Diplomat Filipina, Malaysia Bertikam Lidah Berkaitan Isu Sabah

Jojo Rinoza & Jeoffrey Maitem
2020.07.30
Manila & Cotabato, Filipina
200730-MY-PH-Duta.jpeg Sekeping foto yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan menunjukkan seorang anggota tentera Malaysia melepaskan tembakan ketika bertempur dengan militan Filipina di kawasan Sungei Nyamuk di Sabah, Malaysia, 12 Mac 2013.
[Foto AFP/Kementerian Pertahanan Malaysia]

Filipina dan jiran terdekatnya Malaysia kini terlibat dalam satu pertikaian diplomatik yang menyaksikan pertikaman lidah dan tindakan memanggil duta kedua-dua negara selepas Setiausaha Luar Manila membangkitkan tuntutan lama bahawa Negeri Sabah adalah sebahagian daripada wilayah Filipina.

Pada Khamis, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr berkata beliau telah memanggil duta Malaysia selepas Menteri Luar di Kuala Lumpur mengkritik diplomat Manila berhubung kenyataan beliau sebelum itu mengenai tuntutan wilayah oleh Filipina terhadap Sabah, satu kawasan di Kepulauan Borneo milik Malaysia yang terletak berhampiran Kepulauan Sulu di selatan Filipina. Isu itu telah sekian lama menjadi duri dalam daging yang boleh menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Tidak ada negara yang boleh memberitahu sebuah negara lain apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dikatakannya tentang apa yang negara itu anggap sebagai miliknya yang sah,” kata Locsin dalam serangan lisan terkini beliau.

Beliau menegaskan bahawa sepertimana Filipina mengemukakan tuntutan ke atas hak miliknya dalam pertikaian dengan China di Laut China Selatan, ia akan melakukan perkara yang sama berhubung tuntutan Filipina di Sabah.

“Kita bebas untuk menyatakan apa yang kita ingin katakan sambil kita melakukan apa yang perlu dilakukan. Itu termasuk yang membabitkan isu Sabah,” kata Locsin, yang sememangnya terkenal kerana lantang bersuara di media sosial, dalam mesej menerusi akaun Twitter.

“Dan kita bercakap tentang China – kuasa ekonomi dan ketenteraan kedua terbesar dalam abad ke-21. Saya akan memanggil duta Malaysia,” tambah beliau.

Kontrovesi itu tercetus pada awal minggu ini selepas Locsin meluahkan ketidakpuasan hati beliau di media sosial mengenai satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter oleh Kedutaan AS yang merujuk kepada Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia. Filipina masih mengekalkan tuntutan berdasarkan sejarah ke atas Sabah, yang digabungkan ke dalam Malaysia pada 1960-an meskipun Kuala Lumpur masih membayar ufti kepada keturunan Kesultanan Sulu.

“Sabah bukan di Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina,” kata Locsin pada Isnin.

Kedutaan Amerika tidak memberikan respons segera ketika dihubungi BeritaBenar untuk mendapatkan komen.

Mesej pertama Locsin telah menyebabkan rakan sejawatnya dari Malaysia, Hishammuddin Hussein, menyerang balas dengan menyatakan bahawa beliau akan memanggil duta Filipina di Kuala Lumpur untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Locsin.

“Ini adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan hubungan dua hala,” kata Hishammuddin pada Rabu melalui Twitter. “[Kementerian Luar] akan memanggil duta Filipina pada Isnin untuk memberi penjelasan. Sabah adalah, dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.”

Pada Khamis, jurucakap presiden Filipina Harry Roque turut terjebak dalam isu itu selepas beliau cuba menenangkan keadaan yang semakin tegang. Beliau menegaskan bahawa Sabah sudah lama diperakui kerajaan negara itu sebagai sebahagian daripada Filipina.

“Kami menyedari bahawa perkara ini tidak seharusnya menjejaskan hubungan dua hala sedia ada dengan Malaysia,” katanya. “Ia tidak terjejas beberapa tahun kebelakangan ini dan kami akan terus  menjalin hubungan dua hala yang sihat dengan Malaysia meskipun berdepan isu sensitif iaitu Sabah.”

Keganasan pada 2013


Sabah sentiasa menjadi punca pertelagahan antara kedua-dua negara berjiran itu.

Tujuh tahun lalu, kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina yang menggelarkan diri mereka sebagai anggota “Tentera Diraja Sulu” dan mendakwa adalah pengikut Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai pewaris yang berhak untuk menjadi Sultan Sulu, telah berhimpun dan belayar ke Sabah dalam usaha untuk merampas kembali wilayah itu, namun gagal.

Mereka telah berkubu di sebuah kampung di Lahad Datu dan telah terlibat dalam pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa Malaysia selama beberapa minggu yang menyebabkan lebih 50 militan dan kira-kira 10 anggota polis Malaysia terbunuh.

Kumpulan bersenjata itu telah menuntut Malaysia mengiktiraf mereka sebagai wakil Kesultanan Sulu yang pernah memerintah Sabah.

Diasaskan pada 1405, Kesultanan Sulu memerintah pulau-pulau di Kepulauan Sulu yang merupakan sebahagian daripada Mindanao di selatan Filipina dan sebahagian lagi terletak di Kepulauan Borneo termasuk Sabah, sehingga awal 1800-an. Sabah telah digabungkan ke dalam Malaysia pada 1963 namun negara itu masih membayar ufti kepada Kesultanan Sulu setiap tahun.

Ramai rakyat Filipina berhijrah ke Sabah sepanjang 1970-an untuk melarikan diri daripadda konflik bersenjata antara tentera kerajaan dan gerila di selatan Filipina.

Lebih 800,000 orang berketurunan Filipina masih tinggal di Sabah, yang jumlah penduduknya melebihi 3.5 juta.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.