Sindiket Dadah Guna Khidmat Penghantar Makanan Hantar ‘Stok’ Semasa PKP
2020.04.09
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia mengesan taktik baru sindiket pengedaran dadah yang menggunakan khidmat penghantar makanan semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan masih berkuatkuasa.
Modus operandi itu dipercayai digunakan sindiket bagi membolehkan bahan terlarang itu terus ‘diniagakan’ walaupun pergerakan terhad dalam PKP, demikian menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ramli Din kepada BeritaBenar pada Khamis.
"Dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan telah digunakan oleh sindiket pengedaran dadah untuk menghantar dadah jenis syabu seberat 1.14 gram dan ganja 40 gram ke Shah Alam dan Klang, masing-masing pada 7 dan 8 April.
"Susulan dari tangkapan dua penghantar makanan itu, seorang tokan dadah turut ditahan bersama ganja seberat 1.6 kilogram di Bandar Kinrara, Puchong, 25 kilometer dari Klang pada 8 April," katanya semasa dihubungi.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengarahkan semua pegawai dan anggota yang bertugas di sekatan jalanraya semasa PKP untuk memeriksa kenderaaan penghantar makanan selepas tular mengenai penggunaan perkhidmatan itu yang didapati telah membawa rokok seludup.
Ramli berkata, pemeriksaan secara rambang ke atas penghantar makanan memang diadakan bagi keselamatan semua pihak.
"Kali ini, maklumat risikan adalah tepat dan semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM3,000 (AS$692) berjaya dirampas,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pemeriksaan lebih kerap akan dilakukan terhadap penghantar makanan bagi membendung pengedaran dadah.
"Saya ingin memberi amaran keras kepada semua penghantar makanan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah," katanya.
Menurut Ramli, sindiket terpaksa menggunakan modus operandi baru itu selepas pergerakan mereka menjadi terhad dan polis melakukan lebih 750 sekatan jalanraya di seluruh negara untuk tempoh 24 jam.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Ibupejabat Polis Bukit Aman yang identitinya tidak boleh didedahkan berkata, selain khidmat penghantar makanan, bekalan dadah juga dipercayai cuba diedar melalui perkhidmatan kurier pada waktu perintah kawalan.
"Namun, disebabkan selepas banyak daerah digazetkan sebagai zon merah dan perkhidmatan kurier juga tidak dapat memasuki kawasan zon merah, sindiket terpaksa membatalkan niat mereka.
"Sindiket juga kini tidak dapat mengedar dadah secara runcit berikutan hampir majoriti gelandangan di Lembah Klang dan bandar-bandar besar ditempatkan di dewan di bawah penjagaan pihak berkuasa tempatan," katanya.
Menurut beliau, pengedaran dadah secara runcit di Lembah Klang mensasarkan golongan gelandangan dan warga asing di kawasan-kawasan yang kini sudah dibersihkan pihak berkuasa tempatan seperti Chow Kit dan Pasar Borong Kuala Lumpur akibat wabak COVID-19.