PM: Malaysia Lanjutkan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dua Minggu Lagi

Hadi Azmi
2020.03.25
Kuala Lumpur, Malaysia
200325-MY-LanjutPKP620.jpg Anggota polis menasihati peniaga di Pasar Besar Air Itam, di Pulau Pinang supaya menjarakkan diri mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19, 22 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa "keadaan mungkin menjadi lebih sukar" memandangkan kadar jangkitan terus meningkat melebihi 100 kes baru setiap hari.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari ke-8 PKP dikuatkuasakan tampil sekali lagi melalui siaran secara langsung di semua stesen televisyen dan media sosial berkata keputusan lanjutan PKP itu dibuat setelah mendapat konsultasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi semasa penularan virus COVID-19.

“Trend semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku dan trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama. Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020,

“Saya tahu anda rasa terbeban tetapi saya tidak punya pilihan. Saya perlu melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk keselamatan anda,” kata Perdana Menteri itu.

Putrajaya telah melaksanakan PKP selama dua minggu bermula pada 18 Mac lepas dan berakhir pada 31 Mac, dengan beberapa pakar termasuk kesihatan berpendapat yang ianya perlu dilanjutkan walaupun berdepan dengan impak ekonomi dalam usaha untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19,

Malaysia telah merekodkan jumlah kes jangkitan COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara dengan sebanyak 1,796 kes dan 19 kematian dilaporkan sehingga Rabu, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatannya, Noor Hisham Abdullah.

KKM juga memaklumkan sebanyak 172 kes baharu dengan empat kematian dicatatkan pada Rabu, dua hari selepas negara melihat kes jangkitan melonjak kepada 212 kes baharu pada Isnin.

“Kes positif COVID-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu dan saya sudah terima laporan dari Majlis Keselamatan Negara bahawa akan ada peningkatan dalam kes COVID19 jika kita tidak melakukan sesuatu. Jumlah kes akan meningkat dengan drastik seperti yang berlaku di sesetengah negara,” kata Muhyiddin lagi.

Perdana Menteri berkata, oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit COVID 19.  

“Pada masa ini 34% daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66% lagi yang masih boleh menampung pesakit.  Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID 19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” tambahnya.

Dalam pada itu, bank pelaburan antarabangsa J.P. Morgan bahagian Asia Pacific Equity Research melalui laporan yang dikeluarkan pada Isnin turut meramalkan bahawa kadar jangkitan di Malaysia mungkin mencapai kemuncaknya pada pertengahan April dengan 6,300 jangkitan.

“Kami menjangkakan bahawa fasa peningkatan akan bertahan selama satu sehingga dua minggu sebelum ke fasa seterusnya di mana kadar jangkitan keseluruhan menjadi perlahan kepada 100 hingga 250 sehari. Kami juga menjangkakan kemuncak jangkitan adalah pada pertengahan April dengan 6,300 (jangkitan),” menurut laporan tresebut.

Sementara itu, kerajaan negeri Sabah menutup semua ladang kelapa sawit di tiga daerah berikutan pekerjanya dijangkiti COVID-19 bermula Selasa hingga 31 Mac ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri itu memaklumkan tiga daerah terlibat ialah di Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan dan penutupan ladang kelapa sawit itu merupakan satu langkah untuk menyekat pergerakan pekerja kerana ada di antara mereka disahkan positif COVID-19.

Kepayahan ekonomi


James Chin, Pengarah Pengajaran Tadbir Urus di Universiti Sunway berkata perlanjutan PKP adalah perlu kerana kerajaan tidak mempunyai pilihan dalam usaha membendung penularan coronavirus.

“Masalah paling besar ialah ekonomi dengan ramai yang hanya boleh bertahan sehingga akhir Mac,” kata Chin kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau berkata ramai yang hidup hanya bergantung kepada gaji tanpa sebarang simpanan.

“..jadi bila syarikat terpaksa meminta pekerja untuk mengambil cuti tanpa gaji, mereka ini akan hilang punca pendapatan, dan isunya sekarang siapa yang akan membayar mereka dalam beberapa bulan ini iaitu sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini,” kata Chin.

Dalam kajian berkenaan kesan ekonomi ekoran COVID-19, Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) turut memberi amaran bahawa seramai 24 juta individu terlibat akibat lanjutan tempoh PKP yang mana 67 peratus daripada jumlah itu adalah terdiri dikalangan pekerja tidak mahir.

Ia turut menambah bahawa pendapatan isi rumah akan menurun dan akan mendatangkan kesan kepada perbelanjaan isi rumah.

Personaliti TV terkenal Suhaimi Sulaiman dalam catatan di laman Facebook beliau berkata beliau terpaksa mengeluarkan RM30,000 (AS$6,839) dari simpanan peribadi untuk membayar gaji pekerja dalam tempoh PKP kerana tiada pendapatan dari perniagaan yang diusahakannya.

“Saya dalam sektor pelancongan. Hostel backpackers saya tiada tetamu. Butik saya ditutup. Kafe saya hanya terima tempahan antara 10 ke 15 tempahan sehari dan kami berkongsi pendapatan dengan operator penghantaran makanan.

“Lebih banyak pengeluaran akan dilakukan untuk membayar sewa, utility, kapital pekerjaan. Ratusan dan ribuan pengusahaan kecil dan sederhana dalam situasi yang sama seperti saya,” kata Suhaimi, bekas Pengarang Kanan Kumpulan Astro Awani.

Penjual aiskrim bermotorsikal P. Arunathan juga merasakan beban semenjak PKP dilaksanakan kerana perniagaan yang beliau jalankan tidak dibenarkan kerana melibatkan banyak pergerakan.

Menurut bapa kepada tiga anak yang berusia 43 tahun itu, beliau sebelum ini mampu menjana RM200 (AS$45.49) sehari dengan hanya meletakkan motorsikal beliau dan menjual aiskrim di hadapan sekolah di kawasan kelas pertengahan di Petaling Jaya.

“Kadang ada yang membayar saya RM200 hingga RM300 untuk meletakkan motorsikal dan memberikan aiskrim kepada tetamu pada sesuatu majlis atau perjumpaan tetapi aktiviti seperti itu tidak lagi dibenarkan sekarang,” kata Arunathan kepada BeritaBenar.

Arunathan turut berkata beliau mungkin terpaksa menghantar isteri dan anak beliau duduk bersama saudara sementara beliau keluar mencari pekerjaan lain yang boleh lakukan dalam tempoh PKP.

“Keluarga saya di Kampar [Perak]. Kami tidak boleh meninggalkan negeri dan terpaksa sembunyi-sembunyi untuk keluar bagi mengelak sekatan jalan raya,” kata beliau.

Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan yang kerajaan membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Simpan Wang Pekerja [KWSP] dari akaun kedua penyimpan sebanyak RM500 (AS$112.85) setiap bulan bermula April depan selama setahun.

Katanya, inisiatif itu merupakan langkah yang telah diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung.

Pakar Ekonomi Malaysia Jomo Kwame Sundaram yang dipetik dalam satu laporan pada 2017 yang dilaporkan oleh akhbar tempatan berkata hanya 48 peratus dari pekerja di Malaysia yang berjumlah 14.5 juta mempunyai akaun KWSP yang aktif.

Kerajaan dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tambahan pada Jumaat ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.