Malaysia Tingkatkan Sabitan Kes Penyeludupan Manusia
2017.02.08
Kuala Lumpur

Malaysia pada Rabu mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan 100 sabitan kes melibatkan pemerdagangan dan penyeludupan manusia sepanjang tahun 2016, berbanding hanya tujuh kes pada tahun sebelumnya, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peningkatan dalam sabitan kes itu berikutan operasi bersepadu secara berterusan oleh pihak penguatkuasa, pendakwa, pegawai perlindungan serta anggota Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (MAPO).
“Peningkatan ketara ini mengikut pecahan sabitan menunjukkan 79 sabitan kes pemerdagangan orang, sembilan sabitan kes penyeludupan migran dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan itu.
Tambahnya, kesemua kes sabitan itu melibatkan seramai 33 individu dengan hukuman penjara yang dikenakan diantara tiga tahun sehingga 10 tahun dengan penalti.
“Jumlah kertas siasatan yang dirujuk sepanjang tempoh itu juga bertambah, iaitu daripada 158 kepada 326 kertas siasatan, sekaligus menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata, seramai 18 individu termasuk majikan telah disabitkan dengan kesalahan kerana memegang pasport pekerja mereka secara tidak sah di bawah Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Pada 27 Januari lepas, Ahmad Zahid dan Duta Besar Amerika Syarikat yang baru dilantik Kamala Shirin Lakhdir mengadakan pertemuan di Putrajaya dengan perbicangan berkisar terhadap jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia.
“Antara isu yang telah dibincangkan semasa kunjungan hormat itu adalah inisiatif negara dalam menangani jenayah pemerdagangan orang menjelang penilaian tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai jenayah tersebut yang bakal diumumkan pada pertengahan tahun 2017,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengenai pertemuan tersebut.
Jun lepas, Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia [TIP] 2016, Jabatan Negara itu menaikkan kedudukan Malaysia dari tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian, setahun selepas ia terjebak dalam krisis penghijrahan manusia merentasi Asia Tenggara dan penemuan kubur-kubur hutan di kedua-dua belah sempadan Malaysia dan Thailand pada Mei 2015, yang mengandungi mayat-mayat Rohingya Muslim dari Myanmar dan pendatang Bangladesh yang diperdagangkan.
“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minima untuk membanteras pemerdagangan manusia, bagaimanapun, ia sedang melaksanakan usaha-usaha penting untuk menangani masalah tersebut," kata Pejabat bagi Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia jabatan itu dalam laporan tahunannya mengenai keadaan pemerdagangan manusia di seluruh dunia.
Laporan itu turut menyebut,"Kerajaan telah menyoal siasat beberapa pegawai selepas penemuan sejumlah besar kubur di sempadan Thailand, tetapi tidak mendakwa mana-mana pegawai yang bersubahat dalam jenayah pemerdagangan manusia, dalam tempoh Laporan itu,"
Malaysia komited
Ahmad Zahid dalam kenyataannya juga memberitahu yang kerajaan Malaysia melalui MAPO sentiasa komited dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dengan menyeru semua pihak memainkan peranan yang lebih penting menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasaan.
Krisis penghijrahan dua tahun lepas itu menjadi buruk apabila Thailand melancarkan tindakan keras terhadap sindiket pemerdagangan manusia dan mengenakan sekatan maritim terhadap bot-bot yang membawa orang yang diseludup, hingga memaksa kira-kira 3,000 Rohingya Muslim dan Bangladesh untuk mendarat di negara jirannya, Malaysia dan Indonesia.
Sejak itu Malaysia telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia terutamanya di Kedah dan Perlis, negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.
Pada 28 November lepas, Jabatan Peguam Negara Malaysia telah mencatat sebanyak 91 sabitan kesalahan menerusi Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) (ATIPSOM) bagi sepanjang tahun sehingga 24 November lalu, berbanding hanya tujuh sabitan untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, susulan siasatan berkaitan penemuan kubur besar di Wang Kelian itu, seramai 15 individu telah didakwa di mahkamah dengan tiga daripadanya disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta 670 manakala seorang lagi masih menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis.
Mengenai penguatkuasaan, Ahmad Zahid dalam kenyataan itu juga memberitahu bahawa sebanyak 403 kes telah disiasat dengan tangkapan 679 individu dibuat sepanjang tahun lalu termasuk kes-kes yang melibatkan eksploitasi seks, perkhidmatan paksa dan pemindahan organ.
"Seramai 42 penjawat awam dari agensi penguatkuasaan telah ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,”katanya.
Tambahnya, seramai 1,130 mangsa telah diberikan perlindungan rumah oleh mahkamah dengan majoriti yang dieksploitasikan terdiri daripada kaum wanita.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini