Malaysia Lanjut Perintah Berkurung Total Dua Minggu Lagi Sehingga 28 Jun
2021.06.11
Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia pada Jumaat mengumumkan keputusannya untuk melanjutkan tempoh perintah berkurung di seluruh negara selama dua minggu lagi bermula 15 Jun ini, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob, kerana negara itu masih merekodkan bilangan kes COVID-19 melebihi 5,000 setiap hari.
Mengikut rancangan asal pihak berkuasa, Perintah Kawalan Pergerakan siri ketiga itu yang juga dikenali sebagai PKP 3.0 dijadualkan berjalan hanya selama dua minggu iaitu dari 1 Jun sehingga 14 Jun, 2021, seperti yang diumumkan hujung Mei lepas.
"Kementerian Kesihatan Malaysia telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.
"Sehubungan dengan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021," kata Ismail dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada petang Jumaat.
Perintah berkurung secara total itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 28 Mei lepas, bagi mengekang penularan pandemik koronavirus yang ketika itu berada di paras lebih 8,000 kes baharu sehari.
Pelaksanaan PKP 3.0 menyaksikan sektor ekonomi dan sosial ditutup hampir sepenuhnya, dengan beberapa pengecualian diberikan kepada industri dan perniagaan yang disenaraikan oleh kerajaan sebagai servis yang diperlukan, termasuk arahan kerajaan supaya 80 peratus penjawat awam bekerja dari rumah, kecuali mereka yang bekerja di barisan hadapan dalam operasi melawan pandemik COVID-19.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871," tambah Ismail dalam kenyataan media beliau.
Menteri Pertahanan itu turut menegaskan bahawa semua peraturan dan senarai industri yang dibenar beroperasi adalah sama untuk tempoh lanjutan dua minggu tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard [SOP].
"Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguatkuasa," tegas Ismail.
Setakat jam 12 tengahari Jumaat, pihak berkuasa kesihatan merekodkan 6,849 kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan bilangan kes kumulatif dalam negara meningkat kepada 646,411.
Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah, bilangan kematian berkaitan dengan koronavirus terus meningkat dengan 84 kes direkodkan pada Jumaat, menjadikan jumlah mereka yang maut akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini adalah seramai 3,768.
Sistem kesihatan negara juga melihat peningkatan dari segi bilangan pesakit aktif COVID-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi hospital, iaitu seramai 912 individu termasuk 458 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator).
Kesesakan
Selain itu, pihak berkuasa menangani bencana COVID-19 turut menghadapi kesesakan di pusat-pusat kuarantin sementara di seluruh negara, yang diguna bagi menempatkan pesakit positif koronavirus yang stabil dan kurang serius.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara [NADMA] Aminuddin Hassim dilaporkan memberitahu media pada Jumaat bahawa kapasiti penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara kini berada di tahap 60 peratus.
Menurut beliau, agensi berkenaan sedang memantau situasi pandemik dan bersedia untuk mengambil alih lebih banyak premis awam untuk dijadikan pusat rawatan sekiranya PKRC sedia ada di seluruh negara mencecah 80 peratus kapasiti penggunaannya.
"Kalau kapasiti mencecah 80 peratus sahaja, kita kena cari pilihan lain yang tertentu. Kita ada 360 institut latihan awam di seluruh Malaysia. Itu adalah potensi untuk digunakan," kata Aminuddin kepada pemberita ketika melawat PKRC Arena Badminton di Ipoh, Perak pada
Jumaat.
Tambah beliau, NADMA memilih untuk menggunakan premis awam bagi mengurangkan beban untuk menanggung kos pengurusan PKRC dan pusat-pusat kuarantin yang menelan belanja tinggi.