menyelesaikan krisis pasca rampasan kuasa di negara bergolak itu, kata seorang pakar PBB pada Khamis.

Selain itu, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) memerlukan pendekatan baharu dalam menangani junta Myanmar untuk memastikan ia meletakkan Myanmar kembali ke landasan demokrasi seperti yang dipersetujui lebih setahun lalu, kata Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia, Tom Andrews, pada sidang media di akhir lawatan lapan hari ke Malaysia.

"Konsensus lima perkara tidak ada maknanya jika ia sekadar terkandung dalam sehelai kertas," katanya, merujuk kepada perjanjian yang dicapai oleh negara-negara anggota ASEAN termasuk Myanmar, mengenai bagaimana junta harus bergerak ke arah memulihkan demokrasi.

"Satu-satunya peluang untuk melakukan perubahan adalah dengan menterjemahnya menjadi tindakan penuh makna berserta strategi, pelan tindakan, jangka masa, tepat seperti yang diminta oleh Menteri Luar Malaysia," kata Andrews, yang merujuk kepada Saifuddin Abdullah.

Malaysia, yang mengkritik keras rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, juga secara konsisten menyeru tindakan lebih tegas daripada badan serantau itu supaya junta Myanmar bertanggungjawab terhadap konsensus yang telah dipersetujuinya pada April 2021, tetapi kemudian diabaikannya.

"ASEAN mesti kembali kepada rancangannya dan melaksanakan pelan tindakan yang lebih terperinci untuk mencapai konsensus lima perkara itu dalam jangka masa yang sewajarnya," kata Saifuddin pada panel Dialog Shangri-La di Singapura awal bulan ini.

Konsensus lima perkara yang disepakati pemimpin ASEAN dan ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 24 April tahun lepas termasuklah menamatkan keganasan, memberi bantuan kemanusiaan, melantik utusan khas ASEAN, mengadakan dialog dengan semua pihak dan utusan khas menjadi perantaraan.

ASEAN belum dapat melaksanakan mana-mana pun perkara yang terkandung dalam konsesus itu, dan kebanyakan penganalisis berkata badan serantau itu, yang diketahui beroperasi secara konsensus, harus dipersalahkan dalam hal ini. Tidak semua negara dalam 10 anggota ASEAN bersetuju untuk meningkatkan tekanan ke atas rakan anggota mereka, dan ini bermaksud badan serantau itu tidak boleh berperanan dengan lebih berkesan.

'Apa yang Malaysia lakukan adalah penting'

Oktober lalu, Menteri Luar Malaysia yang lantang berkata Kuala Lumpur akan mengadakan perbincangan dengan NUG jika junta Myanmar terus melengahkan kerjasama dalam usaha mencari penyelesaian konflik ASEAN.

Pada Februari lalu, beliau mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari NUG, Zin Mar Aung, melalui sidang video, dan diikuti dengan pertemuan secara peribadi di Washington pada 16 Mei selepas Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-ASEAN.

Semasa satu temu bual dengan BenarNews pada Mei lalu, Saifuddin berkata bahawa banyak pihak dalam ASEAN kecewa kerana tentera Myanmar mengabaikan konsensus lima perkara itu.

“Saya rasa kita perlu lebih kreatif dan itulah sebabnya, sebagai contoh, kita [perlu] mula menamakan pihak-pihak yang berkepentingan … NUG, … semuanya,” kata Saifuddin kepada BenarNews.

Andrews dari PBB berkata beliau percaya berbincang dengan NUG adalah langkah yang wajar diambil oleh negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia – dan ini perlu dicontohi negara-negara lain.

"Kita perlu jelas siapa yang sah dan siapa yang tidak sah," katanya.

“Kerajaan Perpaduan Nasional terdiri daripada mereka yang dipilih oleh rakyat, dan juga mereka yang mewakili masyarakat etnik yang sangat penting kepada struktur dan masa depan Myanmar. Saya sangat mengesyorkannya - dan saya gembira menteri luar Malaysia telah berbincang dengan NUG dan saya menyarankan supaya semua negara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ... turut melakukan perkara yang sama."

Perbincangan ASEAN dengan NUG akan menjadi satu inisiatif yang baik, kata penganalisis Md. Mahbubul Haque dari Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Jika ada sesiapa yang menyokong perjuangan demokrasi dan situasi hak asasi manusia secara keseluruhannya di Myanmar, oleh itu, perbincangan dengan NUG adalah amat perlu dilakukan. Pada masa ini, NUG mewakili kuasa politik utama yang merangkumi pelbagai etnik minoriti,” katanya kepada BenarNews.

“Apa yang Malaysia lakukan adalah penting kerana ia datang dari negara anggota ASEAN. Tetapi pada masa ini, kita tidak boleh mengharapkan semua negara anggota akan mengikut pendirian Malaysia, ini kerana adanya kepentingan geopolitik [mereka sendiri].”

Seorang lagi penganalisis, Aizat Khairi dari Universiti Kuala Lumpur, berkata bahawa perbincangan ASEAN dengan NUG akan memberi tekanan kepada junta Myanmar.

“Junta tidak akan gembira tetapi ia akan memberikan tekanan yang diperlukan untuk menjadikan mereka lebih terbuka dan bersedia ke peringkat rundingan seterusnya dengan pihak lain di Myanmar,” katanya kepada BenarNews.

Pakar PBB itu berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis bahawa Saifuddin telah menggesa ASEAN untuk beralih daripada dasar "tidak campur tangan" kepada dasar "tidak ambil peduli."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.