Pakatan Pembangkang Janji 1 Juta Pekerjaan Selain Mansuhkan Cukai Jualan

Staf BeritaBenar
2018.03.08
Shah Alam, Selangor
180308-MY-politics-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad (kiri) dan Wan Azizah, isteri bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, melaungkan slogan ketika pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, melancarkan manifestonya menjelang pilihan raya umum akan datang, 8 Mac, 2018.
[AP]

Gabungan parti pembangkang Malaysia pada Khamis berjanji untuk menyediakan 1 juta pekerjaan baru dan rumah mampu milik jika ia memenangi pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tahun ini.

Dalam manifesto setebal 200 muka surat "Buku Harapan: Membina Negara, Memenuhi Harapan", Pakatan Harapan juga mengumumkan bahawa, jika  diberi mandat pada pilihan raya itu, ia akan menghapuskan cukai jualan, yang dilaksanakan dua tahun lalu, dan dibenci ramai serta mengehadkan tempoh penyandangan jawatan perdana menteri untuk tempoh lima tahun selama dua penggal sahaja.

Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada kadar 6 peratus oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 2015 tidak popular kerana ia dianggap sebagai memberi kesan inflasi terhadap harga.

Manifesto itu juga memberi tumpuan kepada mengurangkan kos sara hidup yang tinggi, memulakan pembaharuan politik, memacu pertumbuhan ekonomi, mengembalikan status yang diberikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 kepada Sabah dan Sarawak serta mewujudkan negara inklusif dan sederhana yang dihormati dunia.

Sarawak dan Sabah, negeri lain di pulau Borneo, serta Singapura memperoleh kemerdekaan daripada Britain dan menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 1963 mengikut syarat-syarat tertentu.

Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965 tetapi Sabah dan Sarawak kekal, namun ada kalanya merungut bahawa kuasa mereka semakin terhakis.

"Manifesto sebuah parti politik adalah untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai apa yang akan dilakukan oleh parti itu pada masa akan datang," kata Pengerusi Pakatan Mahathir Mohamad, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

"Buku ini mengandungi banyak janji yang akan kami laksanakan apabila kami berjaya ke Putrajaya," kata Mahathir, merujuk kepada kerusi kerajaan pemerintah Malaysia.

Sekiranya dipilih, Pakatan Harapan berkata, ia akan segera menyelesaikan beberapa isu termasuk menghapuskan GST, menyelaraskan gaji minimum dan menyiasat skandal. Ia juga berjanji untuk menjamin pendidikan percuma di universiti-universiti awam.

Najib, yang menerajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya sebelum Ogos, mahu meneruskan penggal ketiganya sebagai perdana menteri sejak menyandang jawatan itu padaa sejak 2009.

Mahathir berkata, beliau akan berkhidmat sehingga bekas timbalannya, Anwar Ibrahim, boleh mengambil alih jawatan perdana menteri itu.

Anwar, yang dipenjarakan atas sabitan liwat, akan dibebaskan dari penjara pada Jun ini dan memerlukan pengampunan diraja untuk berkhidmat. Tanpa pengampunan, beliau tidak dibenarkan menyandang jawatan awam selama lima tahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.