Bulan Pertama Kerajaan Baru Tampil Positif, Kata Penganalisis Malaysia

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.08
Kuala Lumpur, Malaysia
180608-My-transparency-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap pada sidang berita di Petaling Jaya, di mana beliau mengumumkan bahawa projek keretapi berkelajuan tinggi yang dirancang antara Kuala Lumpur dan Singapura akan dibatalkan berikutan langkah penjimatan kos, 28 Mei 2018.
[AP]

Berdepan dengan sejumlah besar hutang yang diwarisi daripada kerajaan sebelumnya, bulan pertama pemerintahan kerajaan baru Malaysia dilihat memberi tumpuan kepada menunaikan janji-janjinya untuk mengurangkan kos dan beban rakyat, kata penganalisis.

Dengan dipimpin oleh perdana menteri tertua di dunia, Mahathir Mohamad, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghadapi tugas berat untuk mengotakan janji-janji pilihan raya yang dibuatnya termasuklah tentang menyiasat dakwaan rasuah yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, kata pemerhati.

"Mereka telah menunaikan janji-janji mereka walaupun berdepan dengan kekangan kewangan," kata Hisommudin Bakar, pengarah eksekutif Pusat Ilham, iaitu badan pemikir bebas, kepada BeritaBenar. "Secara keseluruhannya, mereka telah menunaikannya dan saya berharap, mereka akan terus melakukannya.”

Pandangan itu turut dikongsi oleh Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis politik di Universiti Malaya, yang menyatakan bahawa pentadbiran baru itu berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Lim Guan Eng, menteri kewangan baru, baru-baru ini mendedahkan bahawa hutang dan liabiliti Malaysia telah melebihi RM1 trilion (AS$251 bilion).

Semasa kempen mereka yang akhirnya membawa kepada kejutan besar pada pilihan raya umum bulan lalu di mana gabungan Barisan Nasional (BN) digulingkan buat pertama kali dalam sejarah 61 tahun Malaysia, calon-calon PH berjanji untuk menyampaikan 10 matlamat yang dijanjikan dalam masa 100 hari mereka berkuasa.

Janji-janji berkenaan termasuklah mengurangkan harga petrol; memansuhkan pinjaman pelajar dan 6 peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST); mengurangkan status tidak bekerja’’ suri rumah dengan menempatkan mereka di bawah skim caruman seperti dewasa bekerja yang lain; menetapkan gaji minimum di seluruh negara; dan menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Selain itu, PH berjanji untuk menyiasat skandal kewangan termasuk dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menyebabkan Malaysia kehilangan berbilion dolar dan mengkaji semula projek infrastruktur mega yang disokong oleh China bagi menentukan sama ada wang dibelanjakan dengan betul.

Demokrasi, ketelusan sebagai objektif utama


Pada akhir bulan pertama kerajaan baru itu, ia masih belum melunaskan separuh daripada janji berkenaan tetapi para pengundi dapat menilai prestasi kerajaan bukan hanya daripada manifestonya tetapi juga bagaimana negara ditadbir, kata Hisomuddin.

Sejak mula berkhidmat, kerajaan Mahathir- yang akan berusia 93 tahun bulan depan - telah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia akan menikmati tempoh tanpa cukai selama tiga bulan sebelum ia memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih sederhana berkuat kuasa pada 1 Sept.

Dan, daripada memansuhkan program pinjaman pelajar, kerajaan baru itu sebaliknya memutuskan untuk menarik balik larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap ribuan peminjam pendidikan, sambil mengkaji mekanisme terbaik untuk memastikan pelajar dapat membayar balik pinjaman tanpa menghadapi masalah kewangan.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, wanita pertama yang memegang jawatan itu di Malaysia, mengumumkan bahawa skim caruman simpanan untuk wanita yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tidak bekerja, masih dalam kajian. Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan harga bagi petrol gred rendah.

Usaha-usaha ini kurang mendapat perhatian berbanding janji pentadbiran baru itu untuk segera menyiasat bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung dakwaan rasuah yang mempunyai kaitan dengan skandal kewangan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International. Kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan projek keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura atas alasan pelaburannya adalah lebih besar daripada pulangannya.

Mahathir, yang sebelum ini berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, berjaya meyakinkan para pengundi Melayu di luar bandar supaya menolak BN kali ini, satu gerakan yang tidak pernah berjaya dilakukan pembangkang di Malaysia. Sebelum mengetuai pembangkang untuk mencatatkan kemenangan menakjubkan pada pilihan raya umum 9 Mei, Mahathir merupakan tonggak utama Barisan Nasional, dengan dikenali sebagai pemimpin autokrat sepanjang 22 tahun menyandang jawatan perdana menteri.

"Semestinya, dengan idea progresif yang dikemukakan oleh ramai menteri yang baru [dilantik] dan ramai Ahli Parlimen dari PH, demokrasi dan ketelusan akan menjadi objektif utamanya. Kita boleh berharap untuk masa depan yang lebih baik dari segi integriti dan akauntabiliti, "kata Hisomuddin.

Sejak BN kecundang dalam pilihan raya itu, Najib dan isteri, Rosmah Mansor, telah dihalang daripada meninggalkan negara. Mereka juga disoal siasat secara berasingan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai bagaimana wang sebanyak RM42 juta (AS$10.5 juta) dari SRC International berakhir dalam akaun bank peribadi Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.

Mereka tampil memberi keterangan selepas pihak berkuasa melakukan penggeledahan di rumah mereka, pejabat  yang pernah digunakan Najib serta kediaman lain di mana polis memberitahu bahawa ia telah merampas beg-beg pakaian yang mengandungi hampir $29 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan mahal selain 284 kotak yang mengandungi beg tangan mewah. Para pegawai kehakiman AS menarik perhatian bahawa lebih $4.5 bilion (RM17.9 bilion) dicuri dari 1MDB sejak ia ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sehingga lembaga penasihatnya dibubarkan pada 2016 .

Najib terus menafikan beliau melakukan sebarang perbuatan salah laku.

"Siasatan dan soal siasat itu dilakukan mengikut undang-undang. Rampasan beg tangan, wang tunai, dan barang kemas adalah sebahagian daripada proses itu," kata penganalisis Awang Azman kepada BeritaBenar. "Tetapi, itu tidak bermakna bahawa Najib dan Rosmah bersalah.

"Namun, cara  media sosial menangani mereka telah memberi tanggapan bahawa mereka mencuri wang kita, dan itu tidak betul."

Kerajaan 'sidang berita'

Sementara itu, exco pergerakan Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama BN, tidak bersetuju dengan usaha kerajaan baru dalam memperbaiki ekonomi negara.

Armand Azha Abu Hanifah berkata, kerajaan baru itu gagal selepas hampir sebulan memerintah kerana janji-janji besar mengenai pinjaman pelajar dan harga petrol masih belum dipenuhi.

"Pemerintahan hari ini adalah sekadar kerajaan 'sidang berita' - mengumumkan segala-galanya tetapi tidak menunaikan janji-janji besar itu," kata Armad kepada BeritaBenar.

Sambil membidas kerajaan baru itu, Armand berkata pentadbiran Najib dapat menunaikan janji-janjinya walaupun dilanda kontroversi dan skandal yang tidak berkesudahan.

"Kini, selepas menyedari hutang negara tinggi, mereka memutuskan untuk mengurangkan projek-projek mega dan menjadikan beratus-ratus rakyat miskin Malaysia sebagai penganggur," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.