Perkahwinan Pengantin Perempuan 11 Tahun Di Thailand Langgar Undang-Undang, Kata Pegawai

Hadi Azmi & Mariyam Ahmad
2018.07.02
Kuala Lumpur, Malaysia, & Pattani, Thailand
180207-my-th-child-marriage1000.jpg Lelaki yang mengamalkan poligami Mohammad Ikramullah Ashaari bersama-sama dengan tiga daripada empat isterinya serta beberapa anak mereka di luar satu daripada rumahnya di Sepang, selatan Kuala Lumpur, 2 Sept 2009.
[AP]

Seorang pegawai Islam di selatan Thailand tidak sepatutnya menikahkan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan seorang budak perempuan Thailand berusia 11 tahun, kata para pegawai tempatan pada Isnin di tengah-tengah kemarahan orang ramai di negara jiran, Malaysia, berhubung perkahwinan itu.

Para pegawai di kedua-dua negara berkata, kes itu sedang disiasat. Berita pernikahan pada 18 Jun itu, yang dilangsungkan di Sungai Kolok, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, timbul pada hujung minggu lalu hingga membangkitkan kemarahan orang ramai di Malaysia. Kumpulan advokasi wanita mendesak kerajaan baru Malaysia supaya mengharamkan semua perkahwinan kanak-kanak berikutan kebimbangan bahawa mereka melanggar hak asasi manusia.

"Adalah salah bagi Imam Sungai Kolok untuk menikahkan pasangan itu. Dia melanggar piagam Jawatankuasa Islam, dan pada masa sama jelas melanggar undang-undang Thailand," kata Safiri Jeha, presiden Jawatankuasa Islam wilayah Narathiwat yang disokong oleh kerajaan Thailand, kepada BeritaBenar.

"Mengikut prinsip Islam, seseorang perempuan hanya boleh berkahwin ketika dia sudah dewasa, dengan berusia kira-kira 15 tahun atau lebih tua."

Jawatankuasa itu merancang untuk bermesyuarat pada Selasa dan menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat perkahwinan itu. Sungkai Kolok terletak di sepanjang sempadan dengan negeri Kelantan di negara, Malaysia.

Sementara itu, pengarah unit hal ehwal luar Pusat Pentadbiran Sempadan Selatan Thailand, sebuah agensi kerajaan yang mentadbir wilayah-wilayah di selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang berbahasa Melayu, berkata, para penyiasat mendapati bahawa ibu bapa gadis itu berasal dari Narathiwat.

"Mengikut undang-undang sivil dan perdagangan, amalan itu sememangnya menyalahi undang-undang," kata Teeruth Supawiboonpol kepada BeritaBenar.

"Mereka tidak mendaftar di pejabat daerah tetapi di masjid, supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada undang-undang. Kami akan menyiasat dengan lebih lanjut dan lihat apa yang boleh kami lakukan." tambahnya lagi.

Di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata, insiden  itu menyebabkan peningkatan gesaan supaya tindakan diambil untuk meningkatkan usia sah perkahwinan kepada 18 tahun – antara janji yang kempen pilihan raya yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH). Pakatan empat parti itu mengambil alih kuasa pada Mei selepas mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

"Ia adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak," katanya sambil memberitahu bahawa langkah itu diperlukan untuk melindungi kanak-kanak dan mengelak isu pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Bercakap pada majlis sambutan Hari Raya kementeriannya di Putrajaya pada Isnin, Wan Azizah yang juga memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan terhadap perkahwinan itu. Beliau berkata, para pegawai sedang menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur antun seksual memandangkan budak perempuan itu baru berusia 11 tahun.

Sehari sebelum itu, Wan Azizah meminta supaya pasangan itu dipisahkan, dengan berkata bahawa beliau telah berunding dengan hakim mahkamah syariah mengenai perkara itu.

Malaysia mempunyai sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang Islam (syariah) yang berasingan. Undang-undang syariah, khususnya Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menetapkan umur sah untuk berkahwin ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki, dan membenarkan pengecualian dengan kebenaran mahkamah syariah. Undang-undang sivil menetapkan 18 tahun sebagai umur minimum yang sah bagi perkahwinan untuk remaja lelaki dan perempuan.

"Mana-mana perkahwinan di bawah umur perlu mendapat kebenaran mahkamah," kata Wan Azizah. "Saya telah mengarahkan supaya diadakan perbincangan mengenai umur sah minimum untuk berkahwin antara lelaki dan wanita supaya perkara itu dapat dibangkitkan."

Selain isu umur, undang-undang keluarga Islam memerlukan seorang lelaki Malaysia yang berkahwin dengan seseorang wanita di negara lain supaya mendaftar perkahwinan itu di Pejabat Pendaftar Perkahwinan Islam. Undang-undang memerlukan pendaftaran itu dibuat dalam tempoh enam bulan selepas berkahwin.

Catatan Facebook

Berita tentang perkahwinan lelaki itu dengan budak perempuan berkenaan  menjadi tular selepas isteri keduanya memuat naik gambar itu dalam laman  Facebook suaminya, yang dikenal pasti dalam media Malaysia sebagai Che Abdul Karim Che Hamid, dengan pengantin ketiganya itu. Dia menulis catatan secara sinis bahawa budak perempuan itu adalah sebaya anak-anaknya.

Catatan isteri keduanya  termasuklah keterangan gambar dalam dialek Kelantan: "Anak-anak saya boleh bermain dengan ibu tiri mereka selepas ini. Kesemua mereka adalah sebaya. "

Pengantin lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai imam atau guru Islam, mempertahankan perkahwinannya dalam satu video yang dikeluarkan pada Ahad, dengan mendakwa ia dilaksanakan secara "nikah gantung", istilah Melayu yang bermaksud bahawa pasangan yang berkahwin bersetuju untuk bersama pada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian, dan dalam kes ini selepas gadis itu berusia 16 tahun.

"Dia akan berada dalam jagaan ibu bapanya. Sehingga dia mencapai umur itu, kami tidak akan bersama, "katanya dalam video tersebut.

Pada Jun lalu, dua kumpulan advokasi wanita menggesa kerajaan baru Malaysia supaya menunaikan janji pilihan raya dengan mengisytiharkan 18 tahun adalah umur sah untuk berkahwin dan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

Dua badan bukan kerajaan itu, Sisters in Islam dan Pusat Sumber dan Penyelidikan Wanita Asia Pasifik, menyatakan konservatisme agama, kepercayaan patriarki dan alasan bagi perbuatan seksual adalah penggerak utama bagi perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dan penyelesaiannya akan menjadi larangan penuh terhadap perkahwinan kanak-kanak menerusi pembaharuan undang-undang.

Pengantin lelaki itu mengikut cara sama yang dilakukan beratus-ratus lelaki lain yang mengunjungi Thailand secara rahsia untuk berkahwin.

Selatan Thailand menjadi tumpuan lelaki Islam Malaysia yang ingin menikah isteri kedua, ketiga atau keempat tanpa diketahui oleh pasangan mereka yang lain.

Masjid Pusat di wilayah Songkhla adalah tumpuan bagi mereka yang mahu melakukan pernikahan secara rahsia itu, di mana BeritaBenar melaporkan dua tahun lalu,  sebanyak 30 pasangan Malaysia berkahwin di sana setiap hari.

Imam melaksanakan pernikahan sedemikian kerana undang-undang Islam membenarkan mereka berbuat demikian. Dalam Islam, seorang lelaki boleh mengahwini empat wanita selagi dia dapat menyediakan dan menjaga setiap keluarganya secara adil dan saksama.

"Untuk tidak menunaikan permintaan pengantin perempuan dan pengantin lelaki yang mahu berkongsi kehidupan sebagai suami dan isteri yang sah,  adalah berdosa," kata Sakriya Binsaela, ketua Jawatankuasa Islam Wilayah Songkhla, ketika itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.