PM tidak mungkin adakan PRU selepas pakatan dengan pembangkang berakhir - Penganalisis

Muzliza Mustafa, Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Noah Lee
2022.07.28
Kuala Lumpur
PM tidak mungkin adakan PRU selepas pakatan dengan pembangkang berakhir - Penganalisis Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-ASEAN di Jabatan Negara AS di Washington,13 Mei 2022.
[Brendan Smialowski/AFP]

KEMASKINI pada 9 malam waktu tempatan ETS - 2022-07-28

Pemimpin Malaysia tidak akan mengumumkan pilihan raya dalam masa terdekat meskipun pakatan yang dicapai dengan pembangkang untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai berakhir tidak lama lagi, yang membolehkan beliau mengadakan pilihan raya mengejut, kata penganalisis.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secara umum telah menyatakan bahawa situasi semasa yang menyaksikan negara berdepan inflasi bukanlah waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum namun penganalisis berkata beliau ingin melengahkan masa untuk mengukuhkan kedudukan sebelum memutuskan untuk berbuat demikian.

Sama ada beliau berjaya bergantung kepada keupayaannya untuk berdepan desakan daripada puak berpengaruh dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang menuntut agar pilihan raya mengejut diadakan, kata penganalisis. Tempoh pemerintahan kerajaan semasa berakhir pada Jun tahun depan dan pilihan raya perlu diadakan menjelang September 2023.

Pilihan raya awal tidak akan memanfaatkan Ismail Sabri sebaliknya hanya sekumpulan kecil individu dalam UMNO yang berdepan pertuduhan melakukan rasuah secara besar-besaran, kata pakar politik Malaysia Tunku Mohar Mokhtar.

“[Ismail Sabri] hanya mempunyai masa kira-kira 11 bulan sebelum tempoh Parlimen berakhir. Pilihan di tangannya tetapi beliau akan cuba mendapatkan masa terbaik untuk terus kekal sebagai perdana menteri,” kata Tunku Mohar.

“Kluster mahkamah pula sudah semestinya inginkan pilihan raya diadakan segera mungkin untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kes mereka dan mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti. Zahid inginkan kawalan berkaitan penamaan calon daripada UMNO/BN,” katanya kepada BenarNews.

Beliau merujuk puak dalam UMNO yang melibatkan Presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang juga pemimpin kanan UMNO.

Zahid, yang dilantik sebagai Presiden parti itu pada 2018, berdepan 47 pertuduhan rasuah.

Najib pula telah disabitkan dengan kesalahan rasuah dan dihukum penjara 12 tahun dalam kes membabitkan kecurian berbilion dolar AS daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara. Rayuan terakhir beliau terhadap sabitan dalam kes itu dijadualkan didengar bulan depan.

Secara perbandingan, Ismail Sabri tidak berdepan sebarang kes di mahkamah namun beliau bukan presiden parti, oleh itu tidak mampu membuat sebarang keputusan dalam isu dalaman UMNO.

Bagaimanapun, beliau mungkin terus menjadi Perdana Menteri jika UMNO memenangi pilihan raya berikutnya, justeru beliau ingin mengukuhkan kedudukan di mata rakyat Malaysian dan dalam kalangan ahli partinya, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir.

“Ya, kerajaan telah memberikan begiti banyak bantuan kepada rakyat untuk meringankan beban mereka selepas inflasi melanda tetapi ia tidak mencukupi. Tugas [Ismail Sabri] ketika ini ialah mewujudkan lebih banyak inisiatif yang akan memanfaatkan rakyat,” kata Jeniri kepada BenarNews.

“Beliau perlu dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang prihatin terhadap rakyatnya semasa pembentangan belanjawan seterusnya. Jadi saya meramalkan bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada suku pertama tahun 2023 selepas kita menyaksikan keberhadilan pembentangan Bajet 2023 pada penghujung tahun ini,” kata Jeniri.

Pepatah cina

Mengikut pakatan dengan blok pembangkang Pakatan Harapan, kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjanji bahawa ia tidak akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum sehingga 31 Julai sebagai balasan bagi sokongan mereka dalam meluluskan beberapa rang undang-undang penting seperti belanjawan.

Ia dimeterai bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan, ketika itu yang ketiga dalam tempoh 18 bulan selepas negara dilanda kemelut politik. Ia merangkumi enam bidang termasuk pelan pemulihan COVID-19, transformasi pentadbiran, reformasi Parlimen dan kebebasan badan kehakiman.

PM kini berdepan kesukaran menjustifikasikan mengapa sekarang adalah waktu yang tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya, demikian menurut Awang Azman Awang Pawi, seorang profesor madya di Universiti Malaya.

“Tekanan terhadap perdana menteri kini semakin kuat memandangkan pembangkang masih berada dalam keadaan kucar-kacir dan lemah," katanya kepada BenarNews.

“Ini adalah waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya jika UMNO/BN ingin menang,” katanya merujuk kepada Barisan Nasional, gabungan politik yang diterajui UMNO.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun turut berkongsi pandangan serupa. Meskipun UMNO telah mengumumkan bahawa Ismail Sabri akan menjadi calon PM mereka dalam pilihan raya akan datang, beliau boleh melihat bahawa keputusan itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa seperti yang berlaku kepada calon Menteri Besar Johor dalam pilihan raya negeri itu pada awal tahun ini.

“Saya tidak pasti sama ada [Ismail Sabri] memikirkan partinya kerana beliau dengan jelas tidak menghiraukan gesaan parti itu untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin namun beliau semestinya memikirkan tentang kelangsungan politiknya,” kata Oh kepada BenarNews.

“Ia akan bergantung bagaimana Ismail Sabri menangani partinya. Bak kata pepatah Cina, ‘One extra day is one extra day, [one] must be grateful’,” katanya.

220728-MY-Hopping-Inside1.jpg

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar (berdiri) menutup perbahasan mengenai rang undang-undang antilompat parti di Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, 28 Julai 2022. (Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia)

Rang undang-undang antilompat parti diluluskan

Bagi pihaknya, PM dilihat bersikap agak berselindung.

Pada Rabu, Ismail Sabri memberitahu pemberita bahawa perjanjian kerjasama dengan pembangkang tidak akan dilanjutkan selepas Ahad kerana partinya sudah membuat keputusan namun berkata kerajaan dan pembangkang akan terus menjalin kerjasama dalam melakukan pembaharuan.

“Kita [kerajaan dan pembangkang] sama-sama bersetuju bahawa tidak perlu perjanjian baharu secara bertulis tetapi persefahaman untuk kepentingan rakyat bagi menjamin kestabilan politik boleh diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan,” kata Ismail Sabri kepada pemberita.

Ketika ditanya sama ada ini bermakna beliau bercadang untuk membubarkan Parlimen apabila pakatan dengan pembangkang berakhir, PM berkata: “Apabila saya anggap ia sampai waktu untuk bubar, saya bubarkan Parlimen... sama ada tahun ini atau tahun depan.”

Sementara itu. Parlimen Malaysia pada Khamis meluluskan satu rang undang-undang bersejarah bagi mengekang mana-mana pihak daripada berpaling tadah yang merupakan punca utama ketidakstabilan politik di negara itu dan pada akhir-akhir ini, membawa kepada perubahan yang kerap dalam tampuk pemerintahan kerajaan.

Di bawah undang-undang antilompat parti ini, Ahli Parlimen yang berubah haluan selepas dipilih akan kehilangan kerusi mereka kecuali jika parti masing-masing memecat mereka terlebih dahulu.

Pembentangan rang undang-undang itu adalah antara syarat utama pembangkang untuk menandatangani pakatan kerjasama dengan kerajaan pada September tahun lepas.

Pelulusan rang undang-undang iru membllehkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan klausa bagi mencegah pembelotan politik. Rang undang-undang itu menyaksikan 209 (daripada 220) Ahli Parlimen mengundi menyokong manakala 11 lagi tidak hadir, yang melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk melakukan pindaan perlembagaan.

Undang-undang antilompat parti dijangka berkuat kuasa pada atau sebelum 2 Sept ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.