Malaysia perlu beri peluang kepada pelarian tampung kekurangan pekerja
2023.06.16
Kuala Lumpur

Masalah kekurangan kira-kira setengah juta tenaga buruh di Malaysia mampu diatasi dengan membuka peluang kerja di sektor terbabit kepada pelarian, kata sekumpulan individu daripada golongan itu pada Jumaat, dua hari selepas Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan mungkin mempertimbang perkara tersebut.
Bercakap di sebuah majlis sempena Hari Pelarian Sedunia yang bakal disambut pada 20 Jun depan, beberapa ahli kumpulan berkenaan menyuarakan hasrat untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dan berharap mereka diberi peluang berbuat demikian.
Menurut agensi pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat lebih 180,000 pelarian di Malaysia termasuk 133,000 yang merupakan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas.
"Sememangnya diketahui Malaysia kini berdepan isu kekurangan tenaga buruh tetapi tidak mengambil kira keberadaan pelarian dan pencari suaka.
"Memandangkan terdapat sumber di dalam negara yang mampu menyelesaikan masalah itu, mengapa masih mahu mencari tenaga buruh yang mahal berbanding mengambil pekerja lebih murah.
"Tolong beri peluang kepada kami untuk sama-sama menyumbang kepada ekonomi negara ini, dan kami tidak akan mengecewakan kamu," kata Kumpulan Etnik Myanmar semasa sambutan Hari Pelarian Sedunia di Kuala Lumpur.
Walaupun Malaysia merupakan antara negara yang menempatkan pelarian dan pencari suaka paling ramai di rantau Asia Tenggara, ia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 di bawah PBB.
Di bawah undang-undang Malaysia, status pelarian tidak berbeza dengan pendatang tanpa izin dan mereka tidak boleh bekerja secara sah.
"Dengan memberikan mereka akses kepada pekerjaan secara sah, golongan pelarian boleh membantu mengatasi isu kekurangan tenaga buruh sekali gus mengurangkan kegusaran mengenai masalah berkaitan penyeludupan manusia dan menyokong pelan kerajaan untuk negara," kata Thomas Albrecht, wakil Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) di dalam ucapannya.
Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Rabu berkata kerajaan komited membantu pelarian dari pelbagai segi termasuk dalam isu pekerjaan, pendidikan dan kesihatan, dengan mempertimbang kewujudan data mencukupi mengenai populasi mereka di negara itu.
Setakat ini, Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan menjalin kerjasama dengan UNHCR bagi menentukan bilangan pelarian di Malaysia.
"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami komited untuk melakukan perkara yang betul, dan apa yang betul sekarang ialah untuk mula dari awal iaitu dengan mengumpulkan maklumat serta mempunyai pangkalan data yang boleh dipercayai," katanya di Parlimen.
UNHCR mengesahkan kepada BenarNews bahawa agensi itu dan kerajaan Malaysia telah mengadakan beberapa perbincangan sejak tahun lepas.
Pada April, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan membenarkan pelarian dan pencari suaka bekerja secara sementara dalam sektor perladangan Malaysia sebagai antara langkah menangani isu kekurangan tenaga kerja.
Inisiatif serupa pernah dilaksana pada 2016 yang digelar sebagai projek percubaan namun dihentikan dan dikritik oleh beberapa kumpulan pembela pelarian yang menyifatkan ia sebagai satu kegagalan.
Semasa sesi forum di majlis sambutan pada Jumaat, pegawai UNHCR, Tau Su Yuen, berkata projek itu tidak dimaklumkan secara efektif kepada pelarian dan ini menyebabkan mereka tidak dapat menyertainya.
"Pengalaman dan kebolehan pelarian adalah berbeza. Kegagalan projek itu adalah kerana kerajaan tidak bertanya apa yang mereka mahu buat dan sektor mana yang ingin mereka disertai sekali gus menyebabkan penempatan mereka tidak sepadan serta tidak berjaya," katanya.
Ditanya sama ada pelarian cerewet dalam memilih pekerjaan, Su Yuen menafikan perkara itu dan berkata: "Kita mungkin perlu ambil setapak ke belakang dan kaji semula kenapa ia tidak berjaya. Adakah ia kerana mereka cerewet, atau kerana tidak ada kesepadanan?"
Bercakap mengenai projek percubaan berkenaan, James Bawi Thang Bik, seorang pelarian dan penganjur kumpulan itu, berkata Malaysia dan UNHCR patut mewujudkan satu sistem pemetaan bagi menilai kebolehan pelarian sebelum menghantar mereka ke mana-mana sektor.
"Setakat ini, apa yang diperlukan ialah mengutamakan pemetaan ini. Persoalannya, siapa yang harus mengambil inisiatif untuk memulakannya? Adakah NGO, kerajaan atau UNHCR," katanya pada forum itu.
"Terdapat kepelbagaian dalam komuniti pelarian yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk tahap pendidikan, pengalaman kerja dan kebolehan.
"Sekarang ini, UNHCR memiliki semua data yang relevan dan berada di posisi yang sesuai untuk melaksanakan pemetaan ini." tambahnya lagi.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.