Empat Pengebom Bunuh Diri Dari Malaysia

Nani Yusof & Hata Wahari
2015.09.22
150922-MY-ISBOM620 Pihak berkuasa Iraq berdiri di tapak di mana seorang pengebom bunuh diri meletupkan sebuah kenderaan yang dipenuhi bahan letupan dan dirinya di bandar Arbil. 19 November 2014.
AFP

Polis Malaysia mendedahkan sekurang-kurangnya empat rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria dan Iraq menjadi pengebom bunuh diri.

Difahamkan tiga daripadanya sudah meninggal dunia manakala seorang lagi yang dikenali sebagai Abu Ubaidah yang dipercayai berada di Iraq masih menunggu masa untuk melancarkan serangan sebagai pengebom bunuh diri.

Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay semasa dihubungi BeritaBenar pada Selasa berkata, polis tidak dapat mengenalpasti identiti mereka yang terlibat kerana Syria dan Iraq tidak mempunyai pentadbiran yang lengkap untuk mengenalpasti mereka itu.

“Perkara ini [pengebom bunuh diri] memang berlaku dan pihak polis mengetahui antara tiga dan empat orang rakyat Malaysia telah menjadi pengebom bunuh diri…. Tindakan ini dilakukan kerana mereka hendak mati syahid,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai status dalam Facebook seorang pejuang IS dari Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang kini berada di Raqqah, Syria.

Muhammad Wanddy dalam statusnya menulis, “Abu Ubaidah rupanya masih belum syahid, ana [saya] dapat khabar terbaru dari Ikhwah (rakan) beliau di Ramadi, Iraq yang beliau sudah buat dua kali ‘Istisyahid’ tetapi tidak meledak, Insyaallah beliau dalam percubaan untuk yang seterusnya, doakan beliau dapat apa yang dikejar’’.

Pada 11 Sept lepas, BeritaBenar telah menyiarkan temubual dengan Muhammad Wanndy, yang pernah mengejutkan rakyat Malaysia apabila dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria pada Februari lepas.

Pemuda itu berkata, walaupun dibom setiap hari semangat sebagai Khalifah Daulah Islamiyah (IS) tidak pernah luntur demi menegakkan sebuah negara Islam berlandaskan pemerintahan Al-Mahdi.

Muhammad Wanndy berkata, penubuhan sebuah negara Islam merupakan motivasi utama baginya dan isteri, Nor Mahmudah Ahmad, 26 pergi ke Syria serta berjuang memastikan matlamat itu dapat dicapai.

“IS inilah yang merupakan satu kaum yang akan menyiapkan pemerintahan bagi Al Mahdi di akhir zaman, sudah banyak pejuang berpanji hitam di beberapa negara seperti Yaman, Somalia, Afghanistan dan Syria, tetapi IS di Syria dan Iraq merupakan satu-satunya yang mewujudkan pemerintahan berlandaskan Syariah,’’ katanya dalam perbualan melalui mesej Facebook baru-baru ini.

Pejuang 'syahid'

Tinjauan BeritaBenar juga mendapati seorang lagi pejuang IS, rakyat Malaysia yang hanya dikenali sebagai Abu Aydan di laman Facebooknya baru saja meninggal dunia di Syria.

Rakan-rakannya telah memuat naik gambar Abu Aydan di dalam Facebook mereka sambil mengucapkan Innalillahi wainnalillah hirojiun dan Allahuakhbar selepas mendapat tahu beliau sudah ‘syahid’.

Seorang rakannya yang dikenali sebagai Fakro Ruzi di laman Facebook pada tarikh 19 September lalu menulis ”Saya dapat dari seseorang gambar ni... Sebelum Abu Aydan pergi ke medan pertempuran jadi Abu Aydan suruh dia edit tetapi orang yang edit tu tak sempat bagi kat Abu Aydan lalu Abu Aydan terus ke medan”

“Jadi gambar ini tak sempat sampai ke Abu Aydan semula sehingga akhirnya mendapat berita yang Abu Aydan telah syahid (InshaAllah),” katanya sambil merujuk kepada beberapa keping gambar Abu Aydan yang sedang duduk sambil merenung jauh memegang senjata.

Dalam pada itu, Ayub berkata, seramai 121 warga tempatan termasuk 23 wanita daripada pelbagai peringkat umur ditahan di seluruh Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan IS.

Katanya, kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak tahun lepas, kerana dipercayai cuba membawa ideologi militan di negara ini.

Lebih 11 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS itu telah terbunuh di Syria dan Iraq sejak tahun lepas.

“Polis sentiasa memantau dan meningkatkan maklumat risikan dalam usaha membanteras penularan ideologi IS di Malaysia. Kita sedar penularan ideologi ini masih berleluasa dan Bahagian Counter Terrorism akan terus mempergiatkan risikan serta menahan ratusan anggota militan,’’ katanya.

Ayub memberitahu, ideologi itu cuba disebarkan menggunakan internet dan sebab itu polis mengambil langkah mewujudkan unit siber untuk menjawab dan memberi penerangan mengenai ideologi berkenaan selain memberi ceramah serta berdialog dengan golongan sasaran.

Tambah beliau, pihaknya percaya ada kemungkinan penyebar ideologi IS akan kembali bergerak secara sulit di negara ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.