Wang Tunai RM13.5 Juta, Empat Ditahan Di Sabah
2017.11.28
Kuala Lumpur

Jabatan Imigresen Malaysia telah menahan empat dalang utama dalam kes penemuan wang tunai bernilai RM13.5 juta dalam serbuan di sebuah hotel kerana disyaki terlibat dalam sindiket pelacuran membabitkan warga asing di Sabah.
Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata dalam serbuan terkini pada Selasa, seorang wanita berusia 46 tahun ditahan di kediamannya di Jalan Api-Api , di ibunegeri Sabah, Kota Kinabalu.
Minggu lepas, Jabatan Imigresen Sabah telah menyelamatkan seramai 17 gadis dan wanita warga Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an, selepas membuat pemeriksaan di enam buah bilik hotel dan sebuah apartmen yang berhampiran melalui ‘Ops Gegar’ yang dibuat oleh jabatan berkenaan.
Dalam operasi itu Jabatan Imigeren menahan tiga individu serta menemui wang tunai sejumlah RM11.88 juta di bilik hotel manakala selebihnya iaitu kira-kira RM1.17 juta di apartmen yang diperiksa.
Kesemua wanita warga Filipina yang diselamatkan itu dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur.
“Wanita yang ditahan di kediamannya hari itu, adalah isteri seorang suspek yang ditahan sebelum ini dan setakat ini seramai 21 orang telah ditahan untuk membantu siasatan,” kata Mustafar seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen yang berada di Sabah itu berkata, jabatan berkenaan mengesyaki wang tunai yang dirampas dalam dua serbuan minggu lepas telah lama dikumpul oleh sindekit berkenaan berdasarkan catatan ‘2008’ tertulis pada balutan kertas pada wang terbabit dan sesetengahnya sudah berlumut.
"Kita masih menyiasat sumber wang berkenaan diperoleh dan tidak menolak kemungkinan ia turut disalur ke luar negara berdasarkan tangkapan membabitkan warga asing, dan sedang berkerjasama dengan pelbagai agensi dalam siasatan" kata Mustafar pada sidang media di pejabat Imigresen Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati hotel yang diserbu pada Jumaat lepas telah beroperasi sejak 1999 dan tidak menolak kemungkinan sekurang-kurangnya sepuluh kesalahan dikesan dalam kes itu termasuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).