Negeri di Malaysia akan buka 'pusat pemulihan' untuk pesalah hubungan sejenis

Pusat di Johor itu, yang juga dibuka untuk individu terpesong akidah, akan 'memantau' penganut Islam lain yang bukan daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Minderjeet Kaur dan Iman Muttaqin Yusof
2023.11.29
Kuala Lumpur
Negeri di Malaysia akan buka 'pusat pemulihan' untuk pesalah hubungan sejenis Sekumpulan pelajar melaungkan slogan sambil memegang sepanduk dan bendera pada satu perhimpunan 'LGBT+ Pride' selepas mahkamah tertinggi India enggan menghalalkan perkahwinan sejenis, di New Delhi, 18 Okt 2023
[Anushree Fadnavis/Reuters]

Johor, yang terletak di selatan Malaysia, akan membuka 'pusat pemulihan' pertama di negara itu pada tahun depan untuk individu yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis, kata seorang pegawai di negeri itu pada Rabu, dalam perkembangan terkini berkaitan peningkatan sikap tidak bertoleransi di negara majoriti Islam itu.

Pusat itu juga akan 'menangani' isu penyimpangan akidah daripada ajaran Islam, kata pegawai di negeri yang diperintah oleh UMNO, rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah menyatakan bahawa Malaysia tidak akan sekali-kali mengiktiraf hak-hak LGBTQ+.

Fared Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, berkata pusat itu adalah yang pertama seumpamanya bagi komuniti LGBT yang telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah untuk memulihkan kembali golongan itu kepada 'sifat asal' mereka.

“Kerajaan negeri kini dalam proses menyuntik modal untuk mendirikan pejabat serta asrama penghuni lelaki dan perempuan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.

Beliau berkata pusat itu juga akan memantau golongan yang dianggap sesat dan masih aktif di Johor termasuk Syiah serta kumpulan lebih kecil yang lain seperti Hizbut, Tahrir, Si Hulk, Hadi Minallah dan Al Arqam.

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan menjalankan program dan aktiviti bagi memulihkan akidah mereka termasuk sesi kaunseling berkala untuk individu atau kumpulan yang dikenal pasti mengamalkan ajaran Islam," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyentuh mengenai kaedah dan program yang akan digunakan di pusat pemulihan itu.

Kebanyakan penduduk beragama Islam di Malaysia mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malaysia mempunyai sistem dwiperundangan iaitu undang-undang sivil untuk orang ramai secara am dan undang-undang Syariah untuk penganut Islam dalam hal berkaitan keluarga, akhlak serta amalan agama.

Negara Asia Tenggara itu mempunyai undang-undang ketat berhubung homoseksual dan menjenayahkan hubungan sejenis. Pada 2018, dua wanita disebat kerana cuba melakukan seks lesbian manakala pada tahun berikutnya, lima lelaki dipenjara enam bulan dengan enam sebatan kerana cuba melakukan seks gay.

Ini berlaku walaupun tindakan itu mendapat kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia.

Pada September, Anwar berkata tiada gangguan terhadap LGBT akan dibenarkan namun Malaysia tidak akan mengiktiraf hak-hak golongan gay.

MY-pic-2.jpeg

​Sekumpulan rakyat Malaysia beragama Islam memegang sepandyk semasa mengadakan protes hak bagi golongan gay di luar Kuala Lumpur, 4 Nov, 2011. [Samsul Said/Reuters]

Idea berbahaya

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal berkata tiada sesiapa pun yang harus dipaksa untuk menjalani pemulihan sedemikian.

"Ia tidak sepatutnya melibatkan penyeksaan emosi dan fizikal. Mereka adalah manusia dan pegawai penguat kuasa tidak sepatutnya memalukan mereka di khalayak ramai selain menjaga maruah mereka," katanya kepada BenarNews.

Beliau juga bertanya kepada pihak berkuasa "bagaimana perkara itu akan berfungsi" bagi mereka yang tidak mahu berada di pusat tersebut.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph pula berkata ia adalah langkah yang berbahaya kerana akan memaksa orang ramai untuk memasuki kem itu.

"Isu identiti seksual tidak diputuskan oleh seseorang atau satu agama... ia adalah fitrah. Jika seseorang itu ingin mengetahui lebih lanjut dan berdepan kerumitan isu identiti seksual, terdapat banyak kaunselor yang terlatih.. dan boleh membantu. Tetapi itu adalah secara sukarela," katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata pusat itu kelihatan seperti menggunakan kaedah paksa untuk mengubah orientasi seksual seseorang dan adalah bertentangan dengan hak individu untuk membuat keputusan sendiri, kata Ivy Josiah, aktivis veteran mengenai hak asasi manusia sambil menambah pusat itu boleh membawa kepada berlakunya penderaan, keganasan dan juga penyeksaan.

"Amalan paksaan dan pengubahan harus ditukar kepada penerimaan, penglibatan dan tanpa diskriminasi," katanya.

Thilaga Sulathireh, pengasas kumpulan advokasi LGBTQ+ Justice for Sisters berkata pusat itu, yang kononnya dikhaskan untuk individu yang terpesong akidahnya dan golongan LGBT adalah pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan tidak berperlembagaan kerana ia secara asasnya melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan peribadi, privasi dan maruah manakala Perkara 8 menjaga kesaksamaan di sisi undang-undang serta melarang diskriminasi berdasarkan jantina.

"Menangkap orang atas alasan mahu mengubah orientasi seksual, identiti jantina dan ekspresi (SOGIE) mereka adalah satu penyeksaan tanpa keraguan."

​Selain itu, kesemua amalan ini, katanya akan mengakibatkan kesan teruk dalam jangka panjang kepada golongan LGBTQ termasuk tekanan terhadap kesihatan mental, idea serta percubaan membunuh diri dan tercicir dari sekolah.

Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hasan berkata Johor mungkin sedang mengintai untuk membendung ajaran sesat di negeri itu.

"Mereka mungkin menubuhkan pusat itu untuk membendung ajaran sesat kerana jika mereka merancang untuk memulihkan golongan yang melakukan hubungan sejenis, sudah pasti akan ada tindak balas," katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum ini telah menjalankan program untuk golongan gay dan lesbian dengan harapan untuk membawa mereka kembali ke 'pangkal jalan' tetapi menerima kecaman daipada pelbagai kumpulan.

Jabatan itu sebelum ini telah mewujudkan kem bagi 'terapi pemulihan' dan kem rohani untuk komuniti gay untuk mengubah mereka kepada sifat asal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.