Malaysia Tahan Enam Lelaki Rancang Serangan di Thailand: Sumber Keselamatan
2017.02.02
Bangkok & Kuala Lumpur

Enam lelaki yang ditahan di pantai timur Malaysia bulan lepas, selepas dipercayai memiliki pelbagai bahan membuat bom, didapati terlibat merancang untuk menyasarkan selatan Thailand, kata pegawai keselamatan Thailand pada Khamis.
Tiga daripada enam yang ditahan pada 15 Jan di Pasir Mas, Kelantan – yang bersempadan dengan Thailand - adalah rakyat Thailand yang merupakan anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN), salah satu daripada kumpulan pemberontak di wilayah berkenaan, dua pegawai keselamatan Thailand berkata kepada BeritaBenar dengan syarat nama mereka tidak disiarkan.
Tetapi tiada yang dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam seperti didakwa pada awalnya oleh pihak berkuasa di Kelantan, sumber polis Malaysia memberitahu BeritaBenar secara berasingan.
"Kami percaya mereka merancang satu plot untuk menyerang selatan Thailand. Pihak berkuasa Malaysia menahan mereka dan mendapati pelbagai bahan membuat bom, " seorang pegawai Thailand memberitahu BeritaBenar, sambil memetik laporan polis Malaysia dan maklumat yang dikumpulkan oleh perisikan Thailand.
Pejuang BRN yang disyaki itu terdiri daripada pemimpin kumpulan pemisah bersenjata yang berpangkalan di Yala, salah satu wilayah di kawasan sempadan selatan yang majoritinya beragama Islam dan berbahasa Melayu Thailand, sumber itu berkata, memetik maklumat yang dikumpul mengenai lelaki berkenaan.
"Lelaki itu adalah Uzman Jeh-Umong, 40 tahun. Beliau mempunyai rekod sebagai militan utama di bawah sel Deng Aweji, " kata pegawai itu, merujuk kepada kenyataan oleh seorang komander BRN di Yala, Deng Aweji.
‘Dari mainan rosak anak saya’
Menurut laporan akhbar Malaysia, New Straits Times (NST), enam suspek yang tinggal berhampiran antara satu sama lain di Kelantan itu ditahan dalam satu serbuan polis.
Suspek yang berusia antara 30 dan 40-an, memiliki komponen dan bahan yang boleh digunakan untuk membuat bom, termasuk wayar dan bateri, akhbar itu memetik Ketua Polis Negeri Ab Rahman Ismail sebagai berkata.
Isteri salah seorang daripada enam suspek memberitahu NST bahawa suaminya, yang bekerja sebagai tukang kayu, bukan militan atau pemberontak.
"Beliau tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan dan tidak melakukan apa-apa yang salah," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai "Yah," kepada akhbar berkenaan. "Beberapa unit bateri dan wayar yang ditemui di dalam rumah kami datangnya dari mainan rosak anak-anak saya. Suami saya mahu membaikinya. "
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kelantan, tidak memberi sebarang komen kepada BeritaBenar.
Tetapi seorang pegawai polis di Kelantan, yang juga enggan dikenali, memberitahu BeritaBenar bahawa penyiasat tidak lagi percaya bahawa kesemua suspek mempunyai kaitan dengan aktiviti IS.
"Kemungkinan besar kesemua enam mereka adalah sebahagian daripada kumpulan pemberontak di sempadan Thailand," kata pegawai itu.
Tidak lama selepas penangkapan itu, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka sedang menyiasat sama ada suspek berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan yang berpangkalan di Timur Tengah.
Penangkapan pada 15 Jan itu telah dibuat oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, dan suspek kini dalam tahanan di Bukit Aman di Kuala Lumpur, kata pegawai polis Kelantan.
Ramai penduduk di negeri itu memegang dua kerakyatan Malaysia-Thailand. Kelantan juga merupakan negeri di mana kebanyakan pemimpin tertinggi BRN dan kumpulan pemberontak Selatan Thailand dipercayai bersembunyi dari tentera Thailand.
BRN adalah kumpulan terbesar serta paling lengkap bersenjata daripada kesemua kumpulan pemberontak di selatan Thailand. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan sejak tahun 2004, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.