Tujuh Pegawai Polis Digantung Tugas Berhubung Kehilangan RM7.9 juta

Noah Lee
2018.11.01
Kuala Lumpur, Malaysia
181101-MY-Polis620.jpg Helikopter Polis DiRaja Malaysia terbang diruang udara berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur semasa sambutan Hari Polis Ke-209 di Kuala Lumpur, 25 Mac 2016.
AFP

Tujuh orang pegawai dan anggota polis dari Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur digantung tugas mereka susulan kes kehilangan wang tunai bernilai RM7.9 juta dari sebuah kondominium yang digeledah oleh sepasukan polis pada September lepas, kata Ketua Polis Negara.

Mohamad Fuzi Harun pada Khamis berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai biasa dan anggota bawahan itu disiasat di bawah undang-undang jenayah Malaysia atas kejadian kehilangan wang milik seorang pelabur semasa polis membuat serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan U-Thant pada September lepas.

Kertas siasatan bagi kes itu, tambah Fuzi yang bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, juga sudah dilengkapkan oleh pasukan penyiasat.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya. (Polis) sedang menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya terhadap semua yang terlibat (dalam kes itu).

"Tindakan (dalaman) jabatan juga telah diambil terhadap mereka yang dipercayai terlibat, dan tugas mereka telah digantung," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 'Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM'.

Fuzi memberi kenyataan itu selepas menjawab soalan wartawan berkenaan status kes tersebut yang sebelum ini telah mendapat liputan luas media tempatan ekoran turut membabitkan pegawai tinggi wanita pasukan berkenaan.

Menurut sumber, antara mereka yang digantung kerja itu adalah tiga orang pegawai polis termasuk dua wanita.

Katanya, dua pegawai wanita itu, masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Inspektor, adalah dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Seorang lagi adalah pegawai lelaki berpangkat Superintenden, yang juga daripada JPJKK Polis Kuala Lumpur, manakala baki empat orang lagi adalah anggota bawahan dari JSJN Polis Kuala Lumpur.

Sumber itu bagaimanapun menafikan bahawa serbuan yang dilakukan pada 8 September itu adalah satu serbuan dadah, walaupun ia membabitkan ramai anggota dari JSJN.

"Bukan semua dari Narkotik. Hanya anggota sahaja dari Narkotik," katanya kepada BeritaBenar.

"Tak ada dadah. Mereka (pasukan yang menyerbu kondominium itu) ada maklumat lain, tapi kita tak boleh dedahkannya (berkenaan apa)," tambahnya.

Menurut sumber lain, pelabur berusia 50 tahun itu membuat laporan polis pada 10 September selepas menyedari wang tunai yang disimpan di dalam peti besi, bilik tidur dan sebuah kereta jenis BMW miliknya hilang.

"Pengadu dalam laporannya memberitahu polis bahawa dia berada di Jakarta ketika dihubungi pekerjanya, memaklumkan bahawa rumahnya diserbu sepasukan polis dan empat pekerjanya telah ditahan.

"Susulan itu, pengadu telah pulang ke rumahnya pada keesokan hari sebelum mendapati rumahnya berselerak manakala beberapa barang-barang miliknya didapati hilang," kata sumber berkenaan.

Sumber berkata pengadu dalam laporannya menyatakan bahawa wang tunai yang hilang berjumlah RM3.9 juta yang disimpan di bilik tidur utama unit kondominium itu berada di dalam peti besi (RM2 juta), manakala selebihnya diambil dari dalam kereta terbabit.

Menurutnya, antara barang-barang lain yang turut dilaporkan hilang termasuk beberapa set kunci kereta mewah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.